Popular Posts

Showing posts with label 1. Show all posts
Showing posts with label 1. Show all posts

Friday, December 14, 2018

Keputusan PT3 Anak

Keputusan PT3 Anak
Teks: Suhana Salleh

Setelah dua hari meluangkan masa dengan mak di kampung saya balik ke Rawang semula hari Rabu. Rasa puas hati balik kali ini sebab masih dapat lagi tatap wajah mak dan bantunya apa yang patut. Emak pun saya tengok sihat dan ceria sahaja sepanjang kami berada di sana. Tak ada sedikit pun dia mengeluh sakit lutut atau kaki di hadapan saya walaupun saya tahu sebenarnya kaki dia sakit.

Balik kali ini saya hanya belanjakan emak beli barang dapur untuknya sahaja. Sejak ada orang yang tak dikenali datang rumah emak mahu pinjam duit terus saya tak beri emak duit di tangan. Saya ngeri apabila terbaca kes warga emas yang tinggal seorang dirompak orang. Setiap kali saya baca setiap kali itu jugalah saya teringatkan emak saya di kampung. Bahaya betul orang tua-tua tinggal seorang di rumah simpan duit bawah bantal.

Keesokan harinya kami bergegas pula ke sekolah anak saya yang pertama. Keputusan PT3nya sudah diumumkan hari ini. Syukur alhamdulilah keputusannya cemerlang. Saya rasa lega sangat. Agaknya beginilah yang emak saya rasa ketika saya membantunya meringankan kerja-kerja rumahnya tempoh hari.

Tahniah, anak. Tingkatkan lagi usaha. Perjalanan hidup masih panjang.

Wednesday, December 12, 2018

Bantu Ringankan Beban Ibu Bapa Warga Emas

9 Cara Ringankan Beban Warga Emas
Teks : Suhana Salleh

Mak saya ini duduk kat kampung tinggal seorang. Umur pun dah masuk warga emas. Lutut pun dah tak kuat. Jadi sesekali saya balik kampung kenalah buat;
1. Kerja pembersihan dalam rumah
Sapu sampah, mop bagai. Toilet tu sentallah sikit bagi nampak bersih. Mana-mana botol yang dah habis isinya buang terus. Top upkan sabun, tiub ubat gigi dan syampu yang baru.
2. Bawa pergi pasar beli lauk
Pasar jauh. Mak harapkan penjaja ikan je datang rumah. Nak minta orang lain tolong pun semua anak dah tak ada. Jadi masa anak balik inilah dia penuhkan peti ais dengan jenis ikan yang dia suka. Mak saya suka ikan sembilang dengan ikan pari. Masak asam pedas.
3. Bawa pergi kedai runcit beli barang kering
Warga emas ni faham-faham ajelah. Bukan banyak mana pun barang kering yang diguna untuk masak. Nak beli bawang banyak takut busuk. Beli sikit takut tak cukup. Kena pandai agak-agak sementara tunggu adik beradik yang lain pula balik kampung.
4. Bawa jalan-jalan
Mak saya memang suka berjalan. Kesian dia duduk kampung terperap je dekat rumah. Jadi balik ni bawalah mak pergi makan angin tempat yang dekat-dekat. Sekurang-kurangnya release tension dia sekejap.
5. Buang segala benda yang tak perlu.
Mak pantang kalau saya buang barang. Masalahnya benda itu memang tak guna pun. Buat menyerabutkan rumah lagi ada. Contoh botol plastik mineral, resit, surat lama. Pandai-pandailah urus emosi warga emas supaya dia tak kecil hati.
6. Kemaskan dapur 
Dah tua-tua ni mak masak asal boleh je. Malas dah dia nak mengadap dapur bagi berkilat. Dah nampak dapur mak berkakah tu kenalah ringan-ringankan tangan tenyeh mana yang patut. Kotor nanti kita juga yang tak lalu nak makan.
7. Bersihkan luar rumah
Kerja-kerja sapu daun kering, bakar sampah kerahkan anak-anak dan encik suami yang buat. Budak-budak memang suka buat benda-benda macam itu. Tapi kena ada arahan dan pantauan orang dewasa. Kalau tak jahanam pokok bunga mak.
8. Tengokkan tempat tadah air 
Kena rajin tengokkan tempat tadah air/ baldi yang digunakan. Warga emas ni mata pun dah kabur. Selalu tak perasan dalam baldi tempat dia tadah air tu ada jentik-jentik. Kenalah cuci. Lagi elok letakkan ubat jentik-jentik sekali.
9. Basuhkan sarung bantal dan tilam
Dah tua-tua ni mak tak larat nak berkemas macam masa dia muda dulu. Sarung bantal, tilam memang dia dah tak ambil peduli. Nak basuh pun tunggu masa raya. Ramai-ramai balik. Tengok kalau dah hitam tu teruslah suruh anak-anak saya bukakan. Rendam dengan clorox masuk mesin basuh. Selesai.

Bahagiakan orang tua kita. Mudahkan urusan mereka. Banyak manfaatnya.

Wednesday, December 5, 2018

Cara Suri Rumah Jana Duit

Cara Suri Rumah Tangga Jana Duit
Teks: Suhana Salleh


'Suri rumah'. Apabila disebut perkataan ini selalu yang terbayang di fikiran kita ialah seorang isteri yang tidak bekerja dan hanya menguruskan rumah tangganya sahaja. Tiada sumber pendapatan dan hanya mengharapkan duit ihsan pemberian suami.

Namun demikian, fenomena suri rumah duduk di rumah dan tidak mempunyai sumber pendapatan sudah bertukar kini. Keadaan ekonomi dan faktor sosial banyak mengubah mind set wanita sekarang terhadap suri rumah masa kini. Mereka bukan sahaja menjadi suri rumah. Dalam masa yang sama mereka bekerja dari rumah dan menjana pendapatan sendiri.

Tekanan hidup di bandar dan keadaan ekonomi keluarga yang kurang stabil menjadikan kaum wanita lebih kreatif untuk membantu meringankan beban kewangan suami. Terdapat beberapa cara bagaimana suri rumah boleh menjana wang di rumah. Antaranya;


  • Menyimpan 10% daripada pendapatan yang diperolehi  


Jika anda suri rumah tangga sepenuh masa minta kerjasama daripada suami untuk memperuntukkan sedikit daripada gajinya untuk anda setiap bulan. Sekiranya suami tidak mampu RM100 sebulan jumlah yang memadai. Daripada pendapatan itu asingkan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan yang diperolehi untuk simpanan anda sendiri.

Saya pernah meminta suami untuk memotong gajinya sebanyak RM200 setiap bulan ke dalam akaun saya. Tanpa culas. Potongan ini adalah sebagai timbal balas suami kepada saya kerana meminta saya berhenti kerja dan duduk di rumah menjaga anak. Hasilnya saya mempunyai simpanan lebih kurang RM5000 dalam tempoh 2 tahun.

  • Menabung duit syiling
Daripada pengalaman saya, orang lelaki tidak suka menyimpan duit syiling di dalam dompet. Mungkin faktor berat, leceh dan seperti tiada nilai membuatkan orang lelaki lebih suka meletakkan lebihan duit syiling mereka merata-rata. Mulai dari sekarang mulakan tugas anda untuk mengutip duit semua syiling yang ditinggalkan merata-rata oleh suami anda. Masukkannya ke dalam satu tabung khas yang tidak boleh dibuka tutupnya. Apabila tabung sudah penuh bolehlah buka dan kira jumlahnya.

Pernah satu ketika saya tidak mempunyai lebihan duit di bank untuk membayar duit van sekolah anak. Tabung syiling tersebut telah menjadi penyelamat. Saya membayar sebulan duit van kedua-dua orang anak saya menggunakan duit tabung tersebut.


  • Membuat pelaburan saham untuk anak
Orang lelaki memang jarang hiraukan tentang pelaburan saham dan keuntungannya. Tidak mengapa. Adalah menjadi tugas suri rumah tangga untuk memperhatikan mana-mana pelaburan yang sah, berisiko rendah dan boleh memberikan sedikit pulangan. Sebagai contoh Amanah Saham Berhad (ASB), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Permodalan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh seorang kenalan mengenai RM500 geran sepadan yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada pendeposit PTPTN. Dengan tidak membuang masa saya terus membuka akaun PTPTN untuk anak ke tiga saya. Daripada RM500 simpanan yang saya buat kerajaan telah memasukkan lagi RM500 ke dalam akaun anak saya. Jumlah tersebut tidak boleh dikeluarkan malah setiap tahun akan dibayar dividen.

  • Mengambil takaful untuk anak sejak lahir
Adalah sangat bagus jika kita dapat merencanakan kewangan anak sejak mereka bayi. Sewaktu anak masih bayi carilah perlindungan takaful untuk mereka. Paling tidak pun takaful pendidikan untuk anak. Pastikan jumlah tersebut tidak terlalu tinggi dan masih dalam kemampuan kewangan kita. Sekiranya perlindungan takaful diambil sejak bayi bayaran yang terpaksa kita bayar setiap bulan lebih kecil jika dibandingkan sekiranya kita ambilkan takaful ketika mereka sudah berumur 4 tahun.  

Menjadi tabiat saya memastikan setiap anak yang lahir perlu ada perlindungan takaful. Sebagai contoh disebabkan keadaan kewangan yang tidak stabil suami saya pernah tidak membayar takaful pendidikan anak pertama kami selama 3 tahun. Saya telah mengambil inisiatif membayar kesemua tunggakan tersebut memandangkan tarikh matang sijil tersebut akan tamat kurang daripada 2 tahun. Sedangkan pada tarikh itu anak saya akan tamat SPM. Kemungkinan besar dia akan menyambung pelajarannya keinstitusi pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negara. Dengan duit tersebut dapatlah menampung pembiayaannya untuk belajar nanti.        

  • Mempromosikan kemahiran yang ada
Suri rumah tangga tidak perlu malu mempromosikan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki. 
Antara kerjaya yang boleh menjana pendapatan buat suri rumah tangga seperti;
Menjadi cikgu tusyen, 
guru mengaji, 
menulis, menjadi ghostwriter 
membuat biskut, kek dan roti, 
memasak untuk majlis, 
membuat kuih tradisional
menyediakan akaun untuk syarikat
mengasuh anak jiran dan seumpamanya

Tuesday, December 4, 2018

Sambutan Hari Lahir Kanak-kanak

Sambutan Hari Ulang Tahun Kanak-kanak Taska
Teks : Suhana Salleh


Kanak-kanak memang suka diraikan. Begitu juga dengan orang dewasa. Di taska, saya mengaplikasikan menyambut ulang tahun kelahiran kanak-kanak tiga bulan sekali. Ini bermakna ada 4 kali sambutan hari lahir kanak-kanak setahun di taska saya. Contohnya kanak-kanak yang lahir bulan Januari, Februari dan Mac akan disambut pada akhir Mac. Begitulah dengan kanak-kanak yang lahir pada bulan berikutnya.

Selain sambutan yang lebih meriah, langkah ini juga dapat menjimatkan masa kami untuk menguruskan acara dengan kanak-kanak. Seminggu sebelum tarikh sambutan, saya akan mengumumkan perkara tersebut di facebook taska. Pembantu taska saya pula akan menuliskan nama kanak-kanak di papan kenyataan taska. kebiasaannya ibu bapa yang anaknya termasuk dalam senarai tersebut akan membawa kek, makanan, kuih muih dan sebagainya ke taska. Bagi pihak taska, saya akan menyediakan menu istimewa untuk kanak-kanak pada hari itu. Macam-macam makanan yang pernah disediakan. Selalunya saya buat undian kepada kanak-kanak tanya mereka hendak makan apa. Undian tertinggi akan dipilih memenuhi selera kanak-kanak pada hari tersebut.

Mengendalikan kanak-kanak bawah 4 tahun dalam acara ini memang agak sukar. Kami bergelut dengan persiapan majlis dan sibuknya melayan kanak-kanak yang pelbagai karenah. Bagi bayi bawah setahun mereka tidak biasa berjaga lama. Apabila letih mereka akan menangis kerana mahu tidur. Bagi kanak-kanak bawah 4 tahun pula mereka sangat teruja. Kebiasaannya mereka tidur mengikut jadual tetapi pada hari ini mereka sibuk hendak merasa pelbagai jenis makanan. Sehinggakan mereka tidak mahu tidur jika tidak dipaksa.

Cabaran lain ketika acara ini berlangsung adalah mengambil gambar beramai-ramai dengan kanak-kanak. Payah betul hendak menyusun kedudukan mereka di tempat yang sesuai. Jika kita lambat ada yang akan menangis, bangun dari tempat duduk, tidak mahu duduk di tempat yang disediakan dan pelbagai lagi. Begitu juga ketika hendak mengambil gambar. Ada yang toleh kiri, toleh kanak, pandang belakang, atas. Memang susah hendak dapatkan gambar yang sempurna.

Jadi tak perlulah rasa kecewa jika tidak dapat merakam gambar kanak-kanak dengan sempurna. Kerana pada setiap gambar yang tidak sempurna ada moment manis yang akan dikenang sampai bila-bila.   

Sunday, December 2, 2018

Keluarga Saya

Keluarga Saya
Teks: Suhana Salleh

Selepas mendirikan rumah tangga pada 2002 saya disahkan mengandung selepas itu. Terkejut juga kerana tak sangka pula cepat betul dapat rezeki anak ini. Kata orang bunting pelamin.
Memang sejak awal berkahwin saya tidak pernah merancang atau menetapkan bila-bila tempoh hendak mendapat anak. Pada saya jika ada rezeki anak cepat alhamdulilah. Kalau lambat dapat anak pun tak mengapa. Kita masih dalam fasa honey moon.

Inilah gambar saya dan suami. Sudah lebih 10 tahun kami melayari hidup berumah tangga bersama. Harap kekal 'till jannah'.


Tanggal 14 September anak saya yang pertama lahir. Bayi lelaki. Kami namakannya Muhammad Khuzairi. 

Selang dua tahun saya disahkan mengandung lagi. Kali ini dapat bayi perempuan. Kami namakannya Nur Fahdalina. Lahir tanggal 05 Disember 2005.

Selepas itu lama pula saya nak mengandung semula. Sehinggalah jaraknya 4 tahun saya melahirkan bayi ketiga saya, Nur Nafisah Najma. Lahir pada 11 Julai 2009. Selepas melahirkan anak ketiga saya fikir saya dah tak mahu mengandung lagi. 

Namun, tak sangka saya akan mengandung sekali lagi anak ke empat. Kali ini kami dapat bayi perempuan lagi. Maknanya kami dah ada 3 orang anak dara berderet. Kami namakannya Nur Amna Imani. Dia dilahirkan pada 13 Februari 2013. Mengandung kali ini saya mengalami tekanan darah tinggi.  

Tanpa disangka saya disahkan mengandung lagi selepas 2 tahun melahirkan Amna. Pada akhir kehamilan saya mendapat tekanan darah tinggi. Menurut doktor saya berisiko melahirkan bayi pramatang. Jika saya tidak dapat melahirkan bayi secara normal pada tarikh yang ditetapkan kemungkinan besar saya akan diusung ke operation theatre. 

Kuasa Allah mengatasi segalanya. Pada tanggal 28 September 2015 saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara normal. Walaupun di saat-saat akhir doktor baru tahu bayi saya terbelit tali pusat syukur semuanya berjalan dengan lancar. Ibu dan anak selamat.

Kata doktor, cukuplah ya 5. Sudah ada lelaki dan perempuan. Sudah lengkap. Umur pun sudah nak masuk 40an. Lagipun awak ada simptom darah tinggi. Ada risiko jika mengandung. Kena jaga kesihatan. 

Baiklah doktor. Saya pun rasa dah cukup dengan 5 kurniaan rezeki anak yang comel dan sihat ini. Semoga saya dapat menjaga mereka dengan baik. Jadi anak soleh. Amin.

Cukuplah 5 rezeki kurniaan Allah ini. Dari kiri Abang Zairi, Kakak Ahda, Icah, Amna dan Aniq. Semoga jadi anak soleh.



Thursday, November 29, 2018

Apabila Mak Mentua Nak Datang Rumah

Apabila Mak Mentua Nak Datang Rumah
Teks : Suhana Salleh


Setiap kali ada kenduri kahwin rumah adik dia, mak mentua dan bapa mentua saya mesti akan singgah dan transit di rumah saya barang sehari dua. Sabtu 1 haribulan ni anak bungsu adik emak mentua saya nak bernikah. Jadi emak mentua saya dah merancang hendak datang tidur satu malam di rumah saya.
Sekali sekala emak mentua datang rumah wajarlah diraikan kedatangannya. Emak mentua pun dikira sebagai tetamu juga. Jadi saya pun kemaslah rumah macam biasa. Cuma kali ini extra kemas. 
Macam mana extra kemas itu? Macam ini,

tukar sarung cadar, sarung bantal, selimut
Rutin saya setiap bulan akan basuh segala cadar, sarung bantal, selimut dan tuala yang ada di rumah. Lepas itu tukarkan dengan sedia ada di rumah yang sudah bersih dan harum baunya. Perasaannya macam pakai barang baru walaupun memang sudah berapa kali pakai.  
sapu rumah 3 round
Setiap hari rumah saya kalau tak sapu sampah memang tak sah. Rumah ada anak-anak yang masih kecil begitulah. Makan nasi berterabur. Ada air tumpahlah. Serdak-serdak biskut berterabur sini sana. Plastik gula-gula diselit tepi katil. Sampah-sampah kertas kat bawah bantal. Jadi apabilla mak mentua kata nak datangcepat-cepat saya buat pembersihan semula. All out. Itu yang jadi 3 kali sapu.  
mop kesan-kesan kotor di lantai
Budak-budak ini kalau makan memang nasi memang jarang masuk ke mulut. Selalunya jatuh ke lantai. Kita yang dewasa ini pula bukan nasi yang jatuh ke lantai tapi masa memasak tu ada saja bahan-bahan yang tertumpah. Kicaplah, lada kisar dan macam-macam lagi. Kadang itu kita terlepas pandang nak bersihkannya semula. Maklumlah nak cepat siap je. Masa inilah kerja extra sikit. Lepas sapu terus mop lantai. Kadang-kadang itu bukan main susah nak hilang sebab dah melekat. Terpaksalah tonyoh lebih sikit. 
toilet kasi kilat
Ermmm, ini pun salah satu tempat penting yang mesti dibersihkan kalau ada tetamu nak datang. Mana botol-botol yang dah habis kasi buang. Tambahkan atau gantikan dengan yang baru. Lantai yang berkakah tepi-tepi dinding itu pun kena sental. Toilet bowl jangan dilupa. Cuci kasi clear sampai kita pun rasa sedap mata memandang dan puas hati. 
penuhkan lauk dalam peti ais
Jika tetamu yang datang tu dah bagitahu siap-siap dia nak datang berapa hari eloklah kita penuhkan barang-barang kering yang dah nak habis kat dapur itu. Beli juga lauk untuk masak kepada tetamu siap-siap. Tak adalah jem nanti tetamu dah datang tak tahu nak hidang apa sebab bahan tak cukup. Kalau boleh sediakan menu nak masak apa siap-siap. Dapat tambah buah-buahan pun bagus juga.
telekung, tuala mandi, kain batik, kain pelikat untuk tetamu siapkan awal-awal
Kebiasaannya tetamu datang ke rumah dia jarang hendak angkut segala macam barang-barang peribadinya. Penuh beg tak muat kereta nanti nak bawa semua. Jadi sebagai yuan rumah yang prihatin kita keluarkanlah siap-siap tuala, kain pelikat, kain batik dan telekung untuk mereka. Jika mereka nak pakai, pakaillah. Jika tidak pakai tak mengapa. Yang penting kita dah sediakan.
masak juadah istimewa
Mak mentua saya memang suka makan ikan nyok-nyok masak kari. Sudah tahu dia suka makan apa kita masakkanlah untuk dia menu itu. Kalau mak mentua orang lain pula saya tak tahu. Kenapa recce menu apa yang mak mentua suka. Alah, kalau tak nak masak menu yang mak mentua suka pun tak apa. Kita masaklah menu ikut kepakaran kita sendiri. Air tangan orang memang lain-lain. Mana tahu emak mentua pun memang suka dengan air tangan menantu dia.
% sinki kasi clear
Dah sibuk nak buat persiapan untuk tetamu sinki itu janganlah dibiarkan penuh dengan pinggan mangkuk, periuk kuali, sudu garfu kotor. Cuci dan susun elok-elok barang-barang tersebut di tempatnya. Tak adalah dapur kita nampak serabut. Kemas saja, sedap mata memandangnya.

Apabila dah siap kemas rumah, siap masak kita pun mandilah dan bersiap tunggu tetamu datang. Tentu mak mentua pun bertambah sayang tengok menantu dia pandai urus rumah. Begitu.

Tuesday, November 27, 2018

Diari Mak-Mak

Siapa kata suri rumah tidak perlu ada jadual di rumah?

Menurut PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu) versi 2, jadual adalah susunan acara mengikut masa yg ditentukan.

Semasa saya berhenti kerja inilah rutin saya setiap hari.

6.00 pagi : Bangun tidur, kemas tingkat bawah sebagai persiapan menyambut kanak-kanak datang pagi. dalam masa yang sama ambil kesempatan masukkan baju dalam washing machine untuk dibasuh. Kalau rajin buat sarapan yang agak berat.

7.30 pagi: mandikan kanak-kanak, siapkan pakai baju

8.30 pagi: bagi kanak-kanak minum susu dan sarapan. sambil itu masak nasi dan lauk untuk kanak-kanak makan tengah hari.

10.00 pagi: buat aktiviti dengan kanak-kanak. sambil itu sidai baju yang sudah siap dibasuh 
hingga
11.00 pagi

12.30: bagi kanak-kanak makan


1.00 petang: siapkan kanak-kanak untuk tidur sebentar.       
hingga 
3.30 petang : angkat kain baju di ampaian. lipat terus. letak di satu sudut supaya suami angkat naik ke tingkat atas.

3.30 petang:mandikan kanak-kanak. 
hingga 
4.30 petang

4.30 petang: bagi kanak-kanak minum susu dan minum petang
hingga 
5.00 petang

5.00 petang : kanak-kanak diberi menonton tv. sambil itu saya masak untuk makan malam keluarga
hingga 
6.00 petang

7.00 petang : semua kanak-kanak beransur balik

Kenapa jadual begini penting kepada suri rumah yang bekerja di rumah?


  1. memudahkan urusan kerja hakiki dengan kerja sampingan di rumah
  1. melicinkan operasi harian 
  1. menjadikan kerja lebih teratur
  1. mampu mengurangkan stres


Sewaktu saya mengambil Kurus Asas Asuhan Kanak-kanak, membuat jadual aktiviti kanak-kanak memang amat dititik beratkan walaupun kita hanya menjadi pengasuh di rumah.

Kebaikan yang saya dapat daripada jadual ini perjalanan operasi taska menjadi lebih mudah kerana kita sudah dapat membiasakan rutin tersebut kepada diri kita sendiri, diri pengasuh dan kanak-kanak yang dijaga.

Friday, November 23, 2018

Kasih Sayang Abang Dan Adik

Ahad sebulan yang lalu. Saya dan suami hantar Abang Zairi, anak saya yang pertama balik ke asramanya semula. Hanya Aniq, adiknya yang kecil sahaja yang ikut.

Tiga orang lagi anak saya yang perempuan tidak mahu ikut. Mereka hendak duduk rumah sahaja. Yalah, budak semakin dewasa begitulah. Malas nak ikut ibu ayah pergi jalan ke mana-mana. Tak macam kita dahulu. Terpaksa juga ikut lebih-lebih lagi kalau bertandang semasa hari raya atau ada kenduri. Teringat mak kata itulah masa nak kenal dengan sedara mara. Kalau tak bila lagi?

Sebelum berangkat tadi ayahnya sudah masakkan nasi dan lauk siap-siap untuk makan tengah hari mereka. Kami dijangka akan sampai rumah semula selepas pukul 2.00 petang. Tak kan nak tinggalkan anak berlapar,kan? Walaupun yang nombor dua itu dah boleh goreng telur dan mi segera sendiri tetap kami tak benarkan dia masak masa kami tak ada di rumah. Berkali-kali pesan pada dia kunci pintu rumah, jangan keluar ke mana-mana, jangan buka pintu pagar kalau ada orang ketuk, jangan main api gas. Bahaya. Apa-apa hal telefon ayah atau ibu segera. (Jadi mak-mak memang macam itulah banyak pesanan penaja).


Berbalik kepada cerita Abang Zairi dan Aniq tadi.


Seperti biasa sebelum berpisah mesti ada acara salam, cium pipi dan peluk doa. Boleh pula budak kecil ni main-main masa salam dengan abang dia. Saya perhatikan sahaja gelagat mereka berdua.



Selepas salam Aniq tak mahu dicium Abang Zairi. Aniq nak gigit pipi abang.
Aniq tak mahu Abang Zairi cium pipinya.
Bukan main lagi Aniq mengelak masa abang cuba nak cium pipinya.

Akhirnya Abang Zairi dapat juga cium dan peluk Aniq.

"Ya Allah, peliharakanlah mereka berdua untuk saya. Mereka inilah yang akan jadi perhiasan saya di dunia dan di akhirat kelak." 

Me Time Dengan Anak (part 2)

Hari itu dah ber'me time' dengan anak-anak di luar.

Hari ini saya ber'me time' dengan anak-anak di rumah pula.

Caranya;

1. Pastikan suami ada kerja di luar seorang.


2. Saya terpaksa tinggal dengan anak-anak saja di rumah.



3. Tanya suami dia balik rumah pukul berapa. (Kalau dia kata balik petang atau malam dapatlah kita ber'me time' lama sikit di rumah.)

4. Setelah suami pergi barulah saya ber'me time'.

5. Antara cara me time saya di rumah adalah;
- tak payah masak tengah hari.
- masak menu ringkas atau menu yang kita suka tapi suami tak berapa nak suka.
- beli saja makanan kat luar makan di rumah kalau malas sangat nak masak.
- biarkan anak buat sepah sesuka hati. Tak perlu marah-marah.
- tak endahkan kain baju yang menggunung tak berlipat
- basuh baju tapi tak perlu rushing nak sidai.
- buat kerja saya yang tertangguh tanpa rasa bersalah. Contohnya check almari baju anak-anak. Tengok bil dan surat-surat yang sampai, buat bayaran secara on-line, siapkan kerja menulis yang tertangguh, update FB dan seumpamanya.
- kemas dapur ala kadar.
- pinggan mangkuk kotor transit kat singki dulu
- bermalas-malasan atas katil
- tidur tanpa gangguan (tapi kena pesan dengan yang besar tengok adik-adik. Jangan bagi main kat  toilet dan dapur-kawasan larangan.)
- kalau nak suruh anak buat latihan masa nilah paling sesuai.(kalau ada ayah diaorang lagi ngada-ngada. Tak boleh kena tegur sikit.)

Hah, macam inilah keadaan rumah masa saya ber'me time' dengan anak-anak. "Rumah ini ana yang punya."

6. Sementara itu keluarkan ayam/ikan/ daging yang nak dimasak. Tujuannya supaya senang nak masak nanti sebab dah lembut. 

7. Tapi kena pastikan, anggarkan masa 30 minit sebelum suami balik;
- dah get ready kemas rumah
- sapu sampah, susun barang yang berterabur, kain baju yang menggunung at least dah susut sedikit, atas meja tak de barang yang tak perlu.
- masak nasi dan lauk pauk untuk makan malam dan siapkan terus atas meja makan.
- anak-anak yang kecil dah dimandikan. Pakaikan baju elok-elok. Letak bedak wangi-wangi.
- saya pun dah mandi siap-siap dan terurus.

8. Mesti apabila suami balik hati dia tenang bila tengok semuanya under controlled.
Smart,kan?

Keadaan rumah selepas habis masa 'me time'. Kembali ke asal. Teringat kisah "Puss in The House"
Jadi siapa kata orang perempuan anak ramai tak boleh ber'me time' di rumah 

Me Time Dengan Anak (part 1)

Hujung minggu buat apa?

Saya tengah ber'me time' dengan anak-anak. Bukan selalu dapat kumpul dengan lima permata hati ni serentak. Masa inilah nak tau hebat tak hebat seorang ibu menguruskan anak pelbagai kategori umur jalan bersama.

Petuanya mana yang besar saya suruh pimpin tangan adik dia yang kecil sikit. Yang kecil saya pimpin sendiri. Kadang-kadang dia nak berdukung. Kalau saya rasa penat saya suruh abang dengan kakak dia dukung gilir-gilir. Yang penting jalan bersama.

Semua kena dengar cakap ibu. Ibu kata kita pergi sini dulu. Ikut. Lepas pergi sini kita pergi sana. Ikut. Tak boleh membantah. Agak-agak ada yang nak buat perangai kita acah-acah nak tinggalkan. Tak jadi dia nak buat perangai.

Selalunya pergi mall saya prefer pergi cari barang dulu. Dah siap cari barang baru ajak diaorang makan. Masa makan baru sembang. Anak-anak nak cerita apa ceritalah. Saya buka telinga jadi pendengar cerita diaorang.

Berbuallah dengan anak kita yang sudah remaja macam kawan-kawan.

Lepas itu selitlah sikit-sikit nasihat sebagai panduan.

Dah selesai makan terus balik rumah.

Oh, ni gambar tiga minggu lepas.

Lawatan Pelajar UPSI Ke Taska

Terima tetamu istimewa lagi hari ini.

Enam orang pelajar dari Fakuliti Pembangunan Manusia, Universiti Sultan Azlan Shah (UPSI), Perak. Pengkhususan dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak. Kesemua mereka baru semester satu. Masih ada berbaki tujuh semester sebelum tamatkan pengajian.

Simpati juga tengok student datang dari jauh-jauh ini. Seawal 6.30 pagi dah terpacak di Stesyen Komuter Tanjung Malim tunggu komuter. Selepas itu mereka ambil Grab ke taska saya. Tiba taska saya pukul 10.00 pagi. Selepas beri taklimat ringkas kepada mereka terus saya arahkan mereka join aktiviti bersama dengan kanak-kanak taska. Hari ini kanak-kanak taska saya ada 'nature walk' ke taman permainan. 

Pukul 12.30 tengah hari baru selesai semuanya.


"Lepas ni terus balik UPSI ke?" Tanya saya sewaktu menemani mereka menunggu abang grab sampai.


"Emm... taklah. Kami nak pergi Aeon Rawang," jawab salah seorang daripada mereka.

"Nak jalan-jalan kejap. Nanti balik Tanjung Malim tak ada apa. Mall tak ada. Ada hutan aje..." sampuk seorang lagi kawannya.

Alahai... kesiannya saya dengar. Tapi betul juga, kan. Kata orang sudah alang-alang sampai sini. Tak pergi nanti menyesal pula. Saya syak mereka nak tengok wayang Paskal. 

Petang tadi saya whatsapp seorang dari mereka. Tanya dah sampai UPSI ke belum. Dia jawab dah sampai. Lega saya mendengarnya. Walaupun mereka bukan anak-anak saya, risau juga dengan keselamatan mereka. Maklumlah semuanya anak dara.

Bagi saya anak lelaki atau perempuan yang meniti zaman remaja sama sahaja pantauan untuk mereka. Mereka tak suka dikongkong. Tapi sekali sekala ibu bapa kena juga tarik tali layang-layang yang terbang melayang-layang di udara. Bukan apa sekadar 'peringatan' agar mereka tak jauh tersasar dari landasan.

Inilah pelajar UPSI yang buat lawatan ke taska saya. Semuanya muda remaja. 

Lawatan Pelajar UNISEL Ke Taska

Petang tadi taska saya menerima tetamu istimewa. 6 orang pelajar UNISEL dari Fakuliti Pendidikan Awal Kanak-kanak. Selepas 1 jam membuat pemerhatian tingkah laku kanak-kanak di taska saya urusan mereka pun selesai. Saya pun bergegas nak balik rumah. Hendak masak makan malam untuk keluarga pula.

"Puan, kita ambil gambar dulu boleh?"


"Gambar taska saya ke gambar saya seorang?"



"Kita tangkap gambar ramai-ramai."

"Oh, boleh. Boleh. Tak ada masalah. Jomlah." Saya menyuruh mereka berdiri sebaris sebelah menyebelah.

Klik. Gambar pertama diambil daripada henpon salah seorang daripada mereka.

Tukang bidik gambar tunjukkan gambar pada saya.
Alahai, semuanya tegak sahaja. Nak senyum pun takut-takut.

"Ish, nampak skema je semuanya," fikir saya. "Kita ambil lagi sekalilah. Guna henpon saya pula." 

Masing-masing akur.

"Ok, free style!" Jerit saya sambil membuat gaya James Bond.

Mereka terus bertindak mengikut arahan. Tak ubah macam kelakuan kanak-kanak taska saya apabila saya cakap nak ambil gambar mereka.

Selesai semuanya mereka bersalam dan mengucapkan terima kasih pada saya.

"Nanti kalau nak buat praktikum taska bolehlah mohon di taska ini," pelawa saya.

"Insya-Allah, puan. Tahun depan kami ada praktikal taska."

Balik rumah saya belek-belek gambar yang diambil petang tadi. Tapi saya lebih suka gambar yang kedua ini.

Wah, mentang-mentanglah saya dah bagi 'green light' bukan main lagi gaya mereka. Tak nak kalah dengan saya.

Bukan apa, kata nak jadi cikgu taska,kan? Kita akan berhadapan dengan makhluk paling comel di dunia. Tapi dalam masa yang sama emosi mereka turun naik juga macam cuaca. Tak boleh dijangka tapi boleh diramal. Tiba angin puting beliung mereka tak kanlah kita pun nak tunjuk kuasa kilat yang kita ada. Kena siapkan fizikal dan mental kita supaya kita sentiasa bersedia dengan apa jua situasi yang datang dari makhluk paling comel ini.