Popular Posts

Showing posts with label Panduan Ibu Bapa. Show all posts
Showing posts with label Panduan Ibu Bapa. Show all posts

Monday, March 18, 2019

Cuti Sekolah Datang Lagi

Cuti Sekolah Datang Lagi
Teks: Suhana Salleh

Terbaca status seorang mak itu di FB. Dia seakan tidak percaya minggu depan, cuti sekolah seminggu akan bermula. Menurut mak itu lagi, cuti sekolah dia kena urut dada sebab anak-anak akan memenuhi ruang rumah pula. Bagi peluang cikgu pula nak berehat. 
Emak ini bukannya tak suka anak-anak berada di rumah. Cuma faham-faham sajalah. Sesekali anak-anak berkumpul tentu 'meriah' rumah jadinya. Apatah lagi kalau anak-anak ramai macam saya. Mana nak fikir basuh baju, angkat baju, lipat baju. Itu belum lagi fikir nak masak menu apa untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Boleh jadi tangan sotong emak-emak ini dibuatnya walaupun memang jadi suri rumah sepenuh masa.
Kes saya pula, sekolah ke, cuti sekolah ke tetap urut dada. 
Nak-nak lagi apabila cuti sekolah sampai. Lagilah kena urut dada laju-laju. Mana tak laju. Siang menghadap anak taska dan transit. Malam menghadap anak-anak kat rumah.
Untuk makluman semua, taska mana ada cuti panjang macam cuti sekolah. Saya rasa kalau dalam kalendar itu ada 365 hari setahun taska akan beroperasi sepanjang tahun.
Itu pun, mujur ada Sabtu, Ahad dan cuti umum. Dapatlah cikgu taska rehat sikit sebab memang wajib tutup. Kalau tak, ada naya. (Mau taska jadi macam 7E ).
Taska kalau cuti panjang pun itu disebabkan kena buat kerja-kerja pembersihan (atas arahan pihak kesihatan). Mesti ada kes HFMD ke dan seumpamanya. Lain daripada itu jangan haraplah. Even jerebu, anak sakit kuat pun masih ada lagi yang nak hantar anak duduk taska.
Jadinya saya nak nasihatkan kat mak-mak yang bercuti masa cuti sekolah. Kalau boleh tak payah hantar anak ke taska. Buatlah bonding time dengan anak-anak di rumah. Nikmati 24 jam dengan anak sendiri sepenuhnya. Rasailah sendiri cabarannya. Bagilah peluang cikgu taska ini kendurkan otot-ototnya yang sedia tegang itu. 

Selama menyambut cuti sekolah duhai emak. Senyumlah, anak-anak merindui bebelanmu itu. Seminggu je pun.


Sunday, January 27, 2019

Penyakit Berjangkit Di Taska: Kutu

Kutu Kepala
Teks: Suhana Salleh

Baru-baru ni adik ipar bagitahu anaknya dijangkiti kutu selepas beberapa hari ke tadika.
Hasil carian imej untuk gambar kutu kepala
Kutu ini kecil je saiznya tapi kalau dia hisap darah kat kepala gatalnya yang amat.
Sumber: Google 
Kutu ini sebenarnya memang cepat berjangkit. Terutamanya kanak-kanak yang dihantar ke taska, tadika dan sekolah. Kutu dikategorikan dalam kumpulan parasit yang hisap darah. Bila anak dah dijangkiti kutu kepalanya akan rasa gatal, panas. Mulalah asyik tergaru-garu. Kita yang tengok dia pun rasa tak selesa.

Di taska saya pun pernah jadi masalah kutu ini. Kutu datang dari pelbagai punca. Ada yang bawa dari rumah, dari kampung, dari sekolah. Tiba taska berjangkit dengan kawan-kawan pula. Dah jadi satu kerja tambahan pula pembantu taska saya nak membasminya.

Kutu kepala ini memang cepat membiak. Tak hairanlah sebab seekor ibu kutu boleh keluarkan 70-100 biji telur setiap kali bertelur. Itu baru seekor. Bayangkan kalau kat kepala tu ada berekor-ekor ibu kutu.

Sebagai pengusaha taska saya memang tak gemar jika kanak-kanak taska berkutu. Boleh menjangkit kat orang lain itu yang payah. Renyah kerjanya. Jadi di sini saya mahu syorkan beberapa inisiatif yang boleh diambil oleh ibu bapa penjaga jika anak-anak kita dijangkiti kutu kepala.

1. Beli ubat basmi kutu
Selalunya ada jual di farmasi. Sekarang ni ubat kutu pun macam-macam jenis. Ada yang macam minyak, ada yang shampoo. Cari yang ada pakej sikat kutu sekali. Senang nanti lepas pakai ubat kutu boleh sauk kutu guna sikat tu.


2. Ikut arahan seperti yang diarahkan.
Cara guna ubat kutu ni senang je. Kena lumur kat rambut. Tekup dengan tuala atau scarf putih. Tunggu dalam 10 minit. Nanti keluarlah kutu-kutu yang pening lalat tu. Cuma kena pastikan berapa kali kekerapan penggunaan yang dianjurkan.


3. Kena rajin shampoo rambut anak.
Pastikan anak cuci rambut dengan shampoo sekurang-kurangnya 1 kali sehari. Masa bilas rambut boleh guna sikat bagi kutu keluar.


4. Asingkan tempat tidur.
Anak yang ada kutu tak boleh tidur dengan adik beradik yang tak ada kutu even ibu ayah. Pengasingan ini sementara je untuk elakkan menjangkit.


5. Jangan kongsi barang peribadi.
Tuala, sikat tolong jangan kongsi. Inilah yang akan mempercepatkan proses jangkitan kat orang lain. Lagi bagus belikan anak sikat sendiri. Tak bercampur guna dengan orang lain.


6. Selepas guna sikat masukkan dalam plastik khas.
Kutu yang kena isolasi 7 hari akan mati dengan sendiri.


7. Pantau selalu kepala anak.
Seminggu sekali hujung minggu ceklah kepala anak tu. Lebih-lebih lagi kalau tengok dia tergaru-garu. Tengok kat bahagian belakang tengkuk, tepi telinga. Mana tahu ada telur kutu kat rambut anak. Bila dah ada jangan buat derk je. Cepat-cepat bersihkan telur kutu tu. 

8. Maklumkan juga pada pihak taska/tadika.
Apabila dah tahu anak ada kutu ringan-ringankanlah mulut itu bagitahulah kepada penjaga anak kita. Minta mereka alert dan ambil langkah yang sewajarnya. Kebiasaannya kanak-kanak yang ada kutu kami akan asingkannya tidur jauh sikit daripada kawan-kawan yang lain. 

9. Potong pendek rambut anak

Kutu memang suka duduk dalam rambut yang tebal dan panjang. Sejuk dan lembab je rasanya bila anak berpeluh. Kalau rambut anak kita memang bela panjang mohon bekorban sedikit potonglah rambut anak itu. Pencegahan awal lebih berkesan masa peringkat telur. Lebih tiga hari telur akan menetas jadi anak tinap. Masa ni lagi sakit jiwa nak membersihkannya.

Selain daripada guna ubat kutu yang dijual di farmasi ada juga cara tradisional untuk hapuskan kutu. Tapi saya lebih suka guna cara ni. Lebih mudah dan ringkas. Sesuai sangat buat ibu bapa yang selalu sibuk.

Ingat, kebersihan kepala anak kita tanggungjawab ibu bapa penjaga bersama.

Friday, December 7, 2018

Bagaimana Menceraikan Botol Susu Dengan Kanak-kanak

Langkah Bijak Urus Anak Bercerai Dengan Botol Susu
Teks: Suhana Salleh

Saya rimas tengok kanak-kanak 4 tahun yang masih bergantung dengan botol susu.

Pernah saya terpaksa menguruskan berbelas-belas botol susu kanak-kanak di taska. Setiap kali hujung minggu botol susu kanak-kanak perlu direbus untuk memastikan kebersihannya terjamin. Puting botol harus dikeluarkan daripada penutupnya agar kuman dan kotoran yang terselit kena air panas. Pernah terjadi kes saya tertukar puting botol budak. Semuanya nampak seakan sama sahaja. Ada ibu bapa yang datang complaint.
Sumber: Imej botol susu bayi carian Google

Aduh... bengang juga. Kita berusaha nak matikan kuman kat botol susu anak tapi dia sedap je marah kata taska cuai. Tapi saya terima semua itu dengan hati yang terbuka. Kejadian itu telah membuatkan saya lebih kreatif memikirkan solusi tak nak botol susu banyak- banyak dekat taska. Sudahlah makan space banyak. Jenuh pula nak basuh botol susu 20 orang budak sekali harung.. 
Maka timbullah idea saya melatih kanak-kanak minum susu dalam cawan. Kanak-kanak yang masuk umur 4 tahun saya wajibkan mereka minum susu guna cawan. 2 kali sehari pagi dan petang. Hasilnya memang menakjubkan. Kanak-kanak tak mahu minum susu di taska. Katanya tak sedap (tak syok) sebab tak boleh minum sambil baring.  

Ibu bapa juga akan dimaklumkan mengenai hal ini. Harapannya agar amalan minum susu dalam cawan dapat diteruskan di rumah. Kadang-kadang ada ibu bapa dapat ikut saranan pihak taska. Kadang-kadang ada yang tetap bagi anak susu dalam botol di rumah. Terpulang kepada pendirian masing-masing. Tapi kanak-kanak secara automatik tidak mahu minum susu dalam botoll ketika di taska.

Sebenarnya kita sedang melatih anak ini membiasakan dirinya agar tidak bergantung kepada botol susu. Ini juga sebagai persiapan untuk anak menghadapi alam persekolahan tadika pada tahun seterusnya. Bayangkan bagaimana susahnya ibu bapa yang hendak menghantar anak ke sekolah tadika dalam masa yang sama anak masih minum susu dalam botol. Setiap pagi boleh berperang dengan anak kerana terkejar dengan masa dan hendak melayan anak buat susu dalam botol. Bagaimana pula dengan cikgu yang terpaksa melayan 20 orang kanak-kanak tadika dan masih ada seorang yang bergantung dengan botol susu.

Berbalik kepada latihan itu tadi saya dapati kanak-kanak yang tidak bergantung kepada botol susu lebih independent, lebih mudah bergaul dengan kawan-kawan dan pandai membawa diri sebaik saja mereka masuk ke alam sekolah tadika. Kanak-kanak perlu diajar disiplin dan patuh peraturan agar kehidupan di sekolah lebih hamoni bersama kawan-kawan sebaya mereka.  Sejak itu bebanan saya dan pengasuh taska membasuh botol susu dapat dikurangkan. Masa saya dan pengasuh juga menjadi lebih efektif dengan mengajar kanak-kanak kepada perkara lain yang lebih penting.

Sumber gambar : Page Ibu & Balita

Wednesday, December 5, 2018

HFMD

Hand, Foot, Mouth Disease (HFMD)
Teks: Suhana Salleh


"Puan, anak puan macam ada simptom HFMD. Kami tak boleh terima kerana dikhuatiri menjangkit kepada kanak-kanak yang lain."

"Tak. Itu bukan HFMD. Saya dah bawa pergi jumpa doktor. Doktor kata itu cuma ruam biasa."

"Tapi puan..."

"Oklah, saya dah lambat ini. Nanti petang saya datang ambil anak saya macam biasa."

Seminggu kemudian, seorang demi seorang kanak-kanak di taska diserang HFMD sehingga taska terpaksa ditutup hampir dua minggu untuk dinyahkuman.

Siapa yang susah?

-------------

Musim HFMD ini. Ibu bapa yang menghantar anak ke taska, tadika, sekolah atau ke rumah pengasuh harap peka tanda-tanda yang ada. Kebiasaannya anak diserang demam yang tinggi dan ada lepuh di tapak tangan, tapak kaki, siku, lutut dan bahagian sekitar punggung dan kelengkang. Selain itu ada ulser dalam mulut sehingga kanak-kanak tidak mahu minum susu atau makan.

Jika anak dijangkiti HFMD;
1. dapatkan rawatan dan pengesahan daripada doktor terlebih dahulu
2. ikut arahan doktor sama ada anak perlu ditahan di ward atau boleh jaga di rumah sahaja
3. jika kena kuarantin di rumah minta doktor keluarkan surat cuti kuarantin
4. jangan bawa anak ke tempat yang ramai orang seperti mall, tempat permainan awam dan seumpamanya.
5. tingkatkan amalkan kebersihan di rumah dan di luar rumah.
6. jangan hantar anak ke taska sehingga benar-benar sembuh

Untuk pengusaha taska pula;
1. tingkatkan saringan semasa kanak-kanak sampai di taska
2. jangan ambil risiko terima anak yang dijangkiti HFMD
3. tingkatkan amalan kebersihan di taska
4. cuci tangan dengan bersih selepas mengendalikan najis/ lampin pakai buang kanak-kanak
5. ajar kanak-kanak cuci tangan yang betul sebelum dan selepas makan. Begitu juga selepas masuk tandas.
6. lakukan aktiviti disenfeksi/ penyahkuman secara berkala di taska

Jika terdapat lebih 3 kes kanak-kanak dilaporkan dijangkiti HFMD, kementerian kesihatan berhak mengarahkan taska tersebut ditutup operasinya serta merta.

Kesihatan anak-anak tanggungjawab kita bersama. Mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya.

Pesanan khidmat masyarakat ini dibawa oleh Suhana Salleh, Pengusaha Taska Yang Ceria.

Kisah Ibu (2)

Jangan Main Luar
Teks : Suhana Salleh

Segelintir emak budak taska ini kadang-kadang memang ada yang bersikap pelik-pelik. Kadang-kadang saya sendiri tak faham kenapa. Selalunya kes begini mengundang rasa leluncon pula.

Contohnya macam kes ini. 

Ibu bekerja sebagai seorang juru rawat di sebuah klinik kesihatan. Tapi dia tak benarkan pengasuh taska bawa anak dia bermain di luar. Alasannya dia tidak mahu anak dia kotor. 

Rutin di taska saya setiap hari Khamis pengasuh taska akan bawa kanak-kanak buat aktiviti 'nature walk'. Maknanya semua kanak-kanak yang sihat akan dibawa berjalan ke taman permainan berdekatan. Tujuannya supaya kanak-kanak dapat bermain dan belajar dengan alam semula jadi. Dengan adanya aktiviti ini tak adalah kanak-kanak terperuk sahaja di taska. Kanak-kanak yang sihat adalah kanak-kanak yang aktif dan ceria.  

Saya dapati kanak-kanak gembira dan tidak sabar nak keluar berjalan-jalan setiap kali hari Rabu sampai.  

Kajian membuktikan matahari pagi adalah sumber terbaik vitamin D. Zat makanan dapat diserap dengan lebih baik jika kanak-kanak mendapat vitamin D secukupnya. 

Saya lebih risau jika kanak-kanak taska saya pasif, sedih dan tak mahu bergaul dengan kawan-kawan mereka. Itu adalah petanda mereka tidak sihat. 


Saya selalu rasa serba salah setiap kali kami hendak memulakan aktiviti nature walk. Saya sedih melihat anak itu memandang sepi dari pintu grill taska. Sedangkan kawan-kawannya seronok bermain dan meneroka dengan alam sekeliling.

Pesanan saya, jika anak-anak anda dihantar ke taska libatkan mereka dengan aktiviti yang dijalankan di taska. Semua aktiviti yang dirancang pihak taska sudah pasti ada manfaatnya untuk perkembangan anak-anak. 

Kisah Ibu (1)

Ubat Nyamuk
Teks: Suhana Salleh

Hari ini saya nak tergelak. Betul-betul tak boleh tahan.

Pagi tadi pembantu taska saya bagitau. Dia tak tahan betul dengan 'bau' seorang baby ni. 

Saya tanya, "bau apa?"

Pembantu taska saya kata ada seorang mak baby itu. Dia tampal sesuatu di belakang badan anaknya. Bentuknya macam koyok tapi warna hitam. Baunya busuk lain macam. 

Saya pun angguk-angguk jelah. Saya fikir benda itu mungkin sejenis ubat untuk buang angin dalam badan bayi. Sebab maknya ada bagitahu saya, kebelakangan ini baby dia asyik meragam. Kembung perut. Maklumlah babynya masih menyusu badan. 

-----------

Sebelah petangnya saya jengok semula ke taska. Saya tanya pada pembantu taska saya. Baby itu meragam lagi tak?

Pembantu taska saya kata baby tu dah balik. Emak dia baru sahaja ambil anak dia sebelum saya sampai. Pembantu taska bagitahu saya lagi. Benda yang macam koyok yang ditampal di belakang badan anaknya itu sebenarnya ubat nyamuk.

"Ubat nyamuk? Dah kenapa ubat nyamuk tampal kat badan baby? Mak dia tak perasan ke ubat nyamuk melekat kat badan anak dia," tanya saya.

Pembantu taska saya tergelak.

Katanya, emak baby itu kata dia sengaja tampal benda alah tu di belakang badan anak dia. Sebabnya nak elakkan gigitan nyamuk. Pagi semalam lepas suaminya hantar anak dia ke taska ada nyamuk gigit anak dia. 

Allahu. Saya tepuk dahi. Sambung ketawa.

Prihatin sungguhlah emak dan ayah baby ni. Bimbangkan anak digigit nyamuk sanggup tampal ubat nyamuk tu kat belakang badan anak. Anak dia pun baru berusia 3 bulan.

Bukan apa. Saya cuma terfikir. Tak ada kesan sampingan ke pada baby dia nanti. Seperkara lagi saya cuma bimbangkan keselamatan bayinya. Macam mana jika ubat nyamuk tu tertanggal. Anak dia kutip  masuk dalam mulut. Bukan ke bahaya begitu.

Ibu ayah, saya nak pesan sikit. Sikap prihatin itu bagus. Cuma janganlah berlebih-lebih. Mana yang lebih kita bimbang. Bimbang anak kena gigit nyamuk atau anak masuk kutip ubat nyamuk masuk mulut. 

Sekiranya tak mahu bayi kena gigit nyamuk belilah lotion yang boleh menghalang gigitan serangga. Sebelum hantar taska pagi-pagi itu sapukan pada seluruh badan bayi. Cara itu lebih selamat. Losyen anti serangga ada dijual di farmasi. Cuma saya tak pasti baby bawah dua tahun boleh pakai ke tidak.
Wallahu a'lam.


Tuesday, December 4, 2018

Elakkan Penderaan Di Taska

Elakkan Penderaan Di Taska
Teks : Suhana Salleh


Banyak kisah yang dipaparkan media mengenai kanak-kanak yang di dera. Di taska juga tidak terkecuali. Masih berlaku penderaan walaupun sudah disogokkan dengan banyaknya hukuman yang dijatuhkan kepada pendera- pendera.

Sebagai seorang pengusaha taska saya cuba mengelakkan perkara ini terjadi di taska saya. Aspek utama yang saya ambil sebagai langkah pencegahan adalah menitik beratkan pengasuh yang akan saya ambil bekerja dengan saya.

Untuk tujuan tersebut saya akan elakkan mengambil pengasuh yang ada ciri-ciri berikut;
  • suka beri banyak alasan apabila diminta membuat sesuatu kerja
  • sentiasa berkepit dengan henpon sepanjang waktu kerja
  • tidak pandai menguruskan emosi diri sendiri
  • terbiasa menyebut perkataan kurang sopan atau kasar di hadapan kanak-kanak  
  • bias dengan seorang budak sahaja
  • pemalas 
  • pengotor dan tidak menjaga penampilan diri
  • suka menonton tv waktu kerja
  • tak ikut SOP yang ditetapkan taska
  • berpewatakan kasar, garang dan bengis dengan kanak-kanak
  • suka mengadu domba dengan ibu bapa
  • berpelakuan kasar dengan bayi dan kanak-kanak
Jika pengasuh ada ciri-ciri sebegini cepat-cepat saya ingatkan mereka. Sekiranya sudah diberi peringatan kali pertama masih tidak berubah saya tidak teragak-agak memecat mereka daripada bekerja dengan saya. 

Beza Pengasuh Rumah, Taska dan Tadika

Beza Pengasuh Rumah, Taska dan Tadika
Teks : Suhana Salleh


Sejak akhir-akhir ini media banyak memaparkan isu penderaan kanak-kanak dan kematian bayi yang dijaga oleh orang lain. 

Semasa isu ini sedang hangat diperkatakan saya perhatikan ramai netizen mengecam tanpa mengusul periksa. Ada kanak-kanak yang meninggal di tangan pengasuh namun yang dimarahnya adalah pihak taska. Ada kes kanak-kanak di dera di taska namun yang disalahkan pengasuh.

Masyarakat kita masih keliru perbezaan antara pengasuh di rumah, taska dan tadika.

Di bawah ini saya berikan perbezaan pengasuh di rumah, taska dan tadika secara umum. 

Pengasuh Di Rumah.
Seseorang yang menjaga bayi dan kanak-kanak di rumah sendiri dan bilangan kanak-kanak yang dijaga tidak lebih 9 orang dalam satu masa. Pengasuh di rumah tidak perlu mendapatkan lesen menjalankan perniagaan daripada pihak majlis tempatan di daerah masing-masing. Namun demikian, oleh kerana banyaknya kes yang tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak semasa diasuh pengasuh di rumah, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mewajibkan semua pengasuh rumah mengikuti Kursus Asas Pemata Taska Di Rumah (KAPTR). Kursus ini akan mendedahkan kepada pengasuh amalan pengasuhan yang baik kepada anak-anak asuhan mereka.  

Taska Institusi
Taska adalah singkatan kepada Taman Asuhan Kanak-kanak. Kanak-kanak yang duduk di taska adalah bayi sehingga umur 4 tahun. Bilangan kanak-kanak yang dijaga di taska lebih daripada 10 orang. Taska tidak boleh beroperasi sebelum mendapat kelulusan daripada 3 agensi iaitu Majlis Tempatan, pihak Kesihatan dan Bomba. Penubuhan taska adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (1984). Semua taska yang beroperasi mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tadika
Tadika adalah singkatan daripada Taman Didikan Kanak-kanak. Tadika menerima kanak-kanak yang berumur 5 dan 6 tahun untuk tujuan mendapat pendidikan dengan membayar upah. Setiap tadika swasta perlu didaftarkan dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di bawah unit Pendidikan Swasta. 

Diharapkan selepas membaca perkongsian ini netizen faham dan tidak marah-marah secara melulu. Ibu bapa juga perlu cakna dan ambil berat sebelum mengambil keputusan mahu menghantar anak sama ada kepada pengasuh rumah, taska atau menghantar mereka ke tadika.  




Sunday, December 2, 2018

Resepi Ringkas Untuk Anak (2)

Teks: Suhana Salleh

Hari ini saya nak berkongsi satu lagi resepi ringkas taska tapi disukai ramai kanak-kanak. Resepi yang akan saya kongsikan kali ini ialah Sayur Bayam Tumis Air.

Bahan-bahannya;
  1. Secekak daun bayam yang sudah disiang.
  2. Sebiji bawang merah
  3. Tiga ulas bawang putih
  4. Sedikit ikan bilis
  5. Sedikit minya untuk menumis
  6. Sedikit garam
  7. Semangkuk air
Cara-caranya;
  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis sama ada mahu ditumbuk lumat atau kasar. Boleh juga jika bahan-bahan ini dihiris jika tidak mahu ditumbuk.
  2. Masukkan sedikit minyak dalam periuk untuk menumis.
  3. Apabila minyak sudah panas masukkan bahan-bahan yang sudah ditumbuk tadi.
  4. Kacau pantas untuk mengelakkannya hangit
  5. Masukkan sedikit air.
  6. Biarkan air mendidih.
  7. Masukkan bayam. 
  8. Kacau sehingga semua bayam lecur.
  9. Masukkan sedikit garam.
  10. Boleh tambah air sekiranya kuahnya terlalu sedikit.
  11. Tutup api setelah bayam kelihatan lembut.
  12. Sedia untuk dihidang
Nota tambahan.
  • Potong akar bayam terlebih dahulu sebelum disiang.
  • Lalukan air paip kepada bayam yang sudah dipotong akarnya bagi mengeluarkan pasir-pasir yang terlekat di daunnya.
  • Bilas daun bayam yang sudah siap disiang sekali lagi dengan air.
  • Untuk mendapatkan kuah yang sedang elok pastikan air tidak melebihi paras bayam dalam periuk.
Selamat mencuba.

Resipi Ringkas Untuk Anak (1)

Resepi Ringkas Untuk Anak (1)
Teks: Suhana Salleh


Di taska kami memang sudah sediakan menu kanak-kanak untuk sebulan. Ini bermakna menu kami setiap hari tak sama. Tiap-tiap hari tukang masak taska akan masak menu yang berbeza ikut menu yang sudah ditetapkan.

Untuk memudahkan kerja-kerja membeli barang dapur maka saya buat menu taska begini;
- Minggu 1 dan Minggu 3 adalah menu yang sama.
- Minggu 2 dan Minggu 4 adalah menu yang sama.

Antara menu yang mendapat rangking 5 bintang di taska saya adalah Menu Ayam Masak Kicap. Tak sudah hendak memasaknya. Di sini saya kongsikan resepinya. Boleh juga ibu ayah cuba buat di rumah untuk dihidangkan kepada anak-anak cuti sekolah nanti.

Bahan-bahan;

  1. Ayam yang sudah dipotong ikut saiz yang sesuai dengan kanak-kanak
  2. Sebiji bawang besar yang sudah di hiris
  3. Tiga biji bawang putih
  4. Halia satu inci
  5. Sedikit minyak untuk menumis
  6. Kicap
  7. Perahan air asam jawa


Cara-caranya;

  1. Goreng ayam tadi separuh masak. Kemudian ketepikan dahulu
  2. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali untuk menumis.
  3. Setelah minyak panas masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang sudah dihiris
  4. Apabila bahan yang dimasukkan sudah nampak layu masukkan kicap pekat manis ke dalam kuali.
  5. Masukkan ayam yang sudah digoreng tadi. Kacau perlahan.
  6. Campurkan sedikit dengan perahan air asam jawa. Agak-agak untuk mendapat kuah yang tidak terlalu cair atau terlalu pekat.
  7. Kacau sehingga sebati.
  8. Tutup api dapur. 
  9. Sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba.





Saturday, December 1, 2018

Jadual Waktu Anak Sewaktu Cuti Sekolah

Jadual Waktu Anak Musim Cuti Sekolah
Teks : Suhana Salleh


Cuti sekolah bulan Disember adalah cuti paling panjang untuk anak-anak yang sudah bersekolah.  Seharian anak-anak duduk di rumah. Rutin hari tak sekolah mereka tidur lewat, tidur semula selepas subuh. Kemudian bangun, tengok tv sebelum mandi. Main game, makan, tidur. Dok ulang-ulang macam itulah.

Minggu lepas buatkan jadual untuk anak-anak di rumah. Jadual meliputi tugas dari bangun pagi sampai tidur malam. Sengaja saya masukkan tugas kemas rumah dan bantu tugas ibu ayah dalam jadual mereka. Tujuannya supaya mereka sedar tugas di rumah adalah tugas bersama. Bukan hanya terletak pada seseorang sahaja.

Di bawah ini saya berikan contoh jadual anak-anak saya sepanjang cuti sekolah kali ini.

6.30 pagi - kejutkan anak-anak untuk tunaikan solat subuh

Selepas solat terus saya hidupkan washing machine. Basuh baju yang sudah bertimbun dalam bakul baju kotor.

7.30 pagi - semua anak-anak dikerah mandi pagi, kemaskan katil, lipat selimut masing-masing

8.30 pagi - sarapan pagi sama ada yang dibuat sendiri oleh saya atau dibeli di luar.

Selepas sarapan pagi saya akan bersiap-siap untuk pergi ke taska. Masak nasi terus untuk mereka makan tengah hari. Anak-anak saya yang masih kecil saya bawa bersama ke taska. Manakala yang sudah remaja dan sudah boleh berdikari sendiri saya tinggalkan mereka di rumah. Kadang-kadang suami keluar lewat dan pantaukan tugas mereka.

9.00 pagi hingga 11.00- ulangkaji pelajaran.

Oleh kerana anak saya yang nombor satu duduk di asrama dan dia boleh menguasai subjek menengah rendah lebih baik. Maka waktu ulangkaji ini saya manfaatkannya dengan menyuruh anak saya yang pertama tadi ajarkan mata pelajaran yang adik dia lemah. Terutamanya subjek Matematik.

11.00 pagi - 1.00 petang - waktu santai.
Maknanya anak-anak yang tinggal di rumah tadi dibenarkan menonton tv, rehat, main game sementara nak menunggu waktu zohor masuk. Saya akan minta tolong mereka keluarkan lauk dari peti ais dahulu supaya senang saya nak masak untuk makan malam balik petang nanti.

Untuk makan tengah hari pandai-pandailah mereka panaskan baki lauk semalam. Kalau tak nak makan lauk semalam boleh goreng telur sendiri atau makan roti yang saya memang standby dengan jem dan sebagainya.

Menjadi tanggungjawab anak-anak yang tinggal di rumah untuk angkat baju yang sudah kering di ampaian, hanger baju yang sudah siap dibasuh dan sidai di ampaian. Saya tahu pukul lima petang saya sampai rumah baju-baju yang dah kering masuk dalam bakul baju bersih masing-masing, baju yang saya basuh tadi dah bersidai.

1.00 petang - 3.00 petang - solat zohor, rehat

Saya juga tetapkan jadual mereka penuhkan isi air masak dalam botol, sapu sampah dan buang sampah.

4-00 petang - 5.00 petang - solat asar

5.00 petang - 6.00 petang - saya balik dari taska. kalau anak-anak yang duduk rumah tadi nak keluar pergi main futsal atau pergi taman saya benarkan.

Masa ini saya pula ambil alih tugas. Masak nasi kalau dah habis atau tak cukup, masak lauk utama dan satu hidangan sayur.

6.30 petang - pastikan anak-anak yag main luar tadi balik. Mandi dan bersiap untuk makan malam.

Tugasan basuh pinggan mangkuk, bersihkan meja selepas makan, kutip nasi yang berterabur saya tetapkan giliran untuk anak-anak.

7.00 petang - 8.00 malam - bersiap untuk solat maghrib. Anak saya yang lelaki saya galakkan ikut ayahnya ke masjid. Manakala yang perempuan solat di rumah sama saya. Lepas solat pastikan mereka buka quran sekejap. Saya ajar anak yang kecil baca iqra'.

8.00 malam - 9.00 malam - tunggu solat isya' terus.

Saya memang suruh anak-anak saya solat awal terutamanya isyak. Budak-budak ini kalau dia dah tertidur bukan main susah nak mengejutnya nak suruh solat isyak.

9.00 malam - 11.00 malam- boleh tengok tv rancangan kegemaran mereka. Yang kecil saya akan pastikan mereka masuk tidur selewat-lewatnya 10 malam.

11.00 malam - semua masuk tidur. tak boeh tengok tv atau main game lagi.

Jadi begitulah saya isikan masa anak-anak saya sepanjang cuti sekolah kali ini.




Friday, November 30, 2018

Resepi Ringkas Anak (3)

Resepi Labu Masak Lemak
Teks: Suhana Salleh


Menu ini juga adalah salah satu menu kesukaan kanak-kanak di taska saya. Rasa labu yang tidak pahit ditambah dengan rasa lemak santan dan ikan bilis yang ditambah ke dalam masakan ini membuatkan kanak-kanak gemar akan rasanya.

Di bawah ini saya kongsikan resepinya. Saya kira ini resepi paling mudah untuk dibuat kerana tidak memerlukan bahan yang banyak. Proses penyediannya juga tidak lama. Kurang setengah jam sudah siap.

Bahan-bahan;

  1. Labu yang sudah dikupas dan potong-potong ala dadu besar
  2. Sebiji bawang merah
  3. 3 ulas bawang putih
  4. Sedikit ikan bilis
  5. Santan untuk dibuat kuah
Cara-caranya;
  1. Rebus labu yang sudah dipotong-potong sehingga lembut.
  2. Buang airnya dan ketepikan dahulu
  3. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis kasar
  4. Masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi ke dalam periuk bersama labu yang sudah direbus tadi.
  5. Masukkan santan
  6. Tambahkan sedikit garam
  7. Gaul dan tunggu sehingga mendidih.
  8. Siap untuk dihidang.
Kuah labu masak lemak sedap dimakan bersama nasi panas. Cubalah sekali sekala bertukar ke menu ini jika anak-anak seakan sudah jelak dengan sayur moden.

Selamat mencuba.

Thursday, November 29, 2018

Benda Mesti Bawa Ke Taska

Senarai Barang Perlu Ada Taska
Teks : Suhana Salleh


Sekiranya baru pertama kali menghantar anak ke taska ibu bapa pun tak tahu apa barang yang perlu di bawa. Sebagai panduan umum di bawah ini disenaraikan barang-barang yang mesti di bawa ke taska. Antara barang tersebut;
  1. baju dan seluar 3 pasang
  2. lampin pakai buang 5 unit
  3. tuala mandi sehelai
  4. bekalan susu sendiri atau susu formula yang mencukupi untuk sehari 
  5. beg untuk isi baju kotor

Senarai Barang Larangan Taska

Senarai Barang Larangan Taska
Teks: Suhana Salleh


Hantar anak-anak ke taska kena ikut peraturan taska.

Kebiasaannya pihak taska akan menyenaraikan senarai barang-barang yang tidak boleh di bawa ke taska kepada ibu bapa dan penjaga.

Di taska saya antara barang yang tidak dibenarkan bawa adalah;

  1. Gadget seperti handphone
  2. Barang perhiasan yang diperbuat daripada emas
  3. Puting 
  4. Buaian
  5. Mainan kecil seperti mini lego
  6. Duit dalam jumlah yang tidak munasabah
  7. Buku dan majalah berunsur lucah
  8. Benda-benda tajam yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain
  9. Bantal busuk
  10. Mainan dari rumah
  11. Duit syiling
  12. Manik dan benda-benda yang boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik atau tersumbat rongga
Jadi awal-awal lagi saya dah maklumkan kepada ibu bapa tak boleh bawa barang ini ke taska. Benda - benda ini boleh menyebabkan kes tercekik, bergaduh d taska. Pendek kata boleh mendatangkan bahaya. Jadi sebelum berlaku perkara tak diingini baiklah kita elakkannya. Bak kata orang kita, 'mencegah itu lebih baik daripada mengubati'.


Wednesday, November 28, 2018

5 Cara Meringankan Tugas Pengasuh Taska

5 Cara Meringankan Tugas Pengasuh Taska
Teks : Suhana Salleh


Apa perasaan anda jika pagi-pagi terima kanak-kanak yang berlemuih? Dengan bau masam air liur basi. Diapers petang semalam pun tak tukar lagi. Penuh yang amat sehinggakan tekan sikit je pun terus bocor. Apabila anak berjalan melayut ke bawah.
Sumber: Gambar Google


Tentu kita pun tak senang dengan situasi begini. Jika seorang budak yang 'overload' bolehlah dimaafkan. Mungkin pagi itu ibu dan ayahnya terlajak tidur. Tak sempat nak tukarkan diapers anaknya. Bagaimana pula jika ramai dan hanya seorang pengasuh sahaja yang terpaksa menguruskan kanak-kanak pagi itu. Sudah tentu mood ceria pada awalnya boleh bertukar jadi 360 darjah. Silap hari bulan kanak-kanak itu pula yang jadi mangsa dera gara-gara ketidakprihatinan ibu ayahnya.

Daripada pengalaman saya, banyak cara yang ibu bapa boleh buat untuk membantu meringankan tugas pembantu taska setiap kali menghantar anak ke sana. Antaranya;

1. Tukar dahulu diapers anak
Pastikan setiap kali mahu menghantar anak ke taska diapers mereka yang dipakaikan sejak petang semalam ditukar terlebih dahulu. Jadi kanak-kanak berada dalam keadaan kering dan selesa. Tak adalah kes pagi-pagi dah terkena najis anak kepada pengasuh.

2. Siapkan anak dari rumah jika hantar lewat
Jika kebiasaannya hantar anak 7 pagi. Kebetulan hari itu kita masuk lewat sebab menghadiri meeting di tempat lain. Jadi apalah salahnya mandikan sekali anak tu dari rumah. Siapkan anak, pakaikan baju elok, sikat rambut dan bedakkan dia. Lepas itu barulah hantar ke taska. Kanak-kanak yang datang dengan keadaan tak ceria boleh menjejaskan aura positif pengasuh di taska.

3. Beri anak sarapan di rumah
Sudahlah datang lewat, tak mandi lagi. Sarapan apatah lagi. Manalah budak itu tak buat perangai masa ibu ayah hantar dia ke taska. Seeloknya kalau dah lambat itu siapkanlah anak dari rumah. Masukkan pakej sarapan dan minum susu sekali. Tak adalah orang lain nak marah bila tengok emak ayah bukan main cantik nak ke pejabat. Tiba kat anak main hantar macam itu saja.

4. Senyum masa hantar anak
Ya, kami faham emak ayah dah lewat nak ke pejabat. Nak tempuh jem lagi. Fikirkan punch card warna merah nanti. Tapi apalah salahnya senyum sikit. Tak luak pun minyak wangi yang dipakai itu kalau senyum. Nampak makin manis lagi ada. Hal senyum nampak enteng tapi percayalah ada kuasa pada senyuman anda yang boleh membuatkan hati penerima berbunga-bunga sepanjang hari.

5. Siapkan barang keperluan anak secukupnya
Duduk taska ini semua barang peribadi kanak-kanak tak boleh nak share. Berus gigi, tuala mandi, diapers, susu, baju, tuala lap hingus dan seumpamanya. Bukan apa ini semua untuk kesihatan dan keselamatan anak kita juga. Kongsi-kongsi barang peribadi boleh menyebabkan penyakit pun boleh dikongsi. Kita tak mahu jadi macam itu. Sebaiknya dielakkan. Jadi malam sebelum tidur belek-beleklah beg anak. Siapkan keperluannya untuk esok. Jadi tak adalah tertinggal-tinggal barang anak nak ke taska. Jika ditaqdirkan bangun lambat pun pagi itu semuanya dah get ready. Tinggal nak masukkan dalam kereta je.

Kesimpulannya jika ibu bapa bertimbang rasa, prihatin dan beri kerjasama dengan pengasuh sudah pasti kes dera kanak-kanak boleh turun dengan drastiknya. 

Sumber: gambar Google




5 Jenis Sayur Kegemaran Kanak-kanak

Ingat senang ke nak ajar budak-budak suka makan sayur. Antara trick yang selalu saya guna macam ni.

"Makan sayur ni bagus tau."

"Siapa makan carrot nanti mata dia bersinar-sinar. Cantik..." sambil kelip-kelip mata.

"Siapa makan kacang panjang nanti dia tinggi boleh pergi sekolah."

"Siapa makan sayur bayam nanti kalau jatuh, ada luka cepat baik."

Lepas itu saya tanya kat diaorang. Sapa tau apa lagi khasiat makan sayur?

"Kalau kita makan sayur boleh jadi putih, kan Mak Ana?"

Dan saya pun 'krikk.... krikk...'

Budak-budak memang susah nak suruh makan sayur. Tapi jika dari kecil kita dah biasakan mereka dengan sayur dan ajar makan sayur perkara itu tak mustahi. 

Daripada pemerhatian terhadap kanak-kanak di taska saya mereka boleh saja makan sayur tanpa paksaan. Nak ajar anak suka makan sayur kita kenalah kenalpasti jenis-jenis sayur yang rasanya tak pahit. Di sini saya senaraikan 5 jenis sayur yang kanak-kanak suka dan jarang mereka tolak.
1. Carrot
Masa usia 8 tahun ajar mereka pegang carrot dulu. Warna jingga carrot mampu menarik perhatian si kecil untuk masukkan carrot ke dalam mulut mereka. 

2. Bayam hijau
Ini sayur paling disukai kanak-kanak di taska saya. Lebih-lebih lagi jika dimasak tumis air. 2 cekak pun tak cukup. Laju je mereka makan. Mungkin rasanya yang tak pahit membuatkan kanak-kanak jatuh cinta dengannya.

3. Kacang buncis
Kacang buncis mempunyai rasa yang tersendiri. Rangup jika digoreng dan lembut apabila ditambah sedikit air. Elok dihiris nipis-nipis jika mahu menghidangkan kepada anak. 

4. Kacang panjang
Kacang panjang rangup jika dimakan begitu sahaja. Sedap juga jika digoreng. Rasanya tidak pahit sebab itu tekak kanak-kanak boleh terima. 

5. Kobis cina
Emm.. sayur yang ini pun sama. Tak ada rasa apa. Macam bukan makan sayur kalau kena budak-budak makan sayur ni. Anak saya pun suka. Kadang-kadang dia masuk sayur sahaja tanpa nasi.


Selain sayur di atas boleh juga cuba sayur cendawan shitake, labu, petola dan cauliflower yang dimasukkan dalam masakan tom yam.

Ajar Anak Latihan Ke Tandas

Kasihan saya apabila melihat kanak-kanak pada usia 4 tahun masih pakai lampin pakai buang. Pada hal kanak-kanak itu dah mencapai tahap perkembangan yang sesuai dengan usianya. Maknanya dia sudah boleh bercakap dengan jelas, sudah boleh merasa jika mahu membuang air besar atau air kecil.

Lebih menyedihkan apabila segelintir ibu bapa ditanya mengapa masih memakaikan anak mereka lampin pakai buang? Jawapannya susah nak ajar anak ke tandas. Asyik terbabas sahaja.

Ibu-ibu, ayah-ayah...

Latihan ke tandas ini bukannya usaha satu pihak sahaja. Latihan ini perlukan dua pihak iaitu ibu bapa dan anak. Jika anak kita dah boleh bercakap atau mengekspersikan wajahnya ketika rasa mahu terkucil, tidak mahu dipakaikan lampin. Itu tanda-tanda menunjukkan anak kita sudah bersedia. Sebagai ibu bapa kita kena ajar dan sokong usaha mereka.

Di bawah ini saya catatkan pengalaman saya melatih anak ke tandas seawal usia dua tahun.

1. Anak sudah boleh bertutur dengan baik.
Kelima-lima anak saya sudah boleh bercakap dengan jelas pada usia 2 tahun. Maka proses melatih mereka menggunakan tandas menjadi lebih mudah.

2. Ekspresi wajah atau perbuatan pelik ketika mahu terkucil
Tak perlu bimbang jika anak kita masih belum boleh bertutur dengan jelas pada usia 2 tahun. Sebagai ibu bapa yang bijak kita boleh kenalpasti ekspresi wajah anak setiap kali mereka mahu membuang air kecil atau besar. Anak saya selalunya mencari ruang tersembunyi seperti di belakang langsir setiap kali dia mahu membuang air besar.

3. Kenalpasti trend anak membuang air kecil dan besar.
Kebiasaannya kita sudah boleh mengagak bila anak kita hendak membuang air. Saya sering menggunakan tempoh 4-6 jam kepada anak saya untuk pergi ke tandas. Katakan anak kita bangun pukul 8 pagi. Jadi saya mandikannya dahulu. Selepas tempoh 4 jam saya akan menanyakan padanya sama ada mahu buang air atau tidak. Jika anak saya berkeras tidak mahu saya tetap akan membawanya ke tandas dan menyuruhnya membuang air. Selalunya kerana terlalu leka bermain atau menonton anak kita akan terkucil sendiri.

4. Gunakan seluar yang mudah ditanggalkan
Semasa latihan ke tandas saya akan memakaikan seluar yang mudah dipakai kepada anak-anak saya. Ini bertujuan supaya apabila kanak-kanak terasa ingin terkucil dia akan cepat-cepat ke tandas. Pernah terjadi anak saya terkucil betul-betul depan pintu tandas. Semuanya gara-gara susah hendak menanggalkan seluar maka banjirlah lantai dibuatnya.

Pada awal latihan memang seksa jugalah kita dibuatnya. Selalu sahaja mereka terkucil merata-rata pada bila-bila masa. Suka diingatkan jangan sesekali marah atau tengking anak sekiranya mereka terkucil. Proses ini adalah normal. Kadang kadang mengambil masa dua minggu atau lebih untuk mereka mahir menggunakan tandas.

5. Puji anak ketika dia berjaya menggunakan tandas dengan baik.
Setiap kali anak berjaya gunakan tandas dengan betul saya akan puji mereka. Jika tidak berjaya jangan marah. Sentiasa beri sokongan. Kanak-kanak yang kerap dimarah dikhuatiri akan menyebabkan mereka menjadi takut seterusnya terpaksa guna lampin pakai buang semula.

Oh, ya panduan ini hanya tertakluk pada kanak-kanak bawah 4 tahun sahaja dan pada waktu siang. Semasa tidur tengah hari atau berjalan-jalan jauh saya akan pakaikan lampin pakai buang untuk mereka.
Keupayaan mengawal usus dan pundi kencing merupakan pencapaian penting dalam hidup anak kita. Berikan galakan dan panduan untuk anak-anak kita. 

Tidak kira berapa lambat anak kita belajar menggunakan tandas dengan betul, percubaan untuk melatihnya sebelum badannya bersedia adalah sia-sia.
Selamat mencuba!


Friday, November 23, 2018

Tindakan Yang Perlu Diambil Oleh Mangsa Buli

Dia kata hari tu ibu tak payah datang. Lagi 3 minggu dah nak balik rumah cuti akhir tahun.

Minggu lepas dia call saya. Suaranya sebek.

Saya tanya kenapa?

Kata dia, tak ada apa-apa. Tapi saya tahu dia tengah tahan air mata sebab ada bunyi sedut hingus.

Pelik. Kalau tak ada apa kenapa dia nak sedih?

Tiba-tiba dia ajak saya outing minggu depan.

Saya tanya nak buat apa?

"Saja. Nak beli pen." 

Saya tahu dia cuma bagi alasan. Setakat outing nak beli pen sebatang lebih baik tak payah suruh saya datang. Outinglah dengan kawan-kawan. Kalau malas sangat, kirim saja pada kawan lain cadang saya kepadanya.

Tapi dia bersungguh ajak saya outing minggu depan. Alasannya nak keluar makan sama. "Dah lama abang tak makan dengan ibu."

Tak sedap hati, saya ajak suami tengok keadaan dia di sana minggu berikutnya. Bila sampai sana baru tahu kenapa dia sedih. Patutlah... beberapa kali kena suruh basuh baju dengan senior rupanya.

Saya tahu dia tertekan.

Jadi saya berikan beberapa langkah solusi kepadanya.

1. Elakkan diri dari bertembung dengan senior itu.
Dia kata ok. Senior tu tak suruh dia cucikan baju dah. Tapi lepas dua tiga minggu senior tu panggil dia balik. Senior tu suruh kawan sebilik dengan dia panggilkan.

2. Catat tarikh dan masa setiap kali kejadian.
Buat catatan ringkas setiap kali senior tu suruh dia basuh baju. Tujuannya sebagai bahan bukti jika ada kes berbangkit. Kedua kita boleh kaji trend si pembuli. Hari apa dia akan suruh cuci baju. Waktu-waktu tu boleh lari ke tempat yang lebih selamat.

3. Cuci ala kadar.
Masa basuh tak payahlah sental bersungguh. Celup-celup sudah. Tak payah pakai sabun. Bilas sikit-sikit. Cukup. Kalau senior tu tengok baju dia tak bersih dah tentu dia tak akan suruh budak yang sama cuci. Tak pun hantar sahaja ke dobi asrama. (Asrama sudah sediakan perkhidmatan dobi untuk semua pelajar).

4. Lengah-lengahkan masa.
Kalau senior itu suruh cuci baju dia sewaktu hari cuti. Cucikan baju dia waktu tengah malam. Esoknya nak sekolah baru si pembuli gelabah tengok baju masih bersidai di ampaian. Kalau dia nak belasah lantak. Itu pentingnya tindakan nombor 2.

5. Beri amaran pada senior itu.
Jadi orang janganlah lurus sangat. Berani sikit. Benda yang tak sepatutnya dibuat kena tegur. Cakap dengan senior tu ini last basuh. Lepas ini kalau dia suruh basuh lagi memang taklah. Ugut sikit. Cakap perbuatan dia ini akan dimaklumkan kepada cikgu atau mak ayah.

6. Maklumkan pada cikgu.
Kalau dah melampau sangat tiap minggu nak suruh basuh sampai buat emosi sendiri tertekan. Bagitahu saja pada cikgu homeroom (mak angkat kat sekolah). Biar cikgu ambil tindakan yang sewajarnya.

7. Ibu bapa sendiri yang akan ambil tindakan.
Kalau takut nak bagitau homeroom biar ibu sendiri yang bagitau hal tersebut kepada cikgu homeroom dia. Tahulah ibu nak ikut prosedur yang sepatutnya. Ibu bukan jenis meroyan tak tentu pasal.

Sebagai ibu bapa jangan pandang remeh aduan anak. Dengar dan siasat. Ada benda yang kita boleh diabaikan. Ada benda yang kita perlu beri perhatian. Ada benda yang perlu tindakan dan sokongan. Ingat jangan sampai pembuli besar kepala. Anak kita pula yang jadi mangsa. Ajar mangsa buli untuk berani bertindak dengan betul.

Sebenarnya ini catatan saya setahun yang lepas. Alhamdulilah sekarang senior itu dah tak suruh dia cuci baju lagi. Hubungannya dengan senior itu pun dah baik. Boleh angkat-angkat tangan apabila terserempak. Saya syak senior tu memang saja acah-acah hendak tunjuk power dengan junior. Nasib baik sampai langkah 3 masalah selesai.

Case closed!

7 Ciri Ibu Bapa Yang Disenangi Pengasuh

Sebelum menjalankan operasi taska institusi saya pernah menjadi pengasuh di rumah. Pada masa itu bilangan kanak-kanak yang saya asuh tak ramai. Kanak-kanak yang diasuh pun terhad kepada anak-anak jiran setaman.

Sebagai seorang yang tidak mempunyai latar belakang usahawan, bekerja sendiri sangat mencabar bagi saya. Bayangkan selama ini saya hanya bekerja makan gaji. Apa yang saya tahu setiap bulan gaji masuk dalam akaun. Saya tidak perlu buat sales atau memperkenalkan produk kepada umum.

Bayangkanlah apabila tiba-tiba dunia saya bertukar 360 darjah sebaik sahaja mengambil keputusan hendak menceburi bidang ini.

Menjaga kanak-kanak mungkin perkara susah bagi orang lain. Tapi ada lagi perkara yang lebih susah bagi saya. Saya tidak tahu berapa hendak menetapkan harga servis kepada ibu bapa. Pernah satu ketika saya minta ibu bapa sendiri yang  tetapkan harga servis yang saya tawarkan pada mereka.

Naif betul masa tu...

Saya kira itu dilema biasa bagi pengasuh yang baru hendak bermula. Tapi sepanjang menjadi pengasuh di rumah pengalaman banyak mengajar saya mengenali sikap ibu bapa.

Jadi hari ini saya senaraikan 7 ciri yang ibu bapa kena ada untuk disenangi pengasuh. Antaranya;

1. Bayar Yuran Awal Bulan.
Selalu kita tengok pengasuh di rumah akan dibayar upah mereka pada akhir bulan. Maknanya pengasuh kena jaga dahulu sampai akhir bulan baru dapat upah. Apa kata ibu bapa bayar awal sebelum dapat perkhidmatan mereka. Tentu pengasuh rumah lebih ceria dan bersemangat nak menjaga anak kita. Upah yang dibayar awal akan memberi rasa tanggungjawab kepada pengasuh untuk menggalas amanah yang diberikan. Lagipun bukankah nabi kita ada mengajar bayarlah upah kepada pekerjamu sebelum kering keringat mereka.

2. Bayar Yuran Tepat Pada Masanya
Jika ibu bapa tak mahu bayar awal pun tak menjadi masalah. Tapi kenalah tepati bila tarikh bayaran sepatutnya dibuat setiap bulan. Jika berjanji paling lewat 7 haribulan jangan pula lajak sampai tengah bulan. Pengasuh pun ada keperluan asasi yang mereka perlu penuhi. Jika ibu bapa lajak sampai tengah bulan bayangkanlah bagaimana mereka nak teruskan kehidupan. Terkulat-kulat memandang orang lain membeli itu ini. Anak-anak mereka pun dah minta macam-macam.

3. Bayar Yuran Penuh.
Kadang-kadang dalam satu bulan ada cuti umum berderet. Kadang-kadang emak abah kita dari kampung datang duduk rumah sampai dua minggu. Jadi kasihan pula nak hantar cucu itu ke rumah pengasuh. Walaupun anak kita tak datang penuh cubalah empati pada pengasuh dengan membayar penuh kepada mereka. Tak perlulah berkira sangat. Sampai nak tolak gaji mereka ikut hari. Kita pun kalau cuti tak datang kerja bos bayar penuh,kan?

4. Beri Hadiah Walaupun Tak Diminta
Sesekali apa salahnya bagi hadiah kepada pengasuh yang jaga anak kita. Contohnya hari raya. Hulurkanlah kain pasang ke, telekung ke, tudung atau sebalang kuih raya untuk mereka. Nak bagi duit raya pun tak salah. Bukan selalu pun dapat buat begitu. Paling tidak setahun sekali. Tengoklah betapa gembiranya mereka jika dapat hadiah yang tak disangka daripada kita.

5. Tidak Cerewet
Sebagai ibu bapa kita memang selalu mahukan anak kita dapat depenuh perhatian daripada pengasuh. Lebih-lebih lagi jika itu anak kita yang pertama. Kalau boleh semua nak tip top sampaikan tak boleh ada satu nyamuk pun gigit anak kita. Tapi kita perlu ingat rumah pengasuh adalah rumah pengasuh. Mereka ada peraturan di rumah mereka sendiri. Tak perlulah peraturan di rumah kita sampai hendak di bawa masuk ke rumah pengasuh. Letih pula pengasuh tu nanti...

6. Bayar Duit Lebih  Masa.
Kebiasaanya jika mengasuh anak di rumah pengasuh ibu bapa akan bayar jumlah lump sum. Tak kiralah jika ambil anak lewat ke, hantar anak hari Sabtu atau Ahad. Semuanya bayar macam biasa. Apa kata selepas ini jika pengasuh tak tetapkan jumlah lebih masa anak berapa. Ibu bapa sendiri yang tambahkan bayaran tersebut untuk pengasuh. Bukan apa, kadang-kadang memang ada pengasuh yang malu hendak cakap/ minta. Padahal bayaran lebih masa itu memang hak mereka.

7. Mudah Memberi Kerjasama
Pengasuh pun ada masa-masanya mereka jatuh sakit. Mereka perlukan cuti daripada mengasuh anak kita. Jika kita nampak pengasuh tidak larat tanyakan tahap kesihatan mereka. Jika mereka tak mampu nak jaga anak kita hari itu tawarkan diri kita sendiri untuk jaga anak kita. Biarkan pengasuh berehat secukupnya di rumah. Kadang-kadang mereka pun mahu pergi ke mana-mana bersama keluarga. Kalau dapat mereka bagitahu awal pun bagus dapatlah kita siap-siap minta cuti di pejabat. Begitu juga jika pengasuh terpaksa cuti kerana ada kecemasan.

Diharapkan dengan perkongsian ini ibu bapa lebih peka dan tak ambil enteng perkara ini walaupun nampak remeh. Siapa tahu dengan keprihatinan kita terhadap kebajikan mereka anak-anak kita akan dijaga dengan lebih baik.

Suhana Salleh
Pernah jadi pengasuh di rumah.

Anak Serasi Atau Tidak Di Taska?

"Puan, saya tak pernah hantar anak dekat taska. Macam mana nak tahu anak saya ok ke tidak dekat sini?" 

Saya selalu dapat soalan begini daripada ibu bapa/penjaga yang pertama kali nak menghantar anak mereka ke taska saya.

Pada saya nak tahu anak serasi atau tidak di tempat asuhan yang baru mudah sahaja. Lihat tidur malamnya bagaimana.

Antara soalan biasa atau soalan wajib yang saya tanyakan kepada ibu bapa yang baru hantar anaknya ke taska saya. "Malam tadi anak boleh tidur tak?"

Jika ibu bapa bagitahu anak mereka tidur lena malam tadi sampai tak sedar nak minum susu (ini jawapan bonus). Maksudnya kanak-kanak itu memang serasi di tempat barunya. Jika jawapan yang diberi sebaliknya. Keadaan ini memberi petanda yang anak itu masih tak dapat sesuaikan dirinya di tempat baru. Bagi saya ini adalah petanda awal sesuatu yang perlu diambil perhatian sama ada saya sendiri sebagai pengusaha taska atau ibu bapa khususnya.

Saya memang memberi tempoh percubaan kepada kanak-kanak yang baru masuk ke taska saya. Tempoh percubaan di taska saya paling cepat dua minggu. Paling lama sebulan.

Apa yang saya buat semasa tempoh percubaan?
1. Membiarkan kanak-kanak mengeksplorasi tempat baru.
Kanak-kanak tak terikat dengan Jadual Waktu Taska. Mereka bebas mengeksplorasi kawasan persekitaran dan ruang yang ada. Saya kenalkan mereka ruang penting yang ada di taska. Misalnya ruang aktiviti, ruang untuk tidur, tandas, taman luar, tangga hatta dapur. Kanak-kanak akan diingatkan agar tidak memasuki kawasan bahaya seperti dapur dan tandas tanpa pengawasan orang dewasa. 

2. Berkenalan dengan kanak-kanak yang lebih senior.
Kanak-kanak bebas berkenal-kenalan dengan kawan-kawan taska sedia ada. Saya galakkan kanak -kanak yang lebih senior ajak dia bermain bersama-sama. Saya akan suruh mereka pujuk kawan barunya jika dia menangis atau sedih. Dari sini kanak-kanak baru tadi akan belajar menyesuaikan diri dengan kanak-kanak yang lain.

3. Pilih nak ikut pengasuh yang mana.
Tempat baru, persekitaran baru dan kawan-kawan baru jika tak ditangani boleh mendatangkan stres pada kanak-kanak. Saya lebih suka membiarkan kanak-kanak yang baru masuk ke taska saya pilih nak ikut pengasuh mana yang dia rasa selesa. Di taska saya mengaplikasikan jagaan bergilir untuk pengasuh. Maknanya pengasuh tidak akan mengasuh kanak-kanak yang sama setiap minggu. Namun, imuniti yang diberi dalam tempoh percubaan kanak-kanak ini dibenarkan nak ikut pengasuh yang dia suka. Tujuannya untuk membina hubungan dan keyakinan awal dengan orang dewasa yang baru dikenalinya. 

Jika kesemua aspek di atas sudah diambil perhatian bagaimana saya tahu yang kanak-kanak tersebut  serasi dengan taska saya atau tidak?

1. Serasi
Sekiranya selepas tempoh percubaan berakhir kanak-kanak datang ke taska tanpa menangis, trauma dan ceria setelah dilepaskan daripada tangan ibunya. Maka saya kira kanak-kanak itu serasi dengan taska saya.

2. Tidak serasi
Selepas tempoh percubaan berakhir kanak-kanak tersebut masih menangis sewaktu di hantar ke taska. Wajahnya kelihatan trauma saat melihat kawasan taska. Tidur malamnya terganggu.

Jika ada tanda-tanda sebegini mungkin ada 'something wrong' di situ. Sama ada dari pihak saya atau pihak ibu bapa atau anak itu sendiri.

Seboleh-bolehnya saya akan elakkan menjaga kanak-kanak yang tak serasi di taska saya. Saya tak mahu mengambil risiko tersebut. Tangisan bayi dan kanak-kanak yang berpanjangan boleh membingitkan telinga kita yang mendengarnya. Bayangkan jika kanak-kanak yang dihantar menangis tidak berhenti dari datang sampailah waktu hendak balik. Pengasuh tidak boleh buat apa selain terpaksa menemaninya setiap masa. Hendak ke tandas pun susah. Sudah tentu keadaan ini boleh mendatangkan stres. Jika tidak ditangani dengan baik dikhuatiri pengasuh boleh hilang sabar. Kanak-kanak pula yang menjadi mangsa dera tanpa sengaja. 

Ketahuilah ibu bapa dan penjaga, kanak-kanak perlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu, persekitaran baharu, kawan-kawan baharu dan orang dewasa yang baharu dalam fasa hidup mereka. Jangan paksa kanak-kanak untuk terima semua keadaan tersebut tanpa menyelidik apa puncanya.

Tapi ada juga setengah kes di mana anak ok, ibu bapa yang melebih-lebih. 'Over ptotective' bak kata orang putih. Jika demikian saya lebih rela mengundur diri. Tak mahu semakkan kepala. Tak mahu susahkan tugas pengasuh saya yang lain. Maka ambillah anak anda untuk dijaga sendiri atau orang lain.

Harap tip ini dapat membantu ibu bapa di luar sana.