Popular Posts

Showing posts with label 4. Show all posts
Showing posts with label 4. Show all posts

Monday, March 18, 2019

Cuti Sekolah Datang Lagi

Cuti Sekolah Datang Lagi
Teks: Suhana Salleh

Terbaca status seorang mak itu di FB. Dia seakan tidak percaya minggu depan, cuti sekolah seminggu akan bermula. Menurut mak itu lagi, cuti sekolah dia kena urut dada sebab anak-anak akan memenuhi ruang rumah pula. Bagi peluang cikgu pula nak berehat. 
Emak ini bukannya tak suka anak-anak berada di rumah. Cuma faham-faham sajalah. Sesekali anak-anak berkumpul tentu 'meriah' rumah jadinya. Apatah lagi kalau anak-anak ramai macam saya. Mana nak fikir basuh baju, angkat baju, lipat baju. Itu belum lagi fikir nak masak menu apa untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Boleh jadi tangan sotong emak-emak ini dibuatnya walaupun memang jadi suri rumah sepenuh masa.
Kes saya pula, sekolah ke, cuti sekolah ke tetap urut dada. 
Nak-nak lagi apabila cuti sekolah sampai. Lagilah kena urut dada laju-laju. Mana tak laju. Siang menghadap anak taska dan transit. Malam menghadap anak-anak kat rumah.
Untuk makluman semua, taska mana ada cuti panjang macam cuti sekolah. Saya rasa kalau dalam kalendar itu ada 365 hari setahun taska akan beroperasi sepanjang tahun.
Itu pun, mujur ada Sabtu, Ahad dan cuti umum. Dapatlah cikgu taska rehat sikit sebab memang wajib tutup. Kalau tak, ada naya. (Mau taska jadi macam 7E ).
Taska kalau cuti panjang pun itu disebabkan kena buat kerja-kerja pembersihan (atas arahan pihak kesihatan). Mesti ada kes HFMD ke dan seumpamanya. Lain daripada itu jangan haraplah. Even jerebu, anak sakit kuat pun masih ada lagi yang nak hantar anak duduk taska.
Jadinya saya nak nasihatkan kat mak-mak yang bercuti masa cuti sekolah. Kalau boleh tak payah hantar anak ke taska. Buatlah bonding time dengan anak-anak di rumah. Nikmati 24 jam dengan anak sendiri sepenuhnya. Rasailah sendiri cabarannya. Bagilah peluang cikgu taska ini kendurkan otot-ototnya yang sedia tegang itu. 

Selama menyambut cuti sekolah duhai emak. Senyumlah, anak-anak merindui bebelanmu itu. Seminggu je pun.


Sunday, January 27, 2019

Penyakit Berjangkit Di Taska: Kutu

Kutu Kepala
Teks: Suhana Salleh

Baru-baru ni adik ipar bagitahu anaknya dijangkiti kutu selepas beberapa hari ke tadika.
Hasil carian imej untuk gambar kutu kepala
Kutu ini kecil je saiznya tapi kalau dia hisap darah kat kepala gatalnya yang amat.
Sumber: Google 
Kutu ini sebenarnya memang cepat berjangkit. Terutamanya kanak-kanak yang dihantar ke taska, tadika dan sekolah. Kutu dikategorikan dalam kumpulan parasit yang hisap darah. Bila anak dah dijangkiti kutu kepalanya akan rasa gatal, panas. Mulalah asyik tergaru-garu. Kita yang tengok dia pun rasa tak selesa.

Di taska saya pun pernah jadi masalah kutu ini. Kutu datang dari pelbagai punca. Ada yang bawa dari rumah, dari kampung, dari sekolah. Tiba taska berjangkit dengan kawan-kawan pula. Dah jadi satu kerja tambahan pula pembantu taska saya nak membasminya.

Kutu kepala ini memang cepat membiak. Tak hairanlah sebab seekor ibu kutu boleh keluarkan 70-100 biji telur setiap kali bertelur. Itu baru seekor. Bayangkan kalau kat kepala tu ada berekor-ekor ibu kutu.

Sebagai pengusaha taska saya memang tak gemar jika kanak-kanak taska berkutu. Boleh menjangkit kat orang lain itu yang payah. Renyah kerjanya. Jadi di sini saya mahu syorkan beberapa inisiatif yang boleh diambil oleh ibu bapa penjaga jika anak-anak kita dijangkiti kutu kepala.

1. Beli ubat basmi kutu
Selalunya ada jual di farmasi. Sekarang ni ubat kutu pun macam-macam jenis. Ada yang macam minyak, ada yang shampoo. Cari yang ada pakej sikat kutu sekali. Senang nanti lepas pakai ubat kutu boleh sauk kutu guna sikat tu.


2. Ikut arahan seperti yang diarahkan.
Cara guna ubat kutu ni senang je. Kena lumur kat rambut. Tekup dengan tuala atau scarf putih. Tunggu dalam 10 minit. Nanti keluarlah kutu-kutu yang pening lalat tu. Cuma kena pastikan berapa kali kekerapan penggunaan yang dianjurkan.


3. Kena rajin shampoo rambut anak.
Pastikan anak cuci rambut dengan shampoo sekurang-kurangnya 1 kali sehari. Masa bilas rambut boleh guna sikat bagi kutu keluar.


4. Asingkan tempat tidur.
Anak yang ada kutu tak boleh tidur dengan adik beradik yang tak ada kutu even ibu ayah. Pengasingan ini sementara je untuk elakkan menjangkit.


5. Jangan kongsi barang peribadi.
Tuala, sikat tolong jangan kongsi. Inilah yang akan mempercepatkan proses jangkitan kat orang lain. Lagi bagus belikan anak sikat sendiri. Tak bercampur guna dengan orang lain.


6. Selepas guna sikat masukkan dalam plastik khas.
Kutu yang kena isolasi 7 hari akan mati dengan sendiri.


7. Pantau selalu kepala anak.
Seminggu sekali hujung minggu ceklah kepala anak tu. Lebih-lebih lagi kalau tengok dia tergaru-garu. Tengok kat bahagian belakang tengkuk, tepi telinga. Mana tahu ada telur kutu kat rambut anak. Bila dah ada jangan buat derk je. Cepat-cepat bersihkan telur kutu tu. 

8. Maklumkan juga pada pihak taska/tadika.
Apabila dah tahu anak ada kutu ringan-ringankanlah mulut itu bagitahulah kepada penjaga anak kita. Minta mereka alert dan ambil langkah yang sewajarnya. Kebiasaannya kanak-kanak yang ada kutu kami akan asingkannya tidur jauh sikit daripada kawan-kawan yang lain. 

9. Potong pendek rambut anak

Kutu memang suka duduk dalam rambut yang tebal dan panjang. Sejuk dan lembab je rasanya bila anak berpeluh. Kalau rambut anak kita memang bela panjang mohon bekorban sedikit potonglah rambut anak itu. Pencegahan awal lebih berkesan masa peringkat telur. Lebih tiga hari telur akan menetas jadi anak tinap. Masa ni lagi sakit jiwa nak membersihkannya.

Selain daripada guna ubat kutu yang dijual di farmasi ada juga cara tradisional untuk hapuskan kutu. Tapi saya lebih suka guna cara ni. Lebih mudah dan ringkas. Sesuai sangat buat ibu bapa yang selalu sibuk.

Ingat, kebersihan kepala anak kita tanggungjawab ibu bapa penjaga bersama.

Wednesday, December 12, 2018

Toilet Train

6 Cara Mudah Ajar Anak Latihan Ke Tandas
Teks : Suhana Salleh

Pernah di taska saya kanak-kanak 4 tahun masih pakai lampin pakai buang. Kasihan saya tengokkan budak chubby itu pinggangnya melelas dek diapers yang terkurang saiz. Sejak dari itu saya ajarkannya latihan ke tandas. Prosesnya tidaklah sesukar mana kerana kanak-kanak itu sebenarnya dah bersedia. Cuma ibu dan ayahnya sahaja yang belum sedia.
Ibu-ibu, ayah-ayah...
Latihan anak ke tandas ini perlukan kerjasama dua pihak iaitu orang dewasa (sama ada ibu bapa atau pengasuh) dan anak.
Suka saya kongsikan di sini catatan pengalaman melatih anak sendiri ke tandas seawal usia mereka dua tahun.
1. Boleh faham apa yang dicakap
Kelima-lima anak saya boleh bercakap pada usia mereka 2 tahun. Walaupun sedikit pelat saya boleh faham jika dia sebut perkataan 'eyak' dan 'nak encing'. Begitu juga dia boleh faham jika saya tanya, " nak berak? Nak kencing ke?"
2. Cakap selalu
Dua minggu sebelum memulakan latihan saya selalu bagitahu pada anak begini. Nanti tak payah pakai pampers tau. (Sebut nama anak) kalau nak kencing cakap macam mana? "Ibu, saya nak ken...cing." Buat aksi dia tak tahan nak terkencing dan pergi tandas. Tujuannya menanam minda bawah sedar mereka.
3. Kenalpasti ekspresi wajah atau tabiat anak
Sentiasa peka dengan ekspresi wajah dan tingkah laku anak setiap kali dia mahu membuang air. Anak saya selalunya akan membuat muka meneran setiap kali dia mahu membuang air besar. Jika dia dah buat muka macam tu cepat-cepat saya hantarkannya ke tandas.
4. Tetapkan waktu anak ke bilik air
Saya sering menggunakan tempoh 4 jam sekali untuk hantar anak ke bilik air. Katakan anak bangun tidur pukul 7 pagi. Aturkannya ke billik air dahulu. Pukul 11 pagi nanti saya akan menanyakan padanya sama ada mahu membuang air atau tidak. Jika dia enggan saya akan paksanya ke bilik air. Dikhuatiri terlalu leka bermain atau menonton anak kita akan terkucil sendiri.
5. Gunakan seluar yang mudah ditanggalkan
Semasa latihan ke tandas saya akan memakaikan seluar yang mudah ditanggalkan kepada anak saya. Ini bertujuan supaya apabila dia terasa ingin membuang dia akan cepat-cepat ke tandas dan membuka seluar. Pernah terjadi anak saya terkucil betul-betul depan pintu tandas. Semuanya gara-gara susah hendak menanggalkan seluar maka banjirlah lantai dibuatnya.
6. Puji anak ketika dia berjaya menggunakan tandas dengan baik.
Setiap kali anak berjaya gunakan tandas dengan betul saya akan puji mereka. Jika tidak berjaya jangan marah anak. Sentiasa beri anak sokongan. Kanak-kanak yang kerap dimarah dikhuatiri akan menyebabkan mereka menjadi takut. Seterusnya terpaksa u turn guna lampin pakai buang semula.
-------
Oh, ya panduan ini hanya tertakluk pada kanak-kanak bawah 4 tahun sahaja dan pada waktu siang. Semasa tidur tengah hari atau berjalan-jalan jauh saya akan pakaikan lampin pakai buang untuk mereka.

Pada awal latihan memang seksa juga. Selalu sahaja mereka terkucil merata-rata pada bila-bila masa.
Proses itu adalah normal.
Suka diingatkan jangan sesekali marah atau tengking anak sekiranya mereka terbuang tanpa sengaja.
Keupayaan kanak-kanak mengawal usus dan pundi kencing merupakan pencapaian penting dalam hidup mereka. Sentiasa berikan galakan dan panduan untuk anak-anak kita.
Kadangkala mengambil masa dua minggu atau lebih untuk kanak-kanak mahir menggunakan tandas.
Tidak kira berapa lambat anak kita belajar menggunakan tandas dengan betul, percubaan untuk melatihnya sebelum badannya bersedia adalah sia-sia.