Popular Posts

Friday, November 23, 2018

Pengalaman Pertama Jaga Anak Jiran

Pengalaman Pertama Jaga Anak Jiran
Teks:Suhana Salleh


Ini jawapan suami saya apabila saya utarakan kebosanan hidup sebagai seorang suri rumah sepenuh masa.

"Apa kata jaga anak orang lain pula? Barulah mencabar dan tidak bosan."

Aduh. Saya serius. Jawapan suami macam main-main pula.

Sesungguhnya dalam hidup ini saya tak pernah terfikir nak jaga anak orang lain selain daripada anak sendiri. Hakikatnya sebelum berhenti kerja dahulu saya memang ada mengambil Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK). Kursus ini dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dikendalikan oleh Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM). Tujuan saya ambil kursus tersebut pada masa itu hanyalah satu. Saya mahu mempraktikkan ilmu yang saya perolehi itu kepada anak sendiri sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Namun apabila saya lihat suami saya memang benar-benar serius dengan jawapannya. Saya mula memikirkan kerasionalannya. Ya, sampai bila saya mahu ajar anak saya sahaja. Anak-anak saya akan membesar. Tak mungkin ilmu ini akan kekal sampai bila-bila jika saya tak panjangkan manfaatnya kepada anak orang lain. Maka saya pun sahut cabaran suami. Saya anggap ini satu cabaran yang perlu dibuktikan. Tambahan pula dua orang anak kecil saya pada masa itu sangat mudah untuk menjaganya. Berdisiplin dan dengar cakap. Sepanjang saya menjaga mereka tidak pernah lagi terjadi kes menangis tantrum.

Kebetulan pada masa itu, jiran selang sebuah rumah dari rumah saya bertanya sama ada saya mahu menjaga anaknya atau tidak. Ketika itu bayinya sudah berusia 6 bulan. Saya tak memberikan kata putus lagi kepadanya tapi suami saya pula yang kata boleh. Mahu atau tidak terpaksalah saya mengasuh anak jiran saya itu..

Rupanya lain budak lain ragamnya. Menjaga anak jiran saya ini tidak semudah yang saya sangka. anak jiran saya ini asyik menangis sahaja kerjanya. Pendek kata tak boleh tengok saya bergerak dan berjauhan daripadanya. Mesti dia menangis. Jadi satu masalah pula pada saya setiap kali saya mahu ke bilik air atau memasak di dapur. Rutin saya mahu menyidai atau mengangkat kain baju di jemuran terganggu. Sebagai solusi sementara saya terpaksa masukkannya dalam buaian. Menghenjut buaian sehingga dia tertidur. Selepas dia tidur barulah saya buat kerja rumah macam lipas kudung. Mana taknya dia tidur sekejap-sekejap. Tak sampai 10 minit agak-agak buai dah tak berhenjut dia bangun dan terus melalak. Sampaikan saya rasa stres nak menjaganya.

Masa rehat siang saya pun jadi tunggang langgang. Anak-anak saya yang dua orang pun terabai. Saya terpaksa lebihkan tumpuan kepadanya. Sehinggakan pada satu hari itu saya rasa sungguh stress. Saya mula hilang sabar. Saya biarkan sahaja bayi itu menangis. Mula-mula dia menangis perlahan. Lama-lama tangisannya semakin kuat sehingga membingitkan telinga saya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya tekup mulutnya dengan bantal.

Syukur, Allah masih lindungi saya daripada melakukan perkara yang tidak baik kepada bayi itu. Akal saya masih boleh berfikir dengan waras. Jika tidak entah apa nasib budak itu. Saya pun entah apa sudah ke penjara.

Tanpa saya duga, pintu belakang rumah saya diketuk. Seorang jiran saya berbangsa India yang duduk bertentangan dengan dapur rumah saya datang. Dia mahu tahu kenapa baby itu asyik menangis sejak tadi.

"Akak, kenapa saya dengar itu baby asyik nangis? Dia mahu minum susu ka? Atau dia ada sakit perut? Mari saya mahu tengok."

Saya pun buka pintu dan benarkan jiran saya itu masuk.

Kisah bersambung...

 

Jadual Seorang Surirumah

Jadual Seorang Suri Rumah.
Teks: Suhana Salleh


Saya kira tempoh sebulan memegang gelaran suri rumah adalah seperti fasa bulan madu. Dalam tempoh tersebut saya tidak perlu berebut-rebut bangun pukul 5 pagi setiap hari. Saya tak perlu terkocoh kacah menggosok baju dan tudung yang hendak dipakai ke pejabat. Tak perlu meredah jem semasa pergi dan balik kerja. Paling seronok tak perlu kejutkan anak saya bangun awal. Semuanya indah belaka.

Ini rutin saya setiap pagi dari Isnin hingga Jumaat;

  1. Bangun pukul 6.00 pagi - mengucapkan salam dan selamat kepada suami yang bergegas ke tempat kerja. Solat subuh dan sambung tidur semula.
  2. 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari - mandi, kemas rumah, basuh baju, tunggu anne lori sayur datang, sidai baju, tonton rancangan tv.
  3. 12.30 tengah hari - masak ala kadar sebagai alas perut, bagi anak makan, luangkan masa ajar anak.
  4. 1.00 tengah hari 3.00 petang - solat zohor, rehat dan tidur sebentar.
  5. 4.00 petang hingga 6.00 petang - angkat baju, lipat baju, solat asar, masak untuk makan malam.     
  6. 6.00 petang hingga 7.00 petang - mandi, bersiap solat maghrib, tunggu suami balik
  7. 7.00 petang hingga 8.00 malam - makan malam dan kemas dapur
  8. 8.00 malam hingga 10.00 malam - rehat, tonton rancangan tv, masuk tidur.
Seminggu pertama keadaan agak kelam kabut. Ini kerana saya tidak biasa dengan rutin kerja rumah.

Masuk minggu kedua dan seterusnya keadaan menjadi lebih mudah. Saya sudah dapat membiasakan diri dengan rutin harian Saya sudah dapat menyusun jadual saya dengan lebih baik. Malah urusan menjaga anak dan mengemas rumah menjadi lebih licin dan tersusun.  

Masuk sebulan saya sudah mahir menyiapkan kerja rumah. Semua rutin yang saya anggap susah dahului saya sudah dapat menguasainya dengan baik. Saya tidak perlu tempoh masa yang lama untuk menyiapkannya. Bak kata orang tip top. Sambil pejam mata pun boleh siap. 

Lama-kelamaan keadaan ini menjadikan saya rasa duduk rumah semakin bosan. Hanya duduk terperap di rumah, mengulang kerja yang sama setiap hari. Jika saya keluar pun hanya bercampur dengan jiran-jiran yang suka menggetah bawang. Saya rindu akan suasana sewaktu saya bekerja makan gaji dahulu. Hari-hari saya sentiasa sibuk dengan kerja yang tak pernah sama cabarannya. Setiap hari saya jumapa dengan orang baru. 

Seperkara lagi yang saya rindu adalah shopping. Dahulu saya tak perlu tunggu duit suami untuk membeli apa-apa yang terlintas di fikiran. Tudung, baju, tas tangan, baju untuk anak, beli makananan, nak bagi duit pada mak abah di kampung semuanya saya boleh guna duit sendiri. Sekarang tidak lagi. Nak beli tuala wanita pun kena tunggu duit suami. 

Saya rasa perkara ini tak sepatutnya berlaku dalam hidup saya. Saya rasa tertekan.

Saya pun suarakan apa yang terbuku dalam hati kepada suami saya. 

Agak-agak anda apa jawapan yang suami saya berikan?

Keputusan Berhenti Kerja

Keputusan Berhenti Kerja
Teks: Suhana Salleh

Oleh kerana saya tak dapat beri kata putus hendak tinggalkan anak dengan siapa maka suami saya pun buatkan keputusan untuk saya.

Keputusan suami adalah saya berhenti kerja, duduk di rumah dan mengasuh anak sendiri. 

Awalnya saya sedih juga dengan keputusan suami itu. Masakan tidak bos sudah bersetuju nak naikkan gaji saya. Gaji yang saya minta sudah diluluskan beliau. Cuma saya agak terkilan kerana bos tidak berkrompomi dengan permintaan saya tak mahu datang kerja hari Sabtu. Bos bagi pilihan saya kena datang kerja juga hari Sabtu minggu pertama dan minggu ketiga.

Memikirkan kehidupan saya yang 'up side down' sekarang antara kerja di pejabat dan masa untuk keluarga. Apatah lagi dengan nak ditambah dengan kerja hari Sabtu. Walaupun Sabtu itu dikatakan kerja separuh hari. Pada hal jika dicampur dengan masa perjalanan pergi dan balik dari pejabat penatnya macam kerja satu hari juga akhirnya saya akur. Saya nekad berhenti kerja dan duduk rumah.
Saya pun bukanlah gamble berhenti begitu sahaja. Sebelum berhenti suami saya sudah buat kira-kiranya sendiri. Jika saya tidak bekerja sekali pun gajinya ketika itu masih mampu menampung segala perbelanjaan bulanan dan keperluan kami sekeluarga. Walaupun tidak mewah tapi kata orang masih cukup setakat mahu makan dan pakai dan makan angin sekeluarga sekali sekala.  

Jika ikutkan perjanjian saya dan suami jika saya sudah berjumpa pengasuh anak yang berkenan di hati saya boleh berkerja semula. Syaratnya tempat kerja yang saya pilih mesti berhampiran dengan kawasan rumah. Suami galakkan saya belajar memandu kereta sendiri. Tujuannya supaya mudah saya hendak pergi kerja nanti. Jika anak saya atau pengasuh ada masalah bolehlah saya bergegas balik uruskan keperluan mereka. Apatah lagi jika suami saya terpaksa kena kerja luar kawasan.  

Saya pun bersetuju dengan cadangannya itu.

Maka bermulalah episod kehidupan saya yang baru.

Jadi suri rumah sepenuh masa dan jaga anak sendiri di rumah.  

Pro Dan Kontra Pilihan Alternatif Jaga Anak

Membuat pilihan bukan satu keputusan yang mudah. Banyak aspek yang perlu diambil kira dan dipertimbangkan sebelum memilih satu keputusan.

Setelah mendapatkan solusi tersebut saya pun senaraikan kebaikan dan keburukannya.

1. Minta mak mentua jagakan
Ini bermakna anak kami akan dihantar ke kampung. Segala urusan dan kebajikannya akan diletakkan di bawah kuasa datuk dan neneknya. Saya dan suami hanya akan menjenguknya sekali atau dua kali sebulan. Tapi solusi yang ini saya tolak awal-awal. Selain faktor jauh, saya memang tak sanggup tinggal berjauhan dengan anak sendiri. Pada saya biar susah macam mana pun biarlah saya sendiri yang menjaga anak saya. Bukan tidak percaya kepada keluarga sendiri. Saya cuma tidak mahu membebankan mereka. Pada usia emas begini saya kira mereka juga perlukan masa untuk diri mereka sendiri. Ditambah pula dengan faktor usia. Kudrat mereka susah tidak sekuat masa mereka muda dahulu. 

2. Ambil pembantu rumah
Mencari pembantu rumah warga tempatan memang sukar. Maka saya gunakan khidmat ejen mencari pembantu rumah asing dari Indonesia. Malangnya duit levi yang dibayar kepada ejen hangus begitu sahaja. Menurut ejen, pembantu rumah yang sudah kami pilih tidak mahu masuk Malaysia. Kami reda. Apabila difikir semula tentu ada hikmah di sebaliknya. Jika bibik datang pun keluarga saya tidak ada privasi. Ini kerana rumah yang kami duduki hanya ada tiga bilik sahaja di tingkat atas. Bagaimana jika suami saya tidak sihat dan terpaksa duduk di rumah? Selamatkah tinggal dengan bibik sahaja? Sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku eloklah saya elakkan dahulu.

3. Tinggalkan dengan jiran
Oleh kerana rumah yang kami beli kawasan perumahan baru, maka banyaklah rumah kosong kerana belum ada sesiapa lagi yang berpindah. Selang dua buah rumah saya ada sebuah keluarga yang sudah duduk lebih awal daripada kami. Isterinya tidak bekerja. Dia menjaga kelima-lima anaknya sendiri di rumah. Pernah terdetik di hati saya untuk menghantar anak saya untuk diasuhnya. Tapi, mendengar cara dia marahkan anak-anaknya dan cara dia mengurus rumah tangganya berat hati saya nak hantar anak saya ke situ.

4. Hantar taska
Alternatif terakhir yang saya nampak adalah menghantar anak saya ke taska. Memandangkan kawasan perumahan saya ini baru maka tiada satu taska pun yang ada di sini. Jika ada pun jauh dari kawasan perumahan saya. Semuanya beroperasi seawal jam 7.00 pagi. Sedangkan saya perlu menghantar anak saya seawal jam 5.45 pagi.

Rumit memang rumit. Saya dalam dilema.

Alternatif Jaga Anak

Apabila kami suami isteri mengambil keputusan untuk berpindah maka bermulalah episod kelam kabut dalam hidup saya.

Rumah baru yang kami beli terletak di Rawang, Selangor. Suami saya bekerja di UIAM, Gombak. Saya pula bekerja di Danau Kota. Perjalanan dari Rawang ke tempat kerja saya mengambil masa lebih kurang satu jam. Itu tak termasuk dengan kesesakan pergi atau balik kerja setiap hari. Bayangkanlah setiap hari saya terpaksa bangun awal pagi untuk bersiap ke tempat kerja. Momen paling sebak saya rasa saat terpaksa mengejutkan bayi kita yang sedang nyenyak tidur untuk di bawa masuk ke dalam kereta pergi kerja bersama-sama sebelum di hantar ke rumah pengasuh, Kak Zai.

Lama juga saya berada dalam situasi begini.

Pergi kerja gelap pagi, balik kerja gelap malam. Hari Sabtu walaupun suami cuti saya pula terpaksa kerja sampai separuh hari. Tiba rumah pun badan dah letih. Sikit sangat saya dapat luangkan masa untuk anak dan keluarga. Apatah lagi masa untuk diri sendiri. Tak tahu dah letak nombor berapa agaknya.

Keadaan bertambah kriktikal jika suami saya terpaksa bekerja di luar kawasan. Memandangkan ketika itu saya tidak berani memandu sendiri jika sehari atau dua bolehlah saya mohon cuti. Jika tempat yang suami pergi itu jauh? Tak kan saya mahu ambil cuti seminggu terus. Pada waktu itu, pengangkutan awam seperti komuter dan bas tidak mesra pengguna. Pernah saya mencuba pergi kerja menggunakan komuter. Malangnya masa yang diambil menjadi bertambah panjang. Nilai tambang sebulan pun tidak berbaloi jika dibuat pengiraan.

Saya mahu bekerja. Tapi saya kasihankan anak saya.

Akhirnya saya dan suami berbincang.

Kami dapat 4 solusi alternatif untuk anak sementara saya terus bekerja. Antara solusinya;

  1. Minta emak mentua jagakan.
  2. Ambil pembantu rumah
  3. Tinggalkan dengan jiran yang tidak bekerja.
  4. Hantar taska   

Keempat-empat solusi ini ada pro dan kontranya.

Jadi yang mana satu kami akan pilih?
   

Siapa Nak Jaga Anak?

Ibu bekerjaya dan ada anak pasti pernah berhadapan dengan situasi dan konfik begini. Mahu hantar anak dijaga siapa dan di mana?

Jika diikutkan hati setiap semua ibu mahu menjaga anak mereka sendiri di rumah. Berat hati nak suruh orang lain jagakan anak kita sendiri. tapi apakan daya, tinggal di bandar rumah perlu dibayar, kereta perlu diisi minyak, makanan harus dibeli. Boleh dikatakan serba serbi perlukan duit hatta hendak masuk ke tandas awam.

Suka atau tidak, wanita terpaksa berkorban demi anak dan keluarga. Wanita terpaksa keluar bekerja. Apabila wanita bekerja maka timbullah persoalan. Siapa hendak jaga anak? Anak-anak hendak dihantar ke mana?

Berdasarkan pengalaman saya semasa bekerja makan gaji dahulu. Bayi saya seawal 3 bulan sudah dihantar ke rumah pengasuh rumah. Pagi-pagi saya sudah bangun untuk menyiapkan barang keperluannya. Sedih betul perasaan saya apabila tengok bayi sekecil itu sudah bertukar tangan di rumah orang lain untuk diuruskan keperluannya. Tapi apakan daya, hidup perlu diteruskan.

Saya sangat bersyukur dapat mengenali Kak Zai yang ketika itu duduk di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Meskipun dia seorang ibu tunggal tapi dia seorang yang penyayang, sihat fizikal dan mentalnya. Rumah Kak Zai dengan rumah saya pun tidak jauh. Jadi tidaklah saya terlalu risau memikirkan keselamatan dan kebajikan anak saya sewaktu ditinggalkan dengannya.   

Setahun juga Kak Zai menjaga anak saya yang pertama. Saya pun sudah selesa dengan caranya. setahun itu jugalah perjalanan hidup kami sekeluarga berjalan licin dan tenang. Namun segalanya berubah apabila suami saya mengambil keputusan membeli rumah di Rawang. Persoalan yang pernah bermain di fikiran saya kembali semula. Siapa nak jaga anak ketika saya bekerja nanti?

Kasih Sayang Abang Dan Adik

Ahad sebulan yang lalu. Saya dan suami hantar Abang Zairi, anak saya yang pertama balik ke asramanya semula. Hanya Aniq, adiknya yang kecil sahaja yang ikut.

Tiga orang lagi anak saya yang perempuan tidak mahu ikut. Mereka hendak duduk rumah sahaja. Yalah, budak semakin dewasa begitulah. Malas nak ikut ibu ayah pergi jalan ke mana-mana. Tak macam kita dahulu. Terpaksa juga ikut lebih-lebih lagi kalau bertandang semasa hari raya atau ada kenduri. Teringat mak kata itulah masa nak kenal dengan sedara mara. Kalau tak bila lagi?

Sebelum berangkat tadi ayahnya sudah masakkan nasi dan lauk siap-siap untuk makan tengah hari mereka. Kami dijangka akan sampai rumah semula selepas pukul 2.00 petang. Tak kan nak tinggalkan anak berlapar,kan? Walaupun yang nombor dua itu dah boleh goreng telur dan mi segera sendiri tetap kami tak benarkan dia masak masa kami tak ada di rumah. Berkali-kali pesan pada dia kunci pintu rumah, jangan keluar ke mana-mana, jangan buka pintu pagar kalau ada orang ketuk, jangan main api gas. Bahaya. Apa-apa hal telefon ayah atau ibu segera. (Jadi mak-mak memang macam itulah banyak pesanan penaja).


Berbalik kepada cerita Abang Zairi dan Aniq tadi.


Seperti biasa sebelum berpisah mesti ada acara salam, cium pipi dan peluk doa. Boleh pula budak kecil ni main-main masa salam dengan abang dia. Saya perhatikan sahaja gelagat mereka berdua.



Selepas salam Aniq tak mahu dicium Abang Zairi. Aniq nak gigit pipi abang.
Aniq tak mahu Abang Zairi cium pipinya.
Bukan main lagi Aniq mengelak masa abang cuba nak cium pipinya.

Akhirnya Abang Zairi dapat juga cium dan peluk Aniq.

"Ya Allah, peliharakanlah mereka berdua untuk saya. Mereka inilah yang akan jadi perhiasan saya di dunia dan di akhirat kelak."