Popular Posts

Tuesday, November 27, 2018

Diari Mak-Mak

Siapa kata suri rumah tidak perlu ada jadual di rumah?

Menurut PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu) versi 2, jadual adalah susunan acara mengikut masa yg ditentukan.

Semasa saya berhenti kerja inilah rutin saya setiap hari.

6.00 pagi : Bangun tidur, kemas tingkat bawah sebagai persiapan menyambut kanak-kanak datang pagi. dalam masa yang sama ambil kesempatan masukkan baju dalam washing machine untuk dibasuh. Kalau rajin buat sarapan yang agak berat.

7.30 pagi: mandikan kanak-kanak, siapkan pakai baju

8.30 pagi: bagi kanak-kanak minum susu dan sarapan. sambil itu masak nasi dan lauk untuk kanak-kanak makan tengah hari.

10.00 pagi: buat aktiviti dengan kanak-kanak. sambil itu sidai baju yang sudah siap dibasuh 
hingga
11.00 pagi

12.30: bagi kanak-kanak makan


1.00 petang: siapkan kanak-kanak untuk tidur sebentar.       
hingga 
3.30 petang : angkat kain baju di ampaian. lipat terus. letak di satu sudut supaya suami angkat naik ke tingkat atas.

3.30 petang:mandikan kanak-kanak. 
hingga 
4.30 petang

4.30 petang: bagi kanak-kanak minum susu dan minum petang
hingga 
5.00 petang

5.00 petang : kanak-kanak diberi menonton tv. sambil itu saya masak untuk makan malam keluarga
hingga 
6.00 petang

7.00 petang : semua kanak-kanak beransur balik

Kenapa jadual begini penting kepada suri rumah yang bekerja di rumah?


  1. memudahkan urusan kerja hakiki dengan kerja sampingan di rumah
  1. melicinkan operasi harian 
  1. menjadikan kerja lebih teratur
  1. mampu mengurangkan stres


Sewaktu saya mengambil Kurus Asas Asuhan Kanak-kanak, membuat jadual aktiviti kanak-kanak memang amat dititik beratkan walaupun kita hanya menjadi pengasuh di rumah.

Kebaikan yang saya dapat daripada jadual ini perjalanan operasi taska menjadi lebih mudah kerana kita sudah dapat membiasakan rutin tersebut kepada diri kita sendiri, diri pengasuh dan kanak-kanak yang dijaga.

Cara Suri Rumah Simpan Duit

Masa dapat gaji sikit itu tak tahulah nak menangis atau hendak gelak.

Akhirnya saya pilih untuk reda dan jadi orang yang bersyukur.
Sumber: Gambar Google

Saya pernah terbaca makna sebuah hadis yang lebih kurang begini maksudnya;
Jika rezeki yang sedikit pun manusia tak tahu bersyukur, apatah lagi jika rezeki yang diberi nanti lebih banyak. Pasti sama juga keadaannya - tak bersyukur. Semoga kita dijauhkan daripada sifat ini.

Mujur suami banyak membantu saya dari segi kewangan saat-saat saya tidak punya pendapatan tetap lagi. Tambahan pula ini adalah perjanjian kami sebelum saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan menceburi bidang ini. 

Cuma daripada pengalaman saya jika kita sudah terbiasa pegang dan urus duit sendiri apabila berlaku situasi ini memang terasa janggal. Nafsu hendak membeli sesuatu kehendak sering terbantut. Itu yang kadang-kadang timbul rasa rendah diri dengan orang lain. Bukan bermakna suami tak bagi duit langsung. Cuma saya yang rasa tak syok dengan duit yang diberi suami. Jumlahnya terhad. Itupun ada masa pasang dan surut.

Dalam hal ini saya tetapkan syarat kepada suami. Setiap bulan dia mesti masukkan sejumlah tetap wang (ikut kemampuannya) ke dalam akaun saya. Pada masa itu suami bersetuju masukkan rm200 setiap bulan dalam akaun Tabung Haji saya.

Sebenarnya duit itu bukannya saya guna nak enjoy pun. Saya cuma nak mendidik suami agar ada rasa tanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya yang sudah tidak ada pendapatan tetap lagi. Duit tersebut saya tak usik langsung. Saya anggap itu adalah duit modal sekiranya saya mahu membesarkan perniagaan. Malah saya anggap itu adalah duit simpanan untuk hal-hal yang tak dijangka. Ini bukan bermakna isteri 'queen control'.

Sejak kecil saya memang suka melihat angka-angka di buku simpanan saya bertambah setiap tahun.

Akhirnya duit simpanan tersebut kembali kepada keluarga saya semula. Selain dibuat modal membesarkan perniagaan duit tersebut saya gunakan buat menambah modal untuk membesarkan ruang dapur rumah saya sedia ada. 

Satu pengajaran yang saya dapat daripada perkara ini ialah apabila kita tak memegang duit yang banyak otak kita akan sentiasa berjalan, berfikir dengan kreatif bagaimana untuk menjana lebih banyak pendapatan.

Dari situ saya belajar untuk menambah pendapatan saya perlu jaga pelanggan dan tingkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. 
   




Pengalaman Berniaga

Cuti sekolah panjang ini pening juga bagaimana hendak mengisi masa anak-anak di rumah.

Awalnya saya bercadang menghantar anak saya yang pertama mengikuti program untuk remaja anjuran masjid dan surau di taman perumahan. Tapi program itu bermula 28hb ni.

Kebetulan anak saya yang bersekolah tadika ada majlis graduasi pada hari Ahad yang lepas. KRT tempat anak saya bersekolah ada menganjurkan Perarakan Sempena Maulidur Rasul pada hari tersebut. Untuk memeriahkan majlis pihak KRT membuat tawaran kepada sesiapa yang berminat bolehlah memohon untuk membuka gerai jualan.  

Jadi saya pun mohonlah. Tak sangka pula lulus. Sebelum ini penganjur kata permintaan sudah penuh. Jadi saya gunakanlah skil negosiasi yang saya ada untuk dapatkan tapak gerai. Syukur akhir-akhir masa kecederaan penganjur kata ada kosong. Bolehlah kalau nak selit gerai saya satu. Yeay!

Jadi pada hari itu dapatlah saya buka gerai menjual Crunchiz. Oleh kerana saya ini tak pernah berniaga produk maka saya pun pinjam (baca: sewa dengan sedikit bayaran) payung jualan daripada jiran saya yang menjual nasi lemak. Pakej termasuk dengan dua kerusi. Meja guna meja taska. Dua kali juga pusing angkut barang-barang itu semua sebab kereta tak muat.

Pagi itu sekitar pukul 7.00 pagi saya dan anak dah bersiap-siap pasang payung dan buka meja untuk jualan. Terkial-kiall jugalah nak memasang payung besar itu. Nasib baik berjaya.  Lepas siap pasang saya suruh anak saya jaga gerai dahulu. Saya kena turut serta dalam acara selawat beramai-ramai dengan anak-anak tadika dan penduduk taman. Tak nak dia kelam kabut nanti duit tukar saya dah siapkan awal-awal dari rumah. Elok PU Johari mula ceramah hujan pun turun. Mula-mula rintik-rintik sahaja. Tak lama lepas itu lebat yang amat. Mujur hujan turun tak lama. Lepas ceramah dah berhenti.

Balik ke gerai saya tanya kat anak, "ada orang beli tak?"

Dia jawab ada. "4."

Wow, terus semangat saya nak menjual.

Akhirnya pukul 3.00 petang barulah majlis graduasi anak yang ke-empat berakhir. Masa itu awan dah gelap. Cuaca mendung. Hujan pun turun sekali lagi. Kali ini lebih lebat dari tadi. Mujur tak ada angin kencang. Kalau tak mahu tercabut payung. Dahlah payung pinjam.
Inilah gerai kami pada hari itu. Gambar diambil semasa waktu pagi. Cuaca masih elok lagi. 
Balik gerai lencun kain saya terkena air hujan. Mujur produk yang saya jual isi dalam balang, kalis air. Kotak simpanan saja yang rosak. Kasihan juga saya lihat peniaga-peniaga lain terutamanya yang jual makanan. Banyak lagi makanan yang tidak habis dijual. 

Memandangkan pengunjung pun dah tak ramai saya terus ajak anak kemas. Bertungkus lumuslah saya mengisi barang yang dah tak ada kotak ke dalam kereta. Terkial-kial sekali lagi macam mana nak tutup payung pulak. Godek punya godek berjaya juga akhirnya. Kali ini saya angkut barang sekali harung sahaja. 

Balik rumah barulah terasa penat badan. Terfikir pula, agaknya beginilah peniaga yang tiap-tiap hari berniaga rasa. Tabik dengan semangat juang mereka.

Tiba rumah kami kira semula untung hasil jualan. Tak adalah banyak mana. Tapi saya sangat bersyukur dengan pengalaman berniaga ini. Ia lebih mahal dari untung yang saya dapat hari ini.
  1. Menghilangkan rasa malu tak bertempat.
  2. Menjadikan otak lebih kreatif bagaimana nak menyelesaikan satu-satu masalah
  3. Dapat skil berkomunikasi dengan orang yang tak pernah kita kenal
  4. Dapat skil bagaimana nak tarik pelanggan
  5. Dapat skil macam mana nak kenalkan produk 
  6. Dapat pengalaman sebenar berniaga
  7. Dapat belajar macam mana nak capai target jualan
  8. Dapat belajar bagaimana nak tangani penolakan dari orang lain
  9. Membentuk keyakinan diri
  10. Dapat mengajar anak yang hidup ini perlu berusaha. Kejayaan tak datang bergolek. 



Friday, November 23, 2018

Nikmat Tuhan Yang Tidak Didustakan


Nikmat Tuhan Yang Tidak Didustakan
Teks: Suhana Salleh

Dalam hidup ini sering kali kita alpa. Dalam banyaknya nikmat yang Allah berikan kita lebih fokus kepada sikitnya ujian yang Allah hantarkan kepada kita.

Begitulah pengalaman hidup yang pernah saya alami satu ketika dahulu.

Rententan peristiwa mendapat gaji pertama yang tak seberapa bagi saya banyak ibrah yang saya perolehi daripada situ.

Benarlah kata orang yang sudah berpengalaman. Menjadi usahawan itu tidak mudah. Tapi tidak mustahil untuk kita mencapainya. Asalkan ada keinginan dan tekad yang teguh. Semuanya kita jalani bagaikan tiada apa-apa. Satu ketika nanti apabila tiba masanya (dengan keizinan Allah) kita akan merasai nikmat bersusah payah dahulu. Kejayaan akan mengiringi orang yang sabar dan tak kenal putus asa. 

Dua bulan saya struggle dengan kerjaya baru saya ini. Mencambahkan cinta pada bidang yang tak kita gemari memang payah. Hati perlu dididik. Ego harus direndahkan. Lama-kelamaan cinta hadir tanpa dipaksa. Saya sudah mula jatuh cinta dengan bidang baru ini.

Nama saya mula meniti dari mulut ke mulut orang setaman yang mahu mencari pengasuh untuk anak mereka. Kebanyakan pelanggan datang berjumpa saya setelah mendapat rekomendasi daripada ibu bapa lain. Saya tidak lagi bersusah payah mahu mempromosikan perkhidmatan yang saya tawarkan kepada pelanggan. Mereka yang datang sendiri mencari saya. Indahnya saat itu. Mungkin inilah berkat doa emak saya. Mungkin ini juga yang dikata restu suami. Mungkin ini juga berkat usaha dan sabar saya selama menjaga kanak-kanak dengan baik. Perjalanan karier saya menjadi mudah. Saya dapat rasakan rezeki mula mendekat.

Saya bersyukur kepada Allah kerana melorongkan saya ke jalan ini. Soal upah tidak lagi menjadi keutamaan saya. Sebaliknya saya hanya mahu memberi perkhidmatan pengasuhan yang terbaik buat anak-anak asuhan saya.

Saya percaya setiap satu yang terjadi itu ada hikmah disebaliknya. 

Persiapan Sebelum Berhenti Kerja

Persiapan Sebelum Berhenti Kerja 
Teks: Suhana Salleh


Lama saya termenung memikirkan adakah betul keputusan saya hendak berhenti daripada kerja makan gaji.

Berhenti kerja makan gaji bermakna saya tidak akan dapat lagi dapat duit masuk tiap-tiap bulan. Saya dah tiada sumber pendapatan tetap. Kuasa membeli saya terbatas. Kuasa hendak memberi pun terhad.

Dua tiga kali juga saya buat solat sunat istikharah. Minta Allah beri petunjuk kepada saya. Pendirian saya masih samar-samar. Tidak berat kepada salah satu pilihan yang saya ada.   

Akhirnya saya ambil keputusan begini. Saya tawakal berhenti kerja dan duduk di rumah. Saya niatkan ini adalah hijrah saya kerana Allah. DIA Yang Maha Tahu segala apa yang zahir dan tersembunyi yang tak mampu saya capai dengan akal saya. Saya reda.

Maka saya pun jalani hidup sebagai suri rumah. Menjaga anak sendiri. Kemudian dibukakan rezeki mendapat kepercayaan menjaga anak jiran. Permintaan bertambah dari semasa hinga ke semasa. Perkhidmatan yang ditawarkan di rumah pada awalnya kini berkembang sehingga saya mampu memiliki premis taska sendiri. Saya juga mampu menggajikan beberapa orang pembantu.

Saranan saya kepada wanita bekerja di luar sana sebelum ambil keputusan berhenti kerja dan fikir seronoknya jadi suri rumah eloklah buat persediaan terlebih dahulu. Antara persediaan yang perlu diambil;

  1. Persiapan dari segi mental
  2. Persiapan dari segi mental
  3. Persiapan kewangan
  4. Hadiri kursus - kursus yang berkaitan
  5. Dapatkan sokongan moral daripada suami
  6. Yakin dan percaya kepada kebolehan diri
  7. Selalu mohon petunjuk dari Allah
  8. Belajar banyakkan syukur dan reda
  9. Belajar berdikari
  10. Cari masa untuk diri sendiri

Restu Emak Atau Suami?

Restu Emak Atau Suami?
Teks: Suhana Salleh


Melepaskan jawatan penting dengan gaji sedap sewaktu ekonomi gawat memang situasi genting yang banyak mengajar saya erti pengorbanan dan seni membuat pilihan.

Sejujurnya saya berasa sedikit terkilan apabila terpaksa membuat keputusan untuk berhenti kerja ketika itu. Namun saya percaya, emak saya adalah orang yang lebih kecewa dengan keputusan saya itu.

Masakan tidak dalam tujuh orang adik beradik sayalah yang paling bertuah. Saya berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringat ijazah sarjana muda di sebuah universiti terkemuka. Saya tahu emak memang mengharapkan duit gaji saya untuk meringankan sedikit sebanyak beban  kehidupannya di kampung.

Ya, saya faham perasaan emak. Emak mana yang tidak kecewa apabila anak yang diberi pendidikan tertinggi, ada kerja tetap dan dapat gaji sedap tiba-tiba kata nak berhenti kerja. Alasannya tidak ada orang nak jaga anak. Mahu jaga anak sendiri di rumah. Mahu jaga anak orang pula. Pada awalnya sukar juga saya hendak memahamkan dan menyakinkan emak. Stigma masyarakat ketika itu anak yang bekerja dengan kerajaan atau swasta lebih terjamin kehidupan mereka. Ada gaji. Ada bonus. Ada pencen. Rugi betul hidup orang yang tak bekerja apatah lagi bekerja sendiri.

Saya tahu, emak sebenarnya tidak percaya dengan kebolehan anaknya ini. Sejak kecil saya tidak pernah hidup susah. Saya tidak pernah didedahkan dengan aktiviti berniaga. Sejak tingkatan satu hingga tingkatan 6 saya duduk di asrama. Masuk universiti pun duduk di kolej. Tak pandai masak. Tak pernah buat kerja rumah. Kerja saya belajar sahaja.

Untuk mengurangkan keresahan hati emak saya hanya katakan padanya, "Mak restukan sahaja apa yang saya buat ini." Saya tetap baginya duit setiap bulan seperti mana waktu saya bekerja makan gaji dahulu.

Syukur, perlahan-lahan emak sudah boleh terima kenyataan. Itupun setelah emak lihat keadaan ekonomi keluarga saya stabil. Saya hanya tak mahu lihat emak susah hati. Saya mahu dia doakan yang baik-baik sahaja untuk anaknya ini.

Suami saya pula memang menyuruh saya berhenti kerja. Dia tidak mahu saya terbeban dengan kerja di pejabat dan rumah. Bebanan yang dipikul saya akan dipikul di bahunya juga.

Memang saya dalam dilema antara mahu ikit kehendak emak atau suami sendiri.

Pada pendapat saya, ambil keputusan berhenti kerja bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi wanita yang sudah bersuami. Keputusan ini tidak boleh dibuat sambalewa. Ia seperti menentukan antara keputusan hidup dan mati.

Bagi wanita yang sudah bersuami, berbincanglah dengan pasangan anda baik-baik. Minta pandangan suami sebelum anda membuat sebarang keputusan penting dalam hidup. Sokongan daripada seorang suami sangat penting bagi seorang isteri. Tanpa restu suami tak mungkin pekerjaan yang dibuat oleh si isteri mampu memberi ketenangan kepada diri sendiri. Tanpa ketenangan bagaimana mahu mendapatkan kebahagian dalam sebuah keluarga. Dalam hidup berumah tangga hanya suami dan isteri sahaja yang layak mengemudi bahtera hidup bersama.

Ibu, ayah, adik beradik, saudara jauh atau dekat, teman-teman rapat hanya boleh memberi pendapat dan nasihat.

Tapi kita sendiri perlu ingat yang memakai 'kasut kehidupan' itu kita. Tak mungkin orang luar dapat memahami situasi sebenar keluarga kita melainkan diri kita sendiri dan pasangan.

Catatan ini tidak bermakna restu ibu kita tidak penting kepada seorang anak yang sudah berumah tangga. Sebagai wanita kita perlu ada ilmu agar keputusan yang kita ambil itu bukan disebabkan faktor saja-saja semata-mata. Jika dahulu restu ibu bapa nombor satu, kini kedudukannya sudah jatuh nombor dua setelah kita bersuami. Ini kerana restu tersebut sudah dipegang oleh suami secara mutlak.

Bak kata orang tarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus tepung tak berselerak.

Gaji Pertama Sebagai Pengasuh Kanak-kanak Di Rumah.

Gaji Pertama Seorang Pengasuh Kanak-kanak Di Rumah
Teks: Suhana Salleh


Duduk rumah, goyang kaki, duit masuk.

Wanita mana yang tidak suka jika realitinya begitu.

Tapi apa perasaan anda jika upah yang diterima hanya RM180 sebulan? Sedangkan anda sudah bekerja bermati-matian.

Hendak diikutkan sedih memang sedih. Tapi itulah hakikatnya. Upah pertama yang saya terima selepas berhenti kerja dan menjadi pengasuh anak jiran. Ketika itu tahun 2004. Detik itu akan saya ingat sampai bila-bila. Dengan seratus lapan puluh itulah perjalanan karier saya sebagai usahawan bermula.

Semasa pertama kali dapat duit upah itu memanglah saya gembira. Masakan tidak. Sudah lama saya tidak berpeluang dapat pegang duit sendiri. Jumlahnya memang sedikit. Tapi signifikannya saya belajar sesuatu. Saya belajar untuk yakin pada kebolehan diri sendiri. Bahawa sebenarnya saya mampu untuk menyakinkan orang lain untuk membayar perkhidmatan yang saya tawarkan kepada mereka. Saya kira itu bukan kerja mudah untuk orang introvert seperti saya.

Namun selepas itu saya berasa sedih. Apabila ditambah tolak, darab bahagi upah yang saya terima memang tidak berbaloi dengan kerja yang saya dah buat. Bayangkanlah, waktu kerja saya 12 jam. Bermula pukul 7.00 pagi sampai 7.00 petang. Kadang-kadang lajak sampai 9.00 malam jika emaknya pulang lewat kerana ada ot dan sebagainya. Hari Sabtu setiap minggu pun saya terpaksa kerja. Walaupun masanya tidak panjang setakat pukul 3.00 petang. Tapi penatnya betul fizikal dan mental saya dibuatnya. Pernah juga hari Ahad terpaksa kerja. Namun upah yang dibayar tetap sama.

Saya kemurungan sebentar.

Memikirkan seronoknya zaman masa saya makan gaji dahulu. Saya hanya perlu kerja lapan jam sehari. Jika kerja lebih masa pun ada bayaran untuk ot. Ada elaun itu ini. Kerja saya tak perlu sehingga singsing lengan hendak buat kerja penat-penat. Menghadap bos, susun fail, buat surat, uruskan gaji pekerja tiap bulan dan menghadap komputer sahaja. Apa yang saya tahu tiap-tiap bulan gaji masuk ribu-ribu dalam akaun. Duit yang saya terima itu boleh pergi shopping. 

Saya terfikir inikah harga segulung ijazah yang saya terima daripada universiti terkemuka dahulu.

Sebenarnya saya tidak sangka. Saya masih tak boleh terima kenyataan bahawa upah saya terima tidak lebih daripada seringgit sejam. Apatah lagi memikirkan semua pengorbanan masa, tenaga dan emosi yang saya curahkan.

Lama saya termenung.

Adakah betul keputusan yang saya ambil ini?

Kisah bersambung...