Popular Posts

Tuesday, December 4, 2018

Beza Pengasuh Rumah, Taska dan Tadika

Beza Pengasuh Rumah, Taska dan Tadika
Teks : Suhana Salleh


Sejak akhir-akhir ini media banyak memaparkan isu penderaan kanak-kanak dan kematian bayi yang dijaga oleh orang lain. 

Semasa isu ini sedang hangat diperkatakan saya perhatikan ramai netizen mengecam tanpa mengusul periksa. Ada kanak-kanak yang meninggal di tangan pengasuh namun yang dimarahnya adalah pihak taska. Ada kes kanak-kanak di dera di taska namun yang disalahkan pengasuh.

Masyarakat kita masih keliru perbezaan antara pengasuh di rumah, taska dan tadika.

Di bawah ini saya berikan perbezaan pengasuh di rumah, taska dan tadika secara umum. 

Pengasuh Di Rumah.
Seseorang yang menjaga bayi dan kanak-kanak di rumah sendiri dan bilangan kanak-kanak yang dijaga tidak lebih 9 orang dalam satu masa. Pengasuh di rumah tidak perlu mendapatkan lesen menjalankan perniagaan daripada pihak majlis tempatan di daerah masing-masing. Namun demikian, oleh kerana banyaknya kes yang tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak semasa diasuh pengasuh di rumah, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mewajibkan semua pengasuh rumah mengikuti Kursus Asas Pemata Taska Di Rumah (KAPTR). Kursus ini akan mendedahkan kepada pengasuh amalan pengasuhan yang baik kepada anak-anak asuhan mereka.  

Taska Institusi
Taska adalah singkatan kepada Taman Asuhan Kanak-kanak. Kanak-kanak yang duduk di taska adalah bayi sehingga umur 4 tahun. Bilangan kanak-kanak yang dijaga di taska lebih daripada 10 orang. Taska tidak boleh beroperasi sebelum mendapat kelulusan daripada 3 agensi iaitu Majlis Tempatan, pihak Kesihatan dan Bomba. Penubuhan taska adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (1984). Semua taska yang beroperasi mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tadika
Tadika adalah singkatan daripada Taman Didikan Kanak-kanak. Tadika menerima kanak-kanak yang berumur 5 dan 6 tahun untuk tujuan mendapat pendidikan dengan membayar upah. Setiap tadika swasta perlu didaftarkan dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di bawah unit Pendidikan Swasta. 

Diharapkan selepas membaca perkongsian ini netizen faham dan tidak marah-marah secara melulu. Ibu bapa juga perlu cakna dan ambil berat sebelum mengambil keputusan mahu menghantar anak sama ada kepada pengasuh rumah, taska atau menghantar mereka ke tadika.  




Sambutan Hari Lahir Kanak-kanak

Sambutan Hari Ulang Tahun Kanak-kanak Taska
Teks : Suhana Salleh


Kanak-kanak memang suka diraikan. Begitu juga dengan orang dewasa. Di taska, saya mengaplikasikan menyambut ulang tahun kelahiran kanak-kanak tiga bulan sekali. Ini bermakna ada 4 kali sambutan hari lahir kanak-kanak setahun di taska saya. Contohnya kanak-kanak yang lahir bulan Januari, Februari dan Mac akan disambut pada akhir Mac. Begitulah dengan kanak-kanak yang lahir pada bulan berikutnya.

Selain sambutan yang lebih meriah, langkah ini juga dapat menjimatkan masa kami untuk menguruskan acara dengan kanak-kanak. Seminggu sebelum tarikh sambutan, saya akan mengumumkan perkara tersebut di facebook taska. Pembantu taska saya pula akan menuliskan nama kanak-kanak di papan kenyataan taska. kebiasaannya ibu bapa yang anaknya termasuk dalam senarai tersebut akan membawa kek, makanan, kuih muih dan sebagainya ke taska. Bagi pihak taska, saya akan menyediakan menu istimewa untuk kanak-kanak pada hari itu. Macam-macam makanan yang pernah disediakan. Selalunya saya buat undian kepada kanak-kanak tanya mereka hendak makan apa. Undian tertinggi akan dipilih memenuhi selera kanak-kanak pada hari tersebut.

Mengendalikan kanak-kanak bawah 4 tahun dalam acara ini memang agak sukar. Kami bergelut dengan persiapan majlis dan sibuknya melayan kanak-kanak yang pelbagai karenah. Bagi bayi bawah setahun mereka tidak biasa berjaga lama. Apabila letih mereka akan menangis kerana mahu tidur. Bagi kanak-kanak bawah 4 tahun pula mereka sangat teruja. Kebiasaannya mereka tidur mengikut jadual tetapi pada hari ini mereka sibuk hendak merasa pelbagai jenis makanan. Sehinggakan mereka tidak mahu tidur jika tidak dipaksa.

Cabaran lain ketika acara ini berlangsung adalah mengambil gambar beramai-ramai dengan kanak-kanak. Payah betul hendak menyusun kedudukan mereka di tempat yang sesuai. Jika kita lambat ada yang akan menangis, bangun dari tempat duduk, tidak mahu duduk di tempat yang disediakan dan pelbagai lagi. Begitu juga ketika hendak mengambil gambar. Ada yang toleh kiri, toleh kanak, pandang belakang, atas. Memang susah hendak dapatkan gambar yang sempurna.

Jadi tak perlulah rasa kecewa jika tidak dapat merakam gambar kanak-kanak dengan sempurna. Kerana pada setiap gambar yang tidak sempurna ada moment manis yang akan dikenang sampai bila-bila.   

Sunday, December 2, 2018

Resepi Ringkas Untuk Anak (2)

Teks: Suhana Salleh

Hari ini saya nak berkongsi satu lagi resepi ringkas taska tapi disukai ramai kanak-kanak. Resepi yang akan saya kongsikan kali ini ialah Sayur Bayam Tumis Air.

Bahan-bahannya;
  1. Secekak daun bayam yang sudah disiang.
  2. Sebiji bawang merah
  3. Tiga ulas bawang putih
  4. Sedikit ikan bilis
  5. Sedikit minya untuk menumis
  6. Sedikit garam
  7. Semangkuk air
Cara-caranya;
  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis sama ada mahu ditumbuk lumat atau kasar. Boleh juga jika bahan-bahan ini dihiris jika tidak mahu ditumbuk.
  2. Masukkan sedikit minyak dalam periuk untuk menumis.
  3. Apabila minyak sudah panas masukkan bahan-bahan yang sudah ditumbuk tadi.
  4. Kacau pantas untuk mengelakkannya hangit
  5. Masukkan sedikit air.
  6. Biarkan air mendidih.
  7. Masukkan bayam. 
  8. Kacau sehingga semua bayam lecur.
  9. Masukkan sedikit garam.
  10. Boleh tambah air sekiranya kuahnya terlalu sedikit.
  11. Tutup api setelah bayam kelihatan lembut.
  12. Sedia untuk dihidang
Nota tambahan.
  • Potong akar bayam terlebih dahulu sebelum disiang.
  • Lalukan air paip kepada bayam yang sudah dipotong akarnya bagi mengeluarkan pasir-pasir yang terlekat di daunnya.
  • Bilas daun bayam yang sudah siap disiang sekali lagi dengan air.
  • Untuk mendapatkan kuah yang sedang elok pastikan air tidak melebihi paras bayam dalam periuk.
Selamat mencuba.

Resipi Ringkas Untuk Anak (1)

Resepi Ringkas Untuk Anak (1)
Teks: Suhana Salleh


Di taska kami memang sudah sediakan menu kanak-kanak untuk sebulan. Ini bermakna menu kami setiap hari tak sama. Tiap-tiap hari tukang masak taska akan masak menu yang berbeza ikut menu yang sudah ditetapkan.

Untuk memudahkan kerja-kerja membeli barang dapur maka saya buat menu taska begini;
- Minggu 1 dan Minggu 3 adalah menu yang sama.
- Minggu 2 dan Minggu 4 adalah menu yang sama.

Antara menu yang mendapat rangking 5 bintang di taska saya adalah Menu Ayam Masak Kicap. Tak sudah hendak memasaknya. Di sini saya kongsikan resepinya. Boleh juga ibu ayah cuba buat di rumah untuk dihidangkan kepada anak-anak cuti sekolah nanti.

Bahan-bahan;

  1. Ayam yang sudah dipotong ikut saiz yang sesuai dengan kanak-kanak
  2. Sebiji bawang besar yang sudah di hiris
  3. Tiga biji bawang putih
  4. Halia satu inci
  5. Sedikit minyak untuk menumis
  6. Kicap
  7. Perahan air asam jawa


Cara-caranya;

  1. Goreng ayam tadi separuh masak. Kemudian ketepikan dahulu
  2. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali untuk menumis.
  3. Setelah minyak panas masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang sudah dihiris
  4. Apabila bahan yang dimasukkan sudah nampak layu masukkan kicap pekat manis ke dalam kuali.
  5. Masukkan ayam yang sudah digoreng tadi. Kacau perlahan.
  6. Campurkan sedikit dengan perahan air asam jawa. Agak-agak untuk mendapat kuah yang tidak terlalu cair atau terlalu pekat.
  7. Kacau sehingga sebati.
  8. Tutup api dapur. 
  9. Sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba.





Keluarga Saya

Keluarga Saya
Teks: Suhana Salleh

Selepas mendirikan rumah tangga pada 2002 saya disahkan mengandung selepas itu. Terkejut juga kerana tak sangka pula cepat betul dapat rezeki anak ini. Kata orang bunting pelamin.
Memang sejak awal berkahwin saya tidak pernah merancang atau menetapkan bila-bila tempoh hendak mendapat anak. Pada saya jika ada rezeki anak cepat alhamdulilah. Kalau lambat dapat anak pun tak mengapa. Kita masih dalam fasa honey moon.

Inilah gambar saya dan suami. Sudah lebih 10 tahun kami melayari hidup berumah tangga bersama. Harap kekal 'till jannah'.


Tanggal 14 September anak saya yang pertama lahir. Bayi lelaki. Kami namakannya Muhammad Khuzairi. 

Selang dua tahun saya disahkan mengandung lagi. Kali ini dapat bayi perempuan. Kami namakannya Nur Fahdalina. Lahir tanggal 05 Disember 2005.

Selepas itu lama pula saya nak mengandung semula. Sehinggalah jaraknya 4 tahun saya melahirkan bayi ketiga saya, Nur Nafisah Najma. Lahir pada 11 Julai 2009. Selepas melahirkan anak ketiga saya fikir saya dah tak mahu mengandung lagi. 

Namun, tak sangka saya akan mengandung sekali lagi anak ke empat. Kali ini kami dapat bayi perempuan lagi. Maknanya kami dah ada 3 orang anak dara berderet. Kami namakannya Nur Amna Imani. Dia dilahirkan pada 13 Februari 2013. Mengandung kali ini saya mengalami tekanan darah tinggi.  

Tanpa disangka saya disahkan mengandung lagi selepas 2 tahun melahirkan Amna. Pada akhir kehamilan saya mendapat tekanan darah tinggi. Menurut doktor saya berisiko melahirkan bayi pramatang. Jika saya tidak dapat melahirkan bayi secara normal pada tarikh yang ditetapkan kemungkinan besar saya akan diusung ke operation theatre. 

Kuasa Allah mengatasi segalanya. Pada tanggal 28 September 2015 saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara normal. Walaupun di saat-saat akhir doktor baru tahu bayi saya terbelit tali pusat syukur semuanya berjalan dengan lancar. Ibu dan anak selamat.

Kata doktor, cukuplah ya 5. Sudah ada lelaki dan perempuan. Sudah lengkap. Umur pun sudah nak masuk 40an. Lagipun awak ada simptom darah tinggi. Ada risiko jika mengandung. Kena jaga kesihatan. 

Baiklah doktor. Saya pun rasa dah cukup dengan 5 kurniaan rezeki anak yang comel dan sihat ini. Semoga saya dapat menjaga mereka dengan baik. Jadi anak soleh. Amin.

Cukuplah 5 rezeki kurniaan Allah ini. Dari kiri Abang Zairi, Kakak Ahda, Icah, Amna dan Aniq. Semoga jadi anak soleh.



Saturday, December 1, 2018

Jadual Waktu Anak Sewaktu Cuti Sekolah

Jadual Waktu Anak Musim Cuti Sekolah
Teks : Suhana Salleh


Cuti sekolah bulan Disember adalah cuti paling panjang untuk anak-anak yang sudah bersekolah.  Seharian anak-anak duduk di rumah. Rutin hari tak sekolah mereka tidur lewat, tidur semula selepas subuh. Kemudian bangun, tengok tv sebelum mandi. Main game, makan, tidur. Dok ulang-ulang macam itulah.

Minggu lepas buatkan jadual untuk anak-anak di rumah. Jadual meliputi tugas dari bangun pagi sampai tidur malam. Sengaja saya masukkan tugas kemas rumah dan bantu tugas ibu ayah dalam jadual mereka. Tujuannya supaya mereka sedar tugas di rumah adalah tugas bersama. Bukan hanya terletak pada seseorang sahaja.

Di bawah ini saya berikan contoh jadual anak-anak saya sepanjang cuti sekolah kali ini.

6.30 pagi - kejutkan anak-anak untuk tunaikan solat subuh

Selepas solat terus saya hidupkan washing machine. Basuh baju yang sudah bertimbun dalam bakul baju kotor.

7.30 pagi - semua anak-anak dikerah mandi pagi, kemaskan katil, lipat selimut masing-masing

8.30 pagi - sarapan pagi sama ada yang dibuat sendiri oleh saya atau dibeli di luar.

Selepas sarapan pagi saya akan bersiap-siap untuk pergi ke taska. Masak nasi terus untuk mereka makan tengah hari. Anak-anak saya yang masih kecil saya bawa bersama ke taska. Manakala yang sudah remaja dan sudah boleh berdikari sendiri saya tinggalkan mereka di rumah. Kadang-kadang suami keluar lewat dan pantaukan tugas mereka.

9.00 pagi hingga 11.00- ulangkaji pelajaran.

Oleh kerana anak saya yang nombor satu duduk di asrama dan dia boleh menguasai subjek menengah rendah lebih baik. Maka waktu ulangkaji ini saya manfaatkannya dengan menyuruh anak saya yang pertama tadi ajarkan mata pelajaran yang adik dia lemah. Terutamanya subjek Matematik.

11.00 pagi - 1.00 petang - waktu santai.
Maknanya anak-anak yang tinggal di rumah tadi dibenarkan menonton tv, rehat, main game sementara nak menunggu waktu zohor masuk. Saya akan minta tolong mereka keluarkan lauk dari peti ais dahulu supaya senang saya nak masak untuk makan malam balik petang nanti.

Untuk makan tengah hari pandai-pandailah mereka panaskan baki lauk semalam. Kalau tak nak makan lauk semalam boleh goreng telur sendiri atau makan roti yang saya memang standby dengan jem dan sebagainya.

Menjadi tanggungjawab anak-anak yang tinggal di rumah untuk angkat baju yang sudah kering di ampaian, hanger baju yang sudah siap dibasuh dan sidai di ampaian. Saya tahu pukul lima petang saya sampai rumah baju-baju yang dah kering masuk dalam bakul baju bersih masing-masing, baju yang saya basuh tadi dah bersidai.

1.00 petang - 3.00 petang - solat zohor, rehat

Saya juga tetapkan jadual mereka penuhkan isi air masak dalam botol, sapu sampah dan buang sampah.

4-00 petang - 5.00 petang - solat asar

5.00 petang - 6.00 petang - saya balik dari taska. kalau anak-anak yang duduk rumah tadi nak keluar pergi main futsal atau pergi taman saya benarkan.

Masa ini saya pula ambil alih tugas. Masak nasi kalau dah habis atau tak cukup, masak lauk utama dan satu hidangan sayur.

6.30 petang - pastikan anak-anak yag main luar tadi balik. Mandi dan bersiap untuk makan malam.

Tugasan basuh pinggan mangkuk, bersihkan meja selepas makan, kutip nasi yang berterabur saya tetapkan giliran untuk anak-anak.

7.00 petang - 8.00 malam - bersiap untuk solat maghrib. Anak saya yang lelaki saya galakkan ikut ayahnya ke masjid. Manakala yang perempuan solat di rumah sama saya. Lepas solat pastikan mereka buka quran sekejap. Saya ajar anak yang kecil baca iqra'.

8.00 malam - 9.00 malam - tunggu solat isya' terus.

Saya memang suruh anak-anak saya solat awal terutamanya isyak. Budak-budak ini kalau dia dah tertidur bukan main susah nak mengejutnya nak suruh solat isyak.

9.00 malam - 11.00 malam- boleh tengok tv rancangan kegemaran mereka. Yang kecil saya akan pastikan mereka masuk tidur selewat-lewatnya 10 malam.

11.00 malam - semua masuk tidur. tak boeh tengok tv atau main game lagi.

Jadi begitulah saya isikan masa anak-anak saya sepanjang cuti sekolah kali ini.




3 Tahap Didik Anak Dalam Islam