Popular Posts

Wednesday, December 12, 2018

Bantu Ringankan Beban Ibu Bapa Warga Emas

9 Cara Ringankan Beban Warga Emas
Teks : Suhana Salleh

Mak saya ini duduk kat kampung tinggal seorang. Umur pun dah masuk warga emas. Lutut pun dah tak kuat. Jadi sesekali saya balik kampung kenalah buat;
1. Kerja pembersihan dalam rumah
Sapu sampah, mop bagai. Toilet tu sentallah sikit bagi nampak bersih. Mana-mana botol yang dah habis isinya buang terus. Top upkan sabun, tiub ubat gigi dan syampu yang baru.
2. Bawa pergi pasar beli lauk
Pasar jauh. Mak harapkan penjaja ikan je datang rumah. Nak minta orang lain tolong pun semua anak dah tak ada. Jadi masa anak balik inilah dia penuhkan peti ais dengan jenis ikan yang dia suka. Mak saya suka ikan sembilang dengan ikan pari. Masak asam pedas.
3. Bawa pergi kedai runcit beli barang kering
Warga emas ni faham-faham ajelah. Bukan banyak mana pun barang kering yang diguna untuk masak. Nak beli bawang banyak takut busuk. Beli sikit takut tak cukup. Kena pandai agak-agak sementara tunggu adik beradik yang lain pula balik kampung.
4. Bawa jalan-jalan
Mak saya memang suka berjalan. Kesian dia duduk kampung terperap je dekat rumah. Jadi balik ni bawalah mak pergi makan angin tempat yang dekat-dekat. Sekurang-kurangnya release tension dia sekejap.
5. Buang segala benda yang tak perlu.
Mak pantang kalau saya buang barang. Masalahnya benda itu memang tak guna pun. Buat menyerabutkan rumah lagi ada. Contoh botol plastik mineral, resit, surat lama. Pandai-pandailah urus emosi warga emas supaya dia tak kecil hati.
6. Kemaskan dapur 
Dah tua-tua ni mak masak asal boleh je. Malas dah dia nak mengadap dapur bagi berkilat. Dah nampak dapur mak berkakah tu kenalah ringan-ringankan tangan tenyeh mana yang patut. Kotor nanti kita juga yang tak lalu nak makan.
7. Bersihkan luar rumah
Kerja-kerja sapu daun kering, bakar sampah kerahkan anak-anak dan encik suami yang buat. Budak-budak memang suka buat benda-benda macam itu. Tapi kena ada arahan dan pantauan orang dewasa. Kalau tak jahanam pokok bunga mak.
8. Tengokkan tempat tadah air 
Kena rajin tengokkan tempat tadah air/ baldi yang digunakan. Warga emas ni mata pun dah kabur. Selalu tak perasan dalam baldi tempat dia tadah air tu ada jentik-jentik. Kenalah cuci. Lagi elok letakkan ubat jentik-jentik sekali.
9. Basuhkan sarung bantal dan tilam
Dah tua-tua ni mak tak larat nak berkemas macam masa dia muda dulu. Sarung bantal, tilam memang dia dah tak ambil peduli. Nak basuh pun tunggu masa raya. Ramai-ramai balik. Tengok kalau dah hitam tu teruslah suruh anak-anak saya bukakan. Rendam dengan clorox masuk mesin basuh. Selesai.

Bahagiakan orang tua kita. Mudahkan urusan mereka. Banyak manfaatnya.

Friday, December 7, 2018

Bagaimana Menceraikan Botol Susu Dengan Kanak-kanak

Langkah Bijak Urus Anak Bercerai Dengan Botol Susu
Teks: Suhana Salleh

Saya rimas tengok kanak-kanak 4 tahun yang masih bergantung dengan botol susu.

Pernah saya terpaksa menguruskan berbelas-belas botol susu kanak-kanak di taska. Setiap kali hujung minggu botol susu kanak-kanak perlu direbus untuk memastikan kebersihannya terjamin. Puting botol harus dikeluarkan daripada penutupnya agar kuman dan kotoran yang terselit kena air panas. Pernah terjadi kes saya tertukar puting botol budak. Semuanya nampak seakan sama sahaja. Ada ibu bapa yang datang complaint.
Sumber: Imej botol susu bayi carian Google

Aduh... bengang juga. Kita berusaha nak matikan kuman kat botol susu anak tapi dia sedap je marah kata taska cuai. Tapi saya terima semua itu dengan hati yang terbuka. Kejadian itu telah membuatkan saya lebih kreatif memikirkan solusi tak nak botol susu banyak- banyak dekat taska. Sudahlah makan space banyak. Jenuh pula nak basuh botol susu 20 orang budak sekali harung.. 
Maka timbullah idea saya melatih kanak-kanak minum susu dalam cawan. Kanak-kanak yang masuk umur 4 tahun saya wajibkan mereka minum susu guna cawan. 2 kali sehari pagi dan petang. Hasilnya memang menakjubkan. Kanak-kanak tak mahu minum susu di taska. Katanya tak sedap (tak syok) sebab tak boleh minum sambil baring.  

Ibu bapa juga akan dimaklumkan mengenai hal ini. Harapannya agar amalan minum susu dalam cawan dapat diteruskan di rumah. Kadang-kadang ada ibu bapa dapat ikut saranan pihak taska. Kadang-kadang ada yang tetap bagi anak susu dalam botol di rumah. Terpulang kepada pendirian masing-masing. Tapi kanak-kanak secara automatik tidak mahu minum susu dalam botoll ketika di taska.

Sebenarnya kita sedang melatih anak ini membiasakan dirinya agar tidak bergantung kepada botol susu. Ini juga sebagai persiapan untuk anak menghadapi alam persekolahan tadika pada tahun seterusnya. Bayangkan bagaimana susahnya ibu bapa yang hendak menghantar anak ke sekolah tadika dalam masa yang sama anak masih minum susu dalam botol. Setiap pagi boleh berperang dengan anak kerana terkejar dengan masa dan hendak melayan anak buat susu dalam botol. Bagaimana pula dengan cikgu yang terpaksa melayan 20 orang kanak-kanak tadika dan masih ada seorang yang bergantung dengan botol susu.

Berbalik kepada latihan itu tadi saya dapati kanak-kanak yang tidak bergantung kepada botol susu lebih independent, lebih mudah bergaul dengan kawan-kawan dan pandai membawa diri sebaik saja mereka masuk ke alam sekolah tadika. Kanak-kanak perlu diajar disiplin dan patuh peraturan agar kehidupan di sekolah lebih hamoni bersama kawan-kawan sebaya mereka.  Sejak itu bebanan saya dan pengasuh taska membasuh botol susu dapat dikurangkan. Masa saya dan pengasuh juga menjadi lebih efektif dengan mengajar kanak-kanak kepada perkara lain yang lebih penting.

Sumber gambar : Page Ibu & Balita

Wednesday, December 5, 2018

Cara Suri Rumah Jana Duit

Cara Suri Rumah Tangga Jana Duit
Teks: Suhana Salleh


'Suri rumah'. Apabila disebut perkataan ini selalu yang terbayang di fikiran kita ialah seorang isteri yang tidak bekerja dan hanya menguruskan rumah tangganya sahaja. Tiada sumber pendapatan dan hanya mengharapkan duit ihsan pemberian suami.

Namun demikian, fenomena suri rumah duduk di rumah dan tidak mempunyai sumber pendapatan sudah bertukar kini. Keadaan ekonomi dan faktor sosial banyak mengubah mind set wanita sekarang terhadap suri rumah masa kini. Mereka bukan sahaja menjadi suri rumah. Dalam masa yang sama mereka bekerja dari rumah dan menjana pendapatan sendiri.

Tekanan hidup di bandar dan keadaan ekonomi keluarga yang kurang stabil menjadikan kaum wanita lebih kreatif untuk membantu meringankan beban kewangan suami. Terdapat beberapa cara bagaimana suri rumah boleh menjana wang di rumah. Antaranya;


  • Menyimpan 10% daripada pendapatan yang diperolehi  


Jika anda suri rumah tangga sepenuh masa minta kerjasama daripada suami untuk memperuntukkan sedikit daripada gajinya untuk anda setiap bulan. Sekiranya suami tidak mampu RM100 sebulan jumlah yang memadai. Daripada pendapatan itu asingkan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan yang diperolehi untuk simpanan anda sendiri.

Saya pernah meminta suami untuk memotong gajinya sebanyak RM200 setiap bulan ke dalam akaun saya. Tanpa culas. Potongan ini adalah sebagai timbal balas suami kepada saya kerana meminta saya berhenti kerja dan duduk di rumah menjaga anak. Hasilnya saya mempunyai simpanan lebih kurang RM5000 dalam tempoh 2 tahun.

  • Menabung duit syiling
Daripada pengalaman saya, orang lelaki tidak suka menyimpan duit syiling di dalam dompet. Mungkin faktor berat, leceh dan seperti tiada nilai membuatkan orang lelaki lebih suka meletakkan lebihan duit syiling mereka merata-rata. Mulai dari sekarang mulakan tugas anda untuk mengutip duit semua syiling yang ditinggalkan merata-rata oleh suami anda. Masukkannya ke dalam satu tabung khas yang tidak boleh dibuka tutupnya. Apabila tabung sudah penuh bolehlah buka dan kira jumlahnya.

Pernah satu ketika saya tidak mempunyai lebihan duit di bank untuk membayar duit van sekolah anak. Tabung syiling tersebut telah menjadi penyelamat. Saya membayar sebulan duit van kedua-dua orang anak saya menggunakan duit tabung tersebut.


  • Membuat pelaburan saham untuk anak
Orang lelaki memang jarang hiraukan tentang pelaburan saham dan keuntungannya. Tidak mengapa. Adalah menjadi tugas suri rumah tangga untuk memperhatikan mana-mana pelaburan yang sah, berisiko rendah dan boleh memberikan sedikit pulangan. Sebagai contoh Amanah Saham Berhad (ASB), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Permodalan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh seorang kenalan mengenai RM500 geran sepadan yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada pendeposit PTPTN. Dengan tidak membuang masa saya terus membuka akaun PTPTN untuk anak ke tiga saya. Daripada RM500 simpanan yang saya buat kerajaan telah memasukkan lagi RM500 ke dalam akaun anak saya. Jumlah tersebut tidak boleh dikeluarkan malah setiap tahun akan dibayar dividen.

  • Mengambil takaful untuk anak sejak lahir
Adalah sangat bagus jika kita dapat merencanakan kewangan anak sejak mereka bayi. Sewaktu anak masih bayi carilah perlindungan takaful untuk mereka. Paling tidak pun takaful pendidikan untuk anak. Pastikan jumlah tersebut tidak terlalu tinggi dan masih dalam kemampuan kewangan kita. Sekiranya perlindungan takaful diambil sejak bayi bayaran yang terpaksa kita bayar setiap bulan lebih kecil jika dibandingkan sekiranya kita ambilkan takaful ketika mereka sudah berumur 4 tahun.  

Menjadi tabiat saya memastikan setiap anak yang lahir perlu ada perlindungan takaful. Sebagai contoh disebabkan keadaan kewangan yang tidak stabil suami saya pernah tidak membayar takaful pendidikan anak pertama kami selama 3 tahun. Saya telah mengambil inisiatif membayar kesemua tunggakan tersebut memandangkan tarikh matang sijil tersebut akan tamat kurang daripada 2 tahun. Sedangkan pada tarikh itu anak saya akan tamat SPM. Kemungkinan besar dia akan menyambung pelajarannya keinstitusi pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negara. Dengan duit tersebut dapatlah menampung pembiayaannya untuk belajar nanti.        

  • Mempromosikan kemahiran yang ada
Suri rumah tangga tidak perlu malu mempromosikan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki. 
Antara kerjaya yang boleh menjana pendapatan buat suri rumah tangga seperti;
Menjadi cikgu tusyen, 
guru mengaji, 
menulis, menjadi ghostwriter 
membuat biskut, kek dan roti, 
memasak untuk majlis, 
membuat kuih tradisional
menyediakan akaun untuk syarikat
mengasuh anak jiran dan seumpamanya

HFMD

Hand, Foot, Mouth Disease (HFMD)
Teks: Suhana Salleh


"Puan, anak puan macam ada simptom HFMD. Kami tak boleh terima kerana dikhuatiri menjangkit kepada kanak-kanak yang lain."

"Tak. Itu bukan HFMD. Saya dah bawa pergi jumpa doktor. Doktor kata itu cuma ruam biasa."

"Tapi puan..."

"Oklah, saya dah lambat ini. Nanti petang saya datang ambil anak saya macam biasa."

Seminggu kemudian, seorang demi seorang kanak-kanak di taska diserang HFMD sehingga taska terpaksa ditutup hampir dua minggu untuk dinyahkuman.

Siapa yang susah?

-------------

Musim HFMD ini. Ibu bapa yang menghantar anak ke taska, tadika, sekolah atau ke rumah pengasuh harap peka tanda-tanda yang ada. Kebiasaannya anak diserang demam yang tinggi dan ada lepuh di tapak tangan, tapak kaki, siku, lutut dan bahagian sekitar punggung dan kelengkang. Selain itu ada ulser dalam mulut sehingga kanak-kanak tidak mahu minum susu atau makan.

Jika anak dijangkiti HFMD;
1. dapatkan rawatan dan pengesahan daripada doktor terlebih dahulu
2. ikut arahan doktor sama ada anak perlu ditahan di ward atau boleh jaga di rumah sahaja
3. jika kena kuarantin di rumah minta doktor keluarkan surat cuti kuarantin
4. jangan bawa anak ke tempat yang ramai orang seperti mall, tempat permainan awam dan seumpamanya.
5. tingkatkan amalkan kebersihan di rumah dan di luar rumah.
6. jangan hantar anak ke taska sehingga benar-benar sembuh

Untuk pengusaha taska pula;
1. tingkatkan saringan semasa kanak-kanak sampai di taska
2. jangan ambil risiko terima anak yang dijangkiti HFMD
3. tingkatkan amalan kebersihan di taska
4. cuci tangan dengan bersih selepas mengendalikan najis/ lampin pakai buang kanak-kanak
5. ajar kanak-kanak cuci tangan yang betul sebelum dan selepas makan. Begitu juga selepas masuk tandas.
6. lakukan aktiviti disenfeksi/ penyahkuman secara berkala di taska

Jika terdapat lebih 3 kes kanak-kanak dilaporkan dijangkiti HFMD, kementerian kesihatan berhak mengarahkan taska tersebut ditutup operasinya serta merta.

Kesihatan anak-anak tanggungjawab kita bersama. Mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya.

Pesanan khidmat masyarakat ini dibawa oleh Suhana Salleh, Pengusaha Taska Yang Ceria.

Kisah Ibu (2)

Jangan Main Luar
Teks : Suhana Salleh

Segelintir emak budak taska ini kadang-kadang memang ada yang bersikap pelik-pelik. Kadang-kadang saya sendiri tak faham kenapa. Selalunya kes begini mengundang rasa leluncon pula.

Contohnya macam kes ini. 

Ibu bekerja sebagai seorang juru rawat di sebuah klinik kesihatan. Tapi dia tak benarkan pengasuh taska bawa anak dia bermain di luar. Alasannya dia tidak mahu anak dia kotor. 

Rutin di taska saya setiap hari Khamis pengasuh taska akan bawa kanak-kanak buat aktiviti 'nature walk'. Maknanya semua kanak-kanak yang sihat akan dibawa berjalan ke taman permainan berdekatan. Tujuannya supaya kanak-kanak dapat bermain dan belajar dengan alam semula jadi. Dengan adanya aktiviti ini tak adalah kanak-kanak terperuk sahaja di taska. Kanak-kanak yang sihat adalah kanak-kanak yang aktif dan ceria.  

Saya dapati kanak-kanak gembira dan tidak sabar nak keluar berjalan-jalan setiap kali hari Rabu sampai.  

Kajian membuktikan matahari pagi adalah sumber terbaik vitamin D. Zat makanan dapat diserap dengan lebih baik jika kanak-kanak mendapat vitamin D secukupnya. 

Saya lebih risau jika kanak-kanak taska saya pasif, sedih dan tak mahu bergaul dengan kawan-kawan mereka. Itu adalah petanda mereka tidak sihat. 


Saya selalu rasa serba salah setiap kali kami hendak memulakan aktiviti nature walk. Saya sedih melihat anak itu memandang sepi dari pintu grill taska. Sedangkan kawan-kawannya seronok bermain dan meneroka dengan alam sekeliling.

Pesanan saya, jika anak-anak anda dihantar ke taska libatkan mereka dengan aktiviti yang dijalankan di taska. Semua aktiviti yang dirancang pihak taska sudah pasti ada manfaatnya untuk perkembangan anak-anak. 

Kisah Ibu (1)

Ubat Nyamuk
Teks: Suhana Salleh

Hari ini saya nak tergelak. Betul-betul tak boleh tahan.

Pagi tadi pembantu taska saya bagitau. Dia tak tahan betul dengan 'bau' seorang baby ni. 

Saya tanya, "bau apa?"

Pembantu taska saya kata ada seorang mak baby itu. Dia tampal sesuatu di belakang badan anaknya. Bentuknya macam koyok tapi warna hitam. Baunya busuk lain macam. 

Saya pun angguk-angguk jelah. Saya fikir benda itu mungkin sejenis ubat untuk buang angin dalam badan bayi. Sebab maknya ada bagitahu saya, kebelakangan ini baby dia asyik meragam. Kembung perut. Maklumlah babynya masih menyusu badan. 

-----------

Sebelah petangnya saya jengok semula ke taska. Saya tanya pada pembantu taska saya. Baby itu meragam lagi tak?

Pembantu taska saya kata baby tu dah balik. Emak dia baru sahaja ambil anak dia sebelum saya sampai. Pembantu taska bagitahu saya lagi. Benda yang macam koyok yang ditampal di belakang badan anaknya itu sebenarnya ubat nyamuk.

"Ubat nyamuk? Dah kenapa ubat nyamuk tampal kat badan baby? Mak dia tak perasan ke ubat nyamuk melekat kat badan anak dia," tanya saya.

Pembantu taska saya tergelak.

Katanya, emak baby itu kata dia sengaja tampal benda alah tu di belakang badan anak dia. Sebabnya nak elakkan gigitan nyamuk. Pagi semalam lepas suaminya hantar anak dia ke taska ada nyamuk gigit anak dia. 

Allahu. Saya tepuk dahi. Sambung ketawa.

Prihatin sungguhlah emak dan ayah baby ni. Bimbangkan anak digigit nyamuk sanggup tampal ubat nyamuk tu kat belakang badan anak. Anak dia pun baru berusia 3 bulan.

Bukan apa. Saya cuma terfikir. Tak ada kesan sampingan ke pada baby dia nanti. Seperkara lagi saya cuma bimbangkan keselamatan bayinya. Macam mana jika ubat nyamuk tu tertanggal. Anak dia kutip  masuk dalam mulut. Bukan ke bahaya begitu.

Ibu ayah, saya nak pesan sikit. Sikap prihatin itu bagus. Cuma janganlah berlebih-lebih. Mana yang lebih kita bimbang. Bimbang anak kena gigit nyamuk atau anak masuk kutip ubat nyamuk masuk mulut. 

Sekiranya tak mahu bayi kena gigit nyamuk belilah lotion yang boleh menghalang gigitan serangga. Sebelum hantar taska pagi-pagi itu sapukan pada seluruh badan bayi. Cara itu lebih selamat. Losyen anti serangga ada dijual di farmasi. Cuma saya tak pasti baby bawah dua tahun boleh pakai ke tidak.
Wallahu a'lam.


Tuesday, December 4, 2018

Elakkan Penderaan Di Taska

Elakkan Penderaan Di Taska
Teks : Suhana Salleh


Banyak kisah yang dipaparkan media mengenai kanak-kanak yang di dera. Di taska juga tidak terkecuali. Masih berlaku penderaan walaupun sudah disogokkan dengan banyaknya hukuman yang dijatuhkan kepada pendera- pendera.

Sebagai seorang pengusaha taska saya cuba mengelakkan perkara ini terjadi di taska saya. Aspek utama yang saya ambil sebagai langkah pencegahan adalah menitik beratkan pengasuh yang akan saya ambil bekerja dengan saya.

Untuk tujuan tersebut saya akan elakkan mengambil pengasuh yang ada ciri-ciri berikut;
  • suka beri banyak alasan apabila diminta membuat sesuatu kerja
  • sentiasa berkepit dengan henpon sepanjang waktu kerja
  • tidak pandai menguruskan emosi diri sendiri
  • terbiasa menyebut perkataan kurang sopan atau kasar di hadapan kanak-kanak  
  • bias dengan seorang budak sahaja
  • pemalas 
  • pengotor dan tidak menjaga penampilan diri
  • suka menonton tv waktu kerja
  • tak ikut SOP yang ditetapkan taska
  • berpewatakan kasar, garang dan bengis dengan kanak-kanak
  • suka mengadu domba dengan ibu bapa
  • berpelakuan kasar dengan bayi dan kanak-kanak
Jika pengasuh ada ciri-ciri sebegini cepat-cepat saya ingatkan mereka. Sekiranya sudah diberi peringatan kali pertama masih tidak berubah saya tidak teragak-agak memecat mereka daripada bekerja dengan saya.