Popular Posts

Wednesday, December 12, 2018

Emak Ratu Hatiku (Bahagian 6)

Botol Mineral Kosong
Teks : Suhana Salleh


Lepas masak asam pedas ikan sembilang mak kata nak rehat. Kaki dia dah sakit. Saya minta masak kuah mi rebus pun dia enggan. Katanya esok pagi sahaja dia masakkan.

Oleh sebab saya dah beritahu nak balik awal esok, pagi-pagi lagi emak dah bangun. Selepas subuh saya dengar bunyi bising dari arah dapur. Bunyi pengisar lada. Bunyi ketuk lesung batu. Bunyi air sinki. Tentu mak tengah siapkan bahan nak masak mi rebus.

Usai solat saya jengok mak di dapur. Seperiuk kuah mi rebus sudah dimasak atas dapur. Tinggal tunggu mendidih. Saya jerang air. Nanti bolehlah hidang kopi dan teh masa sarapan pagi.

Dalam pada itu tangan saya ligat menyapu rumah mak. Saya periksa tempat surat mak. Mana-mana resit yang dah tak guna, kad jemputan walimah yang sudah lepas tarikh dan surat-surat yang tak berkenaan semuanya saya lesir.

Emak memang sudah faham sangat perangai saya. Suka membuang. Hanya simpan mana yang perlu dan digunakan sahaja.

Sudah sampai dapur saya nampak botol air mineral kosong satu bakul besar. Mesti mak yang simpan semua benda ini. Kalau saya usulkan nak buang emak memang tak benarkan. Saya ambil langkah proaktif. Terus masukkan dalam plastik hitam besar senyap-senyap.

Saya tahu emak perasan tapi dia tak cakap apa-apa. Takut saya membebel agaknya.

Saya suruh anak pertama saya hantar plastik itu ke depan. Nanti ada lori sampah yang akan datang ambil. Elok anak saya nak membuangnya, emak tahan dia. Katanya biarkan di situ. Tak payah buang. Nanti dia nak isi air.

Serba salah anak saya dibuatnya. Akhirnya dia akur dengan cakap neneknya. Letak semula plastik hitam berisi botol mineral kosong di tepi rumah.

Inilah dilema yang sering berlaku anak-anak dengan warga emas. Niat kita nak memudahkan urusannya. Buang mana-mana benda yang tak perlu. Tambahan pula disimpan pun bukannya diguna. Tertonggohlah di situ sampai jadi tukun. Tiba masa jadi sarang cik lipas dan cik siti. Nasib tak baik jadi tempat ular berteduh.

Jadi warga emas memang begitulah sifatnya agak saya. Sensitif dan banyak sentimental value yang disimpan dalam kepala. Sebagai anak pandai-pandailah kita urus emosi mereka. Kena banyak bersabar supaya tidak ada hati yang terluka. 





Emak Ratu Hatiku (Bahagian 5)

Asam Pedas Ikan Sembilang Atau Ikan Pari
Teks: Suhana Salleh

Sampai di rumah jam dah pukul 3.30 petang.

Masing-masing sudah kelaparan.

Anak-anak terus singkap tudung saji atas meja mak. Makan lebihan laksa Johor sarapan pagi tadi. Sementara itu suami saya terus tunaikan solat zohor.

Saya tengok emak sibuk agih-agihkan ikan yang dibelinya di Sungai Rengit tadi kepada mak saudara saya di sebelah dan di belakang rumah.

Saya terus niat jamak takhir beserta qasar Asar nanti. Banyak pula barang-barang dapur dan ikan yang hendak diuruskan. Barang-barang kering terus saya masukkan ke dalam bekasnya. Bahagian ikan-ikan saya biar emak yang uruskan.

Selesai solat mak tanya saya. "Nak masak ikan sembilang ke pari?"

Soalan emak ini memang saya lemah. Sebab saya tahu emak dah ada keputusan sebenarnya dalam kepala dia.

Saya kata, "suka hati emaklah. Ikan sembilang pun sedap juga."

"Ikan sembilang?" mak tanya saya semula.

"Ikan pari kita masak esok, ek,"sambung mak lagi.

"Ikan pari mak nak masak apa?"

"Masak asam pedaslah."

"Eh, tak payahlah masak pari tu. Malam tadi mak dah masak asam pedas. Malam ni masak asam pedas sembilang. Esok nak masak asam pedas pari pulak. Tak payahlah. Nanti kalau ada sesiapa balik mak masakkan aje untuk diaorang," usul saya.

Mak angguk.

Orang Johor dan asam pedas memang tak dapat dipisahkan. Tapi kalau 3 kali berturut-turut dihidang asam pedas boleh jelak juga dibuatnya.


Saya sebenarnya tak sabar nak tunggu mak masak mi rebus.









Emak Ratu Hatiku (Bahagian 4)

Gula Melaka Asli
Teks : Suhana Salleh

Semua bahan untuk memasak makan malam dan esok pagi sudah dibeli. Teringat pula adik ipar hantar whatsapp malam tadi. Katanya mak (emak mentua saya) pesan suruh belikan gula melaka asli.
Gula melaka asli tu hanya ada dijual di kedai runcit dekat rumah mak saya.
Selama ini mak saya yang tolong belikan. Saya pun tak pasti mana yang asli, mana yang tak asli.

Terpaksalah saya heret mak turun pergi kedai runcit itu beli sekali.
Setibanya di kedai runcit.
"Mak, mana gula melaka asli? Yang ini ke?" Saya tunjuk gula melaka paling cantik dalam peket.
"Eh, bukan yang itu. Hah, yang dalam guni ini asli."
"Ini asli? Hurmm..."


Betullah orang tua kata. Yang cantik itu tak semestinya tulen.

Emak Ratu Hatiku (Bahagian 3)

Mi Rebus Emak
Teks : Suhana Salleh

Balik dari Azhar Food Manufacturing Sdn. Bhd., mak suruh saya singgah kedai hard ware di Pt. Yusof sekejap. Katanya mahu cari gergaji yang dikirim oleh mak cik sebelah rumah. Mak cik itu pun bukan orang lain. Adik ipar emak, mak saudara saya juga.

Selesai beli gergaji mak terus masuk kedai runcit yang berhampiran. Emak ambil bahan-bahan nak buat mi rebus.

"Eh, kita nak masak apa sebenarnya makan malam ni, mak? Mak kata nak masak ikan sembilang asam pedas? Mi rebus ni nak masak bila pulak?"


"Mi rebus kita masak esok."

"Esok orang balik Rawang pagi, mak. Mana sempat nak masak mi rebus."

"Eh sempat. Kesian anak kau nak makan mi rebus."

Saya pandang anak pertama saya, "Abang nak makan mi rebus nenek ke?" tanya saya menduga.

Tersengih-sengih dia macam kerang busuk. 

Tapi saya pun tak membantah permintaan anak saya itu. Mi rebus air tangan emak memang sedap. Lagi pun dah memang sifat emak dari dahulu. Sedaya upaya penuhi permintaan anak cucu nak makan apa. Kalau tak dapat dimasakkannya pasti emak akan rasa ralat. 

Harus saya catatkan resepi Mi Rebus Emak dan kongsikannya di sini nanti lain kali.  

Emak Ratu Hatiku (Bahagian 2)

Azhar's Food Supplier Sdn. Bhd.
Teks: Suhana Salleh


Dari Rengit menghala balik rumah emak, encik suami berhenti singgah di Azhar's Food Supplier Sdn. Bhd.
Premis ini terletak di RU 51, Jalan Besar Sri Bahrum, Jalan Pontian, Rengit Johor. Dari Rengit ke Batu Pahat premisnya terletak di sebelah kiri jalan besar. Ada signboard besar yang memudahkannya dilihat.
Dari jalan besar dah boleh nampak signboard yang dipasang.

Untuk makluman di sini ada menjual pelbagai jenis kerepek dan makanan ringan. Ada kerepek pisang, kerepek ubi pedas, tak pedas, maruku, rempeyek dan seumpamanya. Kuih kapit kosong, kapit berinti, kacang, popia gulung, simpul dan samosa mini pun ada. Pelanggan boleh beli sepeket atau satu bundle terus.
Ada beberapa produk laku keras diletakkan di luar premis sebagai tester. 

Memang rambang mata apabila masuk dalam ini. Bahagian depan dijual untuk satu-satu.

Bahagian belakang dijual secara bundle.

Kali ini giliran encik suami dan anak-anak pula yang rambang mata. Kalau boleh semua nak dicapai dan masuk dalam bakul mereka. Saya cuma pilih mini samosa. Nampak macam cantik. Harga pun munasabah. Harap rasanya tak mengecewakan.
Saya tengok mak berlegar-legar saja kat situ. Tak ada pegang apa-apa.
"Mak nak beli apa?" Saya tanya.
"Tak ada apa. Mak nak beli kuih kapit ini aje. Untuk mak sedara kau. Kesian dia tak pernah pergi sini."
Aduh mak, mak.
Anak dia punyalah ingat nak senangkan dia. Tapi dia tetap juga ingat kat orang lain. Nak buat macam mana. Dah memang resmi mak saya begitu. Sayang orang lain lebih dari diri dia sendiri.

Emak Ratu Hatiku (Bahagian 1)

Sungai Rengit
Teks : Suhana Salleh


Selepas sarapan mak ajak pergi pasar favourite dia - Pasar Parit Jawa. Tak lain tak bukan cari ikan kesukaan dia - ikan sembilang dan ikan pari.
Saya malas nak ikut sebab nak kemas rumah. Sengaja saya suruh anak saya yang sulung dan nombor dua ikut ayahnya ke pasar. Buat teman nenek dan pimpinnya ke pasar nanti.
Balik dari Pasar Parit Jawa suami ajak ke Rengit. Nak tengok barang terpakai yang dijual di sana. Pada hal sengaja nak ajak mak berjalan naik kereta jauh sikit. Batu Pahat - Rengit lebih kurang satu jam. Mak pun kata nak ikut juga.

Sampai di Rengit pusing-pusing kat kedai jual barang terpakai. Tapi tak ada pula yang berkenan. Masa nak menghala balik lalu tempat orang jual ikan. Sengaja saya suruh encik suami berhenti. Nak ajak mak cuci mata sekali lagi.
Inilah tempat ikan turun di Sungai Rengit. Ikan dibawa naik sekitar pukul 9.00 pagi. Kami sampai pukul 1.00 petang. Banyak peniaga yang berkemas nak tutup gerai.

Jalan-jalan di situ memang buat mak rambang mata. Ada saki baki ikan baru turun laut pagi tadi. Masih segar. Ikan parang seekor rm15. Siput sedut 1 kg rm9. Udang saiz besar biasa rm65 sekilo jadi rm55. Terbeli jugalah mak ikan-ikan tu. Pada hal pagi tadi dah borong ikat kat pasar Parit Jawa.
Walaupun tinggal saki baki semua ikan ini masih segar lagi.
Udang saiz besar yang biasanya RM65 kg pun dapat harga RM55. Rezeki jangan ditolak.

"Mak, buat apa beli banyak-banyak lauk?"
"Eh, biarlah. Nanti siapa-siapa ada balik boleh masak."
"Dah mak, jom balik. Lama lagi kat sini kang lagi banyak mak nak beli."
"Isk, memang gilalah tengok ikan-ikan ini. Jom balik. Sebelum tu mak nak beli ikan parang lagi seekor."

^_^

Setakat nak makan anak beranak di rumah beli di sini memang berbaloi dan puas hati.

Toilet Train

6 Cara Mudah Ajar Anak Latihan Ke Tandas
Teks : Suhana Salleh

Pernah di taska saya kanak-kanak 4 tahun masih pakai lampin pakai buang. Kasihan saya tengokkan budak chubby itu pinggangnya melelas dek diapers yang terkurang saiz. Sejak dari itu saya ajarkannya latihan ke tandas. Prosesnya tidaklah sesukar mana kerana kanak-kanak itu sebenarnya dah bersedia. Cuma ibu dan ayahnya sahaja yang belum sedia.
Ibu-ibu, ayah-ayah...
Latihan anak ke tandas ini perlukan kerjasama dua pihak iaitu orang dewasa (sama ada ibu bapa atau pengasuh) dan anak.
Suka saya kongsikan di sini catatan pengalaman melatih anak sendiri ke tandas seawal usia mereka dua tahun.
1. Boleh faham apa yang dicakap
Kelima-lima anak saya boleh bercakap pada usia mereka 2 tahun. Walaupun sedikit pelat saya boleh faham jika dia sebut perkataan 'eyak' dan 'nak encing'. Begitu juga dia boleh faham jika saya tanya, " nak berak? Nak kencing ke?"
2. Cakap selalu
Dua minggu sebelum memulakan latihan saya selalu bagitahu pada anak begini. Nanti tak payah pakai pampers tau. (Sebut nama anak) kalau nak kencing cakap macam mana? "Ibu, saya nak ken...cing." Buat aksi dia tak tahan nak terkencing dan pergi tandas. Tujuannya menanam minda bawah sedar mereka.
3. Kenalpasti ekspresi wajah atau tabiat anak
Sentiasa peka dengan ekspresi wajah dan tingkah laku anak setiap kali dia mahu membuang air. Anak saya selalunya akan membuat muka meneran setiap kali dia mahu membuang air besar. Jika dia dah buat muka macam tu cepat-cepat saya hantarkannya ke tandas.
4. Tetapkan waktu anak ke bilik air
Saya sering menggunakan tempoh 4 jam sekali untuk hantar anak ke bilik air. Katakan anak bangun tidur pukul 7 pagi. Aturkannya ke billik air dahulu. Pukul 11 pagi nanti saya akan menanyakan padanya sama ada mahu membuang air atau tidak. Jika dia enggan saya akan paksanya ke bilik air. Dikhuatiri terlalu leka bermain atau menonton anak kita akan terkucil sendiri.
5. Gunakan seluar yang mudah ditanggalkan
Semasa latihan ke tandas saya akan memakaikan seluar yang mudah ditanggalkan kepada anak saya. Ini bertujuan supaya apabila dia terasa ingin membuang dia akan cepat-cepat ke tandas dan membuka seluar. Pernah terjadi anak saya terkucil betul-betul depan pintu tandas. Semuanya gara-gara susah hendak menanggalkan seluar maka banjirlah lantai dibuatnya.
6. Puji anak ketika dia berjaya menggunakan tandas dengan baik.
Setiap kali anak berjaya gunakan tandas dengan betul saya akan puji mereka. Jika tidak berjaya jangan marah anak. Sentiasa beri anak sokongan. Kanak-kanak yang kerap dimarah dikhuatiri akan menyebabkan mereka menjadi takut. Seterusnya terpaksa u turn guna lampin pakai buang semula.
-------
Oh, ya panduan ini hanya tertakluk pada kanak-kanak bawah 4 tahun sahaja dan pada waktu siang. Semasa tidur tengah hari atau berjalan-jalan jauh saya akan pakaikan lampin pakai buang untuk mereka.

Pada awal latihan memang seksa juga. Selalu sahaja mereka terkucil merata-rata pada bila-bila masa.
Proses itu adalah normal.
Suka diingatkan jangan sesekali marah atau tengking anak sekiranya mereka terbuang tanpa sengaja.
Keupayaan kanak-kanak mengawal usus dan pundi kencing merupakan pencapaian penting dalam hidup mereka. Sentiasa berikan galakan dan panduan untuk anak-anak kita.
Kadangkala mengambil masa dua minggu atau lebih untuk kanak-kanak mahir menggunakan tandas.
Tidak kira berapa lambat anak kita belajar menggunakan tandas dengan betul, percubaan untuk melatihnya sebelum badannya bersedia adalah sia-sia.