Popular Posts

Saturday, December 22, 2018

Family Day Haji Rahmat & Hajah Rogayah (bahagian 3)

Muzium Padi, Kedah
Teks: Suhana Salleh

Lemah betul dengar apabila adik ipar saya kata lepas ini kita pergi ke Muzium Padi.
Stigma otak saya 'muzium' hanyalah tempat berjalan-jalan, mencuci mata melihat replika sambil membaca sejarah yang tercatat di atasnya.
Rupanya tanggapan pertama saya silap.
Sebaik saja urusan membeli tiket selesai, rombongan kami yang terdiri daripada 6 buah keluarga diarahkan naik ke tingkat atas melalui tangga yang disediakan.
Berpusing-pusing kami mendaki anak-anak tangga. Kanak-kanak dan orang dewasa memang seronok naik tangga berpusing begitu. Tapi bapa mentua saya sudah pening-pening lalat.
Sampai di atas, "wah, cantiknya!" Hanya dua perkataan itu sahaja yang terucap di bibir saya. Panoramanya sungguh mengasyikkan. Semua mata terpaku melihat pemandangan indah yang terhampar di hadapan mata kami. 

Saya sangka itu adalah pandangan sebenar dengan ruang terbuka di atasnya. Rupanya kami tenggelam dalam ilusi. Pemandangan yang dihamparkan sebenarnya adalah lukisan mural yang dipasang di dalam bangunan muzium tersebut.    
Di sini pengunjung bebas mengambil gambar masing-masing di mana-mana pemandangan yang mereka suka. Ada lukisan yang menggambarkan cuaca cerah dan ceria. Ada pemandangan suram kerana hari sudah mahu hujan. Ada juga gambar pelangi dan menonjolkan kehidupan masyarakat kampung yang harmoni. Takjub saya melihat bagaimana teliti dan halusnya mural yang dihasilkan ini. 
Antara fakta menarik di sebalik keindahan mural tersebut;
dihasilkan oleh 60 orang pelukis Korea.
mengambil masa 6 bulan untuk disiapkan.
kosnya menelan belanja 11 juta.
panorama lukisan berdasarkan pemandangan dari puncak Gunung Keriang.
Suasana pengunjung yang hadir di kaki Gunung Keriang.

Inilah sebahagian pemandangan yang dapat dilihat dari puncak Gunung Keriang.

Pemandangan sawah padi ketika hujan panas. Ada pelangi.

Suasana di sawah padi ketika terik mentari. Siap bayang-bayang pokok lagi.

Pemandangan sawah padi yang macam betul-betul ada.

Sebahagian keluarga besar Haji Rahmat & Hajah Rogayah

Tidak mahu melepaskan peluang keemasan, saya mengajak seluruh ahli keluarga Haji Rahmat & Hajah Rogayah yang ada untuk merakam detik indah di Muzium Padi ini. Perkhidmatan jurufoto profesional juga boleh didapati di sini. Kadar caj yang dikenakan juga adalah relevan dan munasabah. Gambar yang sudah siap diprint beserta kalendar sebagai frame hanya dikenakan bayaran sepuluh ringgit. 

Saya sungguh berpuas hati dengan usaha dan inisiatif kerajaan negeri Kedah menaik taraf Muzium Padi ini. Dengan tiket yang berharga RM5 untuk dewasa saya rasa berbaloi jika mahu membawa anak-anak dan ibu bapa masuk ke sini. 

Kata orang tak kenal maka tak cinta. Saya rasa inilah kali pertama saya masuk muzium yang tak membosankan. Tak rugi bayar tiket masuk RM5 seorang (dewasa). Macam naik KL Tower pun ada rasanya. Jadi jangan lupa singgah Muzium Padi andai kata ada singgah Aloqstaq.
Pemandangan sebenar di kaki Gunung Keriang.

'

Friday, December 21, 2018

Gedung Chak

Gedung Chak
Teks: Suhana Salleh

Orang utara mesti dah biasa dengar nama Gedung Chak.
Gedung Chak adalah sejenis kuih tradisional Melayu.
Namanya yang unik membuatkan saya tertanya-tanya bagaimanakah rasa kuih tersebut. 
Sewaktu sambutan Hari Keluarga Haji Rahmat & Hajah Rogayah pada 18 Disember yang lalu saya berpeluang menikmati sendiri keenakan kuih tradisional ini. Adik ipar saya yang bermastautin di Sungai Petani telah bermurah hati membelikan gedung chak untuk saya.

Sebelum ni kalau adik ipar saya cakap gedung chak otak saya cuma terbayang filem Hindustan yang hero dengan heroinnya menari sambil menyanyi dalam hujan itu. 'Dum dum chak, dum dum chak.'
Sewaktu anak saya menghulurkan gedung chak, mati-mati saya ingat itu otak-otak. Ternyata apabila dibuka daun pembalutnya, isi dalamnya tidak sama seperti yang saya sangka. Isi gedung chak bewarna kuning keperangan bercampur hijau. Rasanya macam kuih dangai.
Uniknya gedung chak ini versi dalam daun nipah dan dipanggang atas api seperti memasak otak-otak.
Saya memang teruja dengan keunikan rupa gedung chak ini. Semasa hendak tidur malam baharu saya teringat untuk mengambil gambarnya. Jadi saya suruh anak saya yang kedua ambilkan gambar kuih tersebut untuk saya. Sebab esoknya saya nak share di FB.
Sekali tu 'hampeh'. Lain yang disuruh lain yang diambilnya.
Memang malam itu gedung chak dengan jambu batu duduk sebelah menyebelah atas meja makan.  
Keesokan paginya, masa saya hendak share status FB tentang gedung chak baru saya tahu dia sudah salah ambil gambar. Cepat-cepat saya ke dapur hendak ambil gambar gedung chak. Malangnya kulit gedung chak pun dah tak nampak. Sudah selamat sampai ke dalam tong sampah.  
Apa nak dikata. Sudah nasib badan. Saya pun tak salahkan anak saya. Mungkin dia pun blur masa itu.  
Bagi yang tertanya-tanya macam mana rupa gedung chak saya kongsikan gambar ini. Mungkin sedikit sebanyak dapat membantu. Gigih saya mencari gambar dalam group family Haji Rahmat. 
Ini gambar yang diambil adik ipar sewaktu hendak tunjukkan pada saya yang dia dah belikan gedung chak untuk saya.

Mujur ada seorang teman FB, Cikgu Aaron baik hati mengirimkan gambar sebenar gedung chak kepada saya.

Saturday, December 15, 2018

Pengangkutan Awam (bahagian 1)

Pengalaman Naik MRT
Teks: Suhana Salleh

Tahun 2003, selepas beranak satu saya sudah jarang menggunakan pengangkutan awam. 

Semasa zaman universiti dahulu saya memang pengguna setia bas dan LRT. Tahun akhir di universiti saya tidak lagi memilih duduk di kediaman yang disediakan oleh pihak universiti. Saya juga tidak duduk di rumah sewa Vista Kerinci dan Pantai Dalam seperti mana kawan-kawan sefakulti saya buat. Sebaliknya saya mengambil keputusan duduk dengan kakak nombor 3 di Seksen 1 Wangsa Maju. 

Pada ketika itu pembinaan LRT sedang rancak dijalankan. Stesen Wangsa Maju dan Stesen Universiti menghubungkan jarak dari rumah kakak saya dan Universiti Malaya ketika itu. Jika hendak diikutkan perjalanan sehala dari rumah kakak ke universiti mengambil masa lebih 40 minit. Memandangkan kelas saya hanya 3 hari seminggu maka perkara itu tidak menjadi masalah besar bagi saya. Sebolehnya saya akan uruskan semua kerja berkaitan universiti seperti perbincangan dengan rakan, pergi ke perpustakaan dan berjumpa dengan penyelia dipadatkan pada hari-hari tersebut. Hari lain saya tidak akan keluar demi menjimatkan masa, tenaga dan kos. 

Saya masih ingat ketika itu, setiap pelajar boleh memohon kad untuk mendapatkan penjimatan harga pelajar. Pas bulanan kalau tidak silap saya. Selain itu ada juga keistimewaan lain jika kita mempunyai kad bulanan. Tambang bas percuma dari stesen LRT sehingga ke beberapa tempat terpilih. Hujung minggu boleh membawa dua orang dewasa menaiki LRT secara percuma.

Selepas berkahwin semuanya selepas itu menjadi sejarah. Saya lebih banyak menaiki kereta jika hendak ke mana-mana. Suami juga lebih suka menghantar dan mengambil saya di pejabat. 

Hari ini saya hendak bawa anak-anak ke KL Sentral menggunakan MRT.


Selalunya saya naik komuter dari Rawang. Oleh kerana komuter sedang dalam proses penambahbaikan, jadual waktu perjalanannya menjadi terhad dan mengambil tempoh masa yang lebih lama. Jadi hari ini sengaja saya mengambil pengangkutan awam MRT dari Stesen Sungai Buloh. 

Oleh kerana ini kali pertama naik MRT, terpinga-pingga jugalah saya hendak membeli tiket dan nak pilih stesen mana nak berhenti nanti. Persis rusa masuk kampung jadinya saya. Beli token dengan mesin, sistem laluan yang tersusun, ketepatan masa berlepas membuatkan MRT nampak canggih di mata saya. Saya berasa bangga dengan pencapaian pengangkutan awam sebegini.    

Menurut pegawai yang bertugas di situ jika hendak ke KL Sentral saya perlu berhenti di Stesen Muzium Negara. Saya fikir setiba di Stesen Muzium Negara perlu ambil tren lagi hendak ke sana. Rupanya tak perlu. Hanya perlu teruskan langkah, naik eskalator dan ikut laluan disediakan dah boleh sampai ke KL Sentral. Perjalanan yang mudah. Cuma saya terbayang jika saya warga emas jenuh juga hendak berjalan dan naik eskalator.  
Suasana dalam MRT dari Stesen Sungai Buloh. Lengang.


Friday, December 14, 2018

Keputusan PT3 Anak

Keputusan PT3 Anak
Teks: Suhana Salleh

Setelah dua hari meluangkan masa dengan mak di kampung saya balik ke Rawang semula hari Rabu. Rasa puas hati balik kali ini sebab masih dapat lagi tatap wajah mak dan bantunya apa yang patut. Emak pun saya tengok sihat dan ceria sahaja sepanjang kami berada di sana. Tak ada sedikit pun dia mengeluh sakit lutut atau kaki di hadapan saya walaupun saya tahu sebenarnya kaki dia sakit.

Balik kali ini saya hanya belanjakan emak beli barang dapur untuknya sahaja. Sejak ada orang yang tak dikenali datang rumah emak mahu pinjam duit terus saya tak beri emak duit di tangan. Saya ngeri apabila terbaca kes warga emas yang tinggal seorang dirompak orang. Setiap kali saya baca setiap kali itu jugalah saya teringatkan emak saya di kampung. Bahaya betul orang tua-tua tinggal seorang di rumah simpan duit bawah bantal.

Keesokan harinya kami bergegas pula ke sekolah anak saya yang pertama. Keputusan PT3nya sudah diumumkan hari ini. Syukur alhamdulilah keputusannya cemerlang. Saya rasa lega sangat. Agaknya beginilah yang emak saya rasa ketika saya membantunya meringankan kerja-kerja rumahnya tempoh hari.

Tahniah, anak. Tingkatkan lagi usaha. Perjalanan hidup masih panjang.

Wednesday, December 12, 2018

Emak Ratu Hatiku (Bahagian 6)

Botol Mineral Kosong
Teks : Suhana Salleh


Lepas masak asam pedas ikan sembilang mak kata nak rehat. Kaki dia dah sakit. Saya minta masak kuah mi rebus pun dia enggan. Katanya esok pagi sahaja dia masakkan.

Oleh sebab saya dah beritahu nak balik awal esok, pagi-pagi lagi emak dah bangun. Selepas subuh saya dengar bunyi bising dari arah dapur. Bunyi pengisar lada. Bunyi ketuk lesung batu. Bunyi air sinki. Tentu mak tengah siapkan bahan nak masak mi rebus.

Usai solat saya jengok mak di dapur. Seperiuk kuah mi rebus sudah dimasak atas dapur. Tinggal tunggu mendidih. Saya jerang air. Nanti bolehlah hidang kopi dan teh masa sarapan pagi.

Dalam pada itu tangan saya ligat menyapu rumah mak. Saya periksa tempat surat mak. Mana-mana resit yang dah tak guna, kad jemputan walimah yang sudah lepas tarikh dan surat-surat yang tak berkenaan semuanya saya lesir.

Emak memang sudah faham sangat perangai saya. Suka membuang. Hanya simpan mana yang perlu dan digunakan sahaja.

Sudah sampai dapur saya nampak botol air mineral kosong satu bakul besar. Mesti mak yang simpan semua benda ini. Kalau saya usulkan nak buang emak memang tak benarkan. Saya ambil langkah proaktif. Terus masukkan dalam plastik hitam besar senyap-senyap.

Saya tahu emak perasan tapi dia tak cakap apa-apa. Takut saya membebel agaknya.

Saya suruh anak pertama saya hantar plastik itu ke depan. Nanti ada lori sampah yang akan datang ambil. Elok anak saya nak membuangnya, emak tahan dia. Katanya biarkan di situ. Tak payah buang. Nanti dia nak isi air.

Serba salah anak saya dibuatnya. Akhirnya dia akur dengan cakap neneknya. Letak semula plastik hitam berisi botol mineral kosong di tepi rumah.

Inilah dilema yang sering berlaku anak-anak dengan warga emas. Niat kita nak memudahkan urusannya. Buang mana-mana benda yang tak perlu. Tambahan pula disimpan pun bukannya diguna. Tertonggohlah di situ sampai jadi tukun. Tiba masa jadi sarang cik lipas dan cik siti. Nasib tak baik jadi tempat ular berteduh.

Jadi warga emas memang begitulah sifatnya agak saya. Sensitif dan banyak sentimental value yang disimpan dalam kepala. Sebagai anak pandai-pandailah kita urus emosi mereka. Kena banyak bersabar supaya tidak ada hati yang terluka. 





Emak Ratu Hatiku (Bahagian 5)

Asam Pedas Ikan Sembilang Atau Ikan Pari
Teks: Suhana Salleh

Sampai di rumah jam dah pukul 3.30 petang.

Masing-masing sudah kelaparan.

Anak-anak terus singkap tudung saji atas meja mak. Makan lebihan laksa Johor sarapan pagi tadi. Sementara itu suami saya terus tunaikan solat zohor.

Saya tengok emak sibuk agih-agihkan ikan yang dibelinya di Sungai Rengit tadi kepada mak saudara saya di sebelah dan di belakang rumah.

Saya terus niat jamak takhir beserta qasar Asar nanti. Banyak pula barang-barang dapur dan ikan yang hendak diuruskan. Barang-barang kering terus saya masukkan ke dalam bekasnya. Bahagian ikan-ikan saya biar emak yang uruskan.

Selesai solat mak tanya saya. "Nak masak ikan sembilang ke pari?"

Soalan emak ini memang saya lemah. Sebab saya tahu emak dah ada keputusan sebenarnya dalam kepala dia.

Saya kata, "suka hati emaklah. Ikan sembilang pun sedap juga."

"Ikan sembilang?" mak tanya saya semula.

"Ikan pari kita masak esok, ek,"sambung mak lagi.

"Ikan pari mak nak masak apa?"

"Masak asam pedaslah."

"Eh, tak payahlah masak pari tu. Malam tadi mak dah masak asam pedas. Malam ni masak asam pedas sembilang. Esok nak masak asam pedas pari pulak. Tak payahlah. Nanti kalau ada sesiapa balik mak masakkan aje untuk diaorang," usul saya.

Mak angguk.

Orang Johor dan asam pedas memang tak dapat dipisahkan. Tapi kalau 3 kali berturut-turut dihidang asam pedas boleh jelak juga dibuatnya.


Saya sebenarnya tak sabar nak tunggu mak masak mi rebus.









Emak Ratu Hatiku (Bahagian 4)

Gula Melaka Asli
Teks : Suhana Salleh

Semua bahan untuk memasak makan malam dan esok pagi sudah dibeli. Teringat pula adik ipar hantar whatsapp malam tadi. Katanya mak (emak mentua saya) pesan suruh belikan gula melaka asli.
Gula melaka asli tu hanya ada dijual di kedai runcit dekat rumah mak saya.
Selama ini mak saya yang tolong belikan. Saya pun tak pasti mana yang asli, mana yang tak asli.

Terpaksalah saya heret mak turun pergi kedai runcit itu beli sekali.
Setibanya di kedai runcit.
"Mak, mana gula melaka asli? Yang ini ke?" Saya tunjuk gula melaka paling cantik dalam peket.
"Eh, bukan yang itu. Hah, yang dalam guni ini asli."
"Ini asli? Hurmm..."


Betullah orang tua kata. Yang cantik itu tak semestinya tulen.