Popular Posts

Monday, July 8, 2019

Rindu

RINDU
Teks : Suhana Salleh


Kata orang, masa tengah mabuk bercinta tak nampak muka dapat tengok atap rumah kekasih pun jadilah.
Kata saya pula, tak dapat tengok muka dapat tatap gambar bas pun boleh.
Semuanya gara-gara RINDU. 
Petang Ahad yang lepas kami hantar Si Bujang Abang Zairi balik semula ke asramanya. Tapi kami hanya hantarkannya setakat di Masjid Al Ikhsan, Seksyen 13 Shah Alam. Sebelum berangkat naik bas sempatlah kami solat zohor bersama di sana. Niat hati hendak bawanya makan sekali sebelum balik. Tapi dah kesuntukan masa, ayahnya simpan sahaja niatnya dalam hati. Mujur saya tergerak nak bekalkan spagethi carbonara yang saya masak pagi tadi di rumah buat bekalannya. 
Perjalanan ke Jasin, Melaka destinasi seterusnya disambung oleh pak cik bas mereka.
Syukur pihak muafakat ibu bapa guru sekolahnya ambil inisiatif sediakan perkhidmatan bas begini untuk anak-anak yang tinggal jauh. Ringan sikit beban ibu bapa nak mengambil/ menghantar anak semasa cuti bermalam pilihan, cuti sekolah dan musim perayaan.
Keselamatan anak-anak pun lebih terjamin. Tak adalah pelajar ni sempat nak merewang/melepak sana sini tak ketahuan hala. Masa hendak balik ke rumah diambil di sekolah. Sementara masa hendak balik ke sekolah pula dihantar terus sampai masuk pintu gerbang sekolah.
Alhamdulilah. Tadi dah selamat sampai pun semuanya. Gerak pukul 2.30 dari Shah Alam sampai sekolahnya lebih kurang 5.00 petang.
Bila dikenang singkat sangat masa Abang Zairi balik. Jumaat malam sampai Rawang. Esoknya Sabtu. Cuma dapat tidur 2 malam sahaja dia di rumah. Ahad tengah hari sudah hendak berangkat balik ke asramanya semula. Rasanya macam tidak puas saya tatap wajah dan berbual dengannya. Singkat sungguh masa yang diberi untuk saya. 
Saya cuba pujuk hati sendiri. Tak mengapa Abang Zairi balik sekejap. Sekurang-kurangnya saya dapat tengok dia, tahu keadaannya bagaimana di sana. Tadi pun sempat saya temankannya ke kedai gunting rambut, memasakkan makanan kegemarannya, membelikan barang sekolah dan barang keperluannya di sana. Walaupun saya rasa semua itu belum cukup sebenarnya menjadikan saya ibu yang sempurna.
Mungkin saya yang terlebih RINDU pada Abang Zairi.
Begitulah perasaan yang terpaksa ditanggung oleh ibu apabila mengambil keputusan menghantar anak tinggal di asrama. Tapi jika difikirkan semula, kadang kala kesempatan singkat bertemu dengan anak itu lebih baik jika dibandingkan jika dapat bersama anak pada masa yang panjang namun tidak membawa apa-apa kualiti.
Kadang kala kita ibu bapa mengambil jalan mudah. Mentang -mentang anak depan mata kita tidak pantau kegiatannya. Asalkan anak ada depan mata, duduk dalam rumah tidak mengapa. Kita biarkan anak-anak kita terutama yang meningkat remaja buat kegiatan sendiri ditemani gadget, melayari internet dan instagram tanpa kawalan. Kita tidak tahu anak kita berinteraksi dengan siapa dan apa yang dibualkan sesama mereka. 
Pada pendapat saya, tidak kira anak duduk asrama atau duduk dengan kita hargai detik masa yang ada bersama mereka. Curahkan kasih sayang dan perhatian kita untuk mereka. Penuhilah lompong kasih sayang mereka walau cara masing-masing mungkin tidak sama. Itu lebih baik.


Suhana Salleh
Biar singkat, pengisiannya itu yang lebih bermakna

Selamat hari Raya, Cinderella

Selamat Hari Raya, Cinderella
Teks: Suhana Salleh

Sedang membetulkan tudung dalam tandas di sebuah stesen minyak, saya disapa oleh mak cik cleaner di situ.
"Nak pergi open house ke?"
Termalu saya apabila ditegur begitu. Rasa macam galak betul saya bersiap. Persis kakak tiri Cinderella yang teruja apabila mendapat jemputan ke majlis tari menari dari pihak istana agaknya.
"Aah." Saya jawab ringkas. Saya pandang wajah mak cik cleaner itu. Bersih dan manis senyumannya. Senyuman yang menzahirkan rasa bahagia dan gembira. Sama seperti saya juga.
"Dekat mana? Masjid depan tu ke?" Tanyanya lagi dengan nada teruja.
"Tak. Open house saya kat tempat lain." Saya jawab endah tak endah. Mata saya perlu kekal fokus untuk memasang kerongsang di tepi tudung sambil memandang cermin.
"Oh, ingatkan dekat masjid. Hari ini ada jamuan raya juga kat masjid tu. Macam-macam makanan ada. Tinggal datang makan jelah."
Dalam pada itu ligat tangannya menggoyangkan batang mop buat mengeringkan lantai yang basah dek air paip yang melimpah.
Usai mengemop dia sambung menyembur pewangi di kawasan sekitar tandas dan bawah sinki.
Saya cuma angguk mengiyakan kata-katanya.
"Akak tak pergi sana?" Laju soalan itu terpacul daripada mulut saya.
Kali ini saya pandang wajahnya.
"Hendak pergi macam mana. Kerja hari ini. Penuh sampai malam." Dia sedikit tergelak. Tiada riak kecewa yang saya nampak dipamerkan pada wajahnya. Malah dia lagi senyum, puas. Gembira dan tetap fokus pada tugasannya. Seolahnya soalan saya tadi tidak sedikit pun mencalarkan emosinya. 
Senyum saya pula yang terasa kelat.
Aduh, menyesal pula saya bertanya soalan bodoh begitu kepadanya. Ibarat sudah nampak orang tengah menyiram pokok bunga, ditanya lagi buat apa. Mahu saja saya tampar-tampar mulut sendiri di situ juga. Tapi saya tak buat.
Orang di dalam tandas keluar sebelum saya pula mengambil giliran masuk tandas.
Bersihnya tandas. Mangkuknya pun tidak berkerak. Agaknya berapa kali sehari mak cik cleaner ini membersihkan tandas sehingga dapat hasil sebegini.
Semasa dalam bilik termenung saya terfikir. Betapa beruntungnya saya. Syawal kali ini hujung minggu saya penuh dengan undangan open house daripada teman-teman dan kenalan. Kadang-kadang dari siang membawa ke malam.
Tak pernah pula saya terfikir betapa susahnya orang lain macam mak cik cleaner ini nak pergi ke jamuan hari raya. Bahkan masjid yang dekat dengannya yang buat jamuan hari raya pun dia tak dapat pergi. Semuanya dek kekangan tugas yang digalas pada kedua-dua belah bahunya.
Menyesal pula saya bertanyakan soalan yang tak sepatutnya tadi kepadanya.
Bagaimana agaknya dapat saya tebus semula ketelanjuran kata-kata saya tadi?
Fikir punya fikir saya dapat satu idea. Saya ambil sedikit lebihan duit raya yang saya agihkan untuk budak-budak tahun ini. Saya masukkan duit tersebut ke dalam satu sampul duit raya.
Niat saya mahu bagi kejutan pada mak cik itu.
Elok saya keluar dari tandas bayang mak cik cleaner itu dah tak ada. Menjajau pula saya mencarinya sampai ke luar tandas.
Mana nak cari dia lagi ni?
Encik Suami pasti sudah lama menunggu saya dalam kereta. Ada sedikit kesal menyelinap dalam hati. Alangkah baiknya jika saya segerakan pemberian duit ini tadi kepadanya.
Tiba-tiba telinga saya menangkap bunyi air paip dibuka dan penyapu menyentuh permukaan lantai dari bilik air lelaki. Mungkin itu dia.
"Kak! Kak!" Saya menjerit.
Mujur jeritan saya mendapat respon. Mak cik cleaner tadi menjengolkan wajahnya keluar dari bilik air.
Saya hulur sampul duit raya padanya.
"Kak, tak dapat pergi open house dekat masjid,kan? Ini ada duit raya sikit daripada saya."
"Ohh... terima kasih," sambutnya girang. Ada tawa di hujung suaranya seperti tak percaya. Dia senyum sampai telinga.
"Tak apa," jawab saya berlalu pergi dari situ.
Saya hanya mahu hadiahkan sedikit kegembiraan yang saya ada kepadanya. Biar dia juga rasa gembira dan bahagia seperti Cinderella yang mendapat baju cantik dan pedati kuda untuk berangkat ke istana.
Lain daripada itu, saya harap dia doakan yang baik-baik untuk saya.

Dapat gembirakan hati orang lain pun rasa bahagia