Popular Posts

Monday, July 8, 2019

Rindu

RINDU
Teks : Suhana Salleh


Kata orang, masa tengah mabuk bercinta tak nampak muka dapat tengok atap rumah kekasih pun jadilah.
Kata saya pula, tak dapat tengok muka dapat tatap gambar bas pun boleh.
Semuanya gara-gara RINDU. 
Petang Ahad yang lepas kami hantar Si Bujang Abang Zairi balik semula ke asramanya. Tapi kami hanya hantarkannya setakat di Masjid Al Ikhsan, Seksyen 13 Shah Alam. Sebelum berangkat naik bas sempatlah kami solat zohor bersama di sana. Niat hati hendak bawanya makan sekali sebelum balik. Tapi dah kesuntukan masa, ayahnya simpan sahaja niatnya dalam hati. Mujur saya tergerak nak bekalkan spagethi carbonara yang saya masak pagi tadi di rumah buat bekalannya. 
Perjalanan ke Jasin, Melaka destinasi seterusnya disambung oleh pak cik bas mereka.
Syukur pihak muafakat ibu bapa guru sekolahnya ambil inisiatif sediakan perkhidmatan bas begini untuk anak-anak yang tinggal jauh. Ringan sikit beban ibu bapa nak mengambil/ menghantar anak semasa cuti bermalam pilihan, cuti sekolah dan musim perayaan.
Keselamatan anak-anak pun lebih terjamin. Tak adalah pelajar ni sempat nak merewang/melepak sana sini tak ketahuan hala. Masa hendak balik ke rumah diambil di sekolah. Sementara masa hendak balik ke sekolah pula dihantar terus sampai masuk pintu gerbang sekolah.
Alhamdulilah. Tadi dah selamat sampai pun semuanya. Gerak pukul 2.30 dari Shah Alam sampai sekolahnya lebih kurang 5.00 petang.
Bila dikenang singkat sangat masa Abang Zairi balik. Jumaat malam sampai Rawang. Esoknya Sabtu. Cuma dapat tidur 2 malam sahaja dia di rumah. Ahad tengah hari sudah hendak berangkat balik ke asramanya semula. Rasanya macam tidak puas saya tatap wajah dan berbual dengannya. Singkat sungguh masa yang diberi untuk saya. 
Saya cuba pujuk hati sendiri. Tak mengapa Abang Zairi balik sekejap. Sekurang-kurangnya saya dapat tengok dia, tahu keadaannya bagaimana di sana. Tadi pun sempat saya temankannya ke kedai gunting rambut, memasakkan makanan kegemarannya, membelikan barang sekolah dan barang keperluannya di sana. Walaupun saya rasa semua itu belum cukup sebenarnya menjadikan saya ibu yang sempurna.
Mungkin saya yang terlebih RINDU pada Abang Zairi.
Begitulah perasaan yang terpaksa ditanggung oleh ibu apabila mengambil keputusan menghantar anak tinggal di asrama. Tapi jika difikirkan semula, kadang kala kesempatan singkat bertemu dengan anak itu lebih baik jika dibandingkan jika dapat bersama anak pada masa yang panjang namun tidak membawa apa-apa kualiti.
Kadang kala kita ibu bapa mengambil jalan mudah. Mentang -mentang anak depan mata kita tidak pantau kegiatannya. Asalkan anak ada depan mata, duduk dalam rumah tidak mengapa. Kita biarkan anak-anak kita terutama yang meningkat remaja buat kegiatan sendiri ditemani gadget, melayari internet dan instagram tanpa kawalan. Kita tidak tahu anak kita berinteraksi dengan siapa dan apa yang dibualkan sesama mereka. 
Pada pendapat saya, tidak kira anak duduk asrama atau duduk dengan kita hargai detik masa yang ada bersama mereka. Curahkan kasih sayang dan perhatian kita untuk mereka. Penuhilah lompong kasih sayang mereka walau cara masing-masing mungkin tidak sama. Itu lebih baik.


Suhana Salleh
Biar singkat, pengisiannya itu yang lebih bermakna

No comments:

Post a Comment