Popular Posts

Tuesday, December 4, 2018

Beza Pengasuh Rumah, Taska dan Tadika

Beza Pengasuh Rumah, Taska dan Tadika
Teks : Suhana Salleh


Sejak akhir-akhir ini media banyak memaparkan isu penderaan kanak-kanak dan kematian bayi yang dijaga oleh orang lain. 

Semasa isu ini sedang hangat diperkatakan saya perhatikan ramai netizen mengecam tanpa mengusul periksa. Ada kanak-kanak yang meninggal di tangan pengasuh namun yang dimarahnya adalah pihak taska. Ada kes kanak-kanak di dera di taska namun yang disalahkan pengasuh.

Masyarakat kita masih keliru perbezaan antara pengasuh di rumah, taska dan tadika.

Di bawah ini saya berikan perbezaan pengasuh di rumah, taska dan tadika secara umum. 

Pengasuh Di Rumah.
Seseorang yang menjaga bayi dan kanak-kanak di rumah sendiri dan bilangan kanak-kanak yang dijaga tidak lebih 9 orang dalam satu masa. Pengasuh di rumah tidak perlu mendapatkan lesen menjalankan perniagaan daripada pihak majlis tempatan di daerah masing-masing. Namun demikian, oleh kerana banyaknya kes yang tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak semasa diasuh pengasuh di rumah, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mewajibkan semua pengasuh rumah mengikuti Kursus Asas Pemata Taska Di Rumah (KAPTR). Kursus ini akan mendedahkan kepada pengasuh amalan pengasuhan yang baik kepada anak-anak asuhan mereka.  

Taska Institusi
Taska adalah singkatan kepada Taman Asuhan Kanak-kanak. Kanak-kanak yang duduk di taska adalah bayi sehingga umur 4 tahun. Bilangan kanak-kanak yang dijaga di taska lebih daripada 10 orang. Taska tidak boleh beroperasi sebelum mendapat kelulusan daripada 3 agensi iaitu Majlis Tempatan, pihak Kesihatan dan Bomba. Penubuhan taska adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (1984). Semua taska yang beroperasi mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tadika
Tadika adalah singkatan daripada Taman Didikan Kanak-kanak. Tadika menerima kanak-kanak yang berumur 5 dan 6 tahun untuk tujuan mendapat pendidikan dengan membayar upah. Setiap tadika swasta perlu didaftarkan dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di bawah unit Pendidikan Swasta. 

Diharapkan selepas membaca perkongsian ini netizen faham dan tidak marah-marah secara melulu. Ibu bapa juga perlu cakna dan ambil berat sebelum mengambil keputusan mahu menghantar anak sama ada kepada pengasuh rumah, taska atau menghantar mereka ke tadika.  




No comments:

Post a Comment