"Puan, saya tak pernah hantar anak dekat taska. Macam mana nak tahu anak saya ok ke tidak dekat sini?"
Saya selalu dapat soalan begini daripada ibu bapa/penjaga yang pertama kali nak menghantar anak mereka ke taska saya.
Pada saya nak tahu anak serasi atau tidak di tempat asuhan yang baru mudah sahaja. Lihat tidur malamnya bagaimana.
Antara soalan biasa atau soalan wajib yang saya tanyakan kepada ibu bapa yang baru hantar anaknya ke taska saya. "Malam tadi anak boleh tidur tak?"
Jika ibu bapa bagitahu anak mereka tidur lena malam tadi sampai tak sedar nak minum susu (ini jawapan bonus). Maksudnya kanak-kanak itu memang serasi di tempat barunya. Jika jawapan yang diberi sebaliknya. Keadaan ini memberi petanda yang anak itu masih tak dapat sesuaikan dirinya di tempat baru. Bagi saya ini adalah petanda awal sesuatu yang perlu diambil perhatian sama ada saya sendiri sebagai pengusaha taska atau ibu bapa khususnya.
Saya memang memberi tempoh percubaan kepada kanak-kanak yang baru masuk ke taska saya. Tempoh percubaan di taska saya paling cepat dua minggu. Paling lama sebulan.
Apa yang saya buat semasa tempoh percubaan?
1. Membiarkan kanak-kanak mengeksplorasi tempat baru.
Kanak-kanak tak terikat dengan Jadual Waktu Taska. Mereka bebas mengeksplorasi kawasan persekitaran dan ruang yang ada. Saya kenalkan mereka ruang penting yang ada di taska. Misalnya ruang aktiviti, ruang untuk tidur, tandas, taman luar, tangga hatta dapur. Kanak-kanak akan diingatkan agar tidak memasuki kawasan bahaya seperti dapur dan tandas tanpa pengawasan orang dewasa.
2. Berkenalan dengan kanak-kanak yang lebih senior.
Kanak-kanak bebas berkenal-kenalan dengan kawan-kawan taska sedia ada. Saya galakkan kanak -kanak yang lebih senior ajak dia bermain bersama-sama. Saya akan suruh mereka pujuk kawan barunya jika dia menangis atau sedih. Dari sini kanak-kanak baru tadi akan belajar menyesuaikan diri dengan kanak-kanak yang lain.
3. Pilih nak ikut pengasuh yang mana.
Tempat baru, persekitaran baru dan kawan-kawan baru jika tak ditangani boleh mendatangkan stres pada kanak-kanak. Saya lebih suka membiarkan kanak-kanak yang baru masuk ke taska saya pilih nak ikut pengasuh mana yang dia rasa selesa. Di taska saya mengaplikasikan jagaan bergilir untuk pengasuh. Maknanya pengasuh tidak akan mengasuh kanak-kanak yang sama setiap minggu. Namun, imuniti yang diberi dalam tempoh percubaan kanak-kanak ini dibenarkan nak ikut pengasuh yang dia suka. Tujuannya untuk membina hubungan dan keyakinan awal dengan orang dewasa yang baru dikenalinya.
Jika kesemua aspek di atas sudah diambil perhatian bagaimana saya tahu yang kanak-kanak tersebut serasi dengan taska saya atau tidak?
1. Serasi
Sekiranya selepas tempoh percubaan berakhir kanak-kanak datang ke taska tanpa menangis, trauma dan ceria setelah dilepaskan daripada tangan ibunya. Maka saya kira kanak-kanak itu serasi dengan taska saya.
2. Tidak serasi
Selepas tempoh percubaan berakhir kanak-kanak tersebut masih menangis sewaktu di hantar ke taska. Wajahnya kelihatan trauma saat melihat kawasan taska. Tidur malamnya terganggu.
Jika ada tanda-tanda sebegini mungkin ada 'something wrong' di situ. Sama ada dari pihak saya atau pihak ibu bapa atau anak itu sendiri.
Seboleh-bolehnya saya akan elakkan menjaga kanak-kanak yang tak serasi di taska saya. Saya tak mahu mengambil risiko tersebut. Tangisan bayi dan kanak-kanak yang berpanjangan boleh membingitkan telinga kita yang mendengarnya. Bayangkan jika kanak-kanak yang dihantar menangis tidak berhenti dari datang sampailah waktu hendak balik. Pengasuh tidak boleh buat apa selain terpaksa menemaninya setiap masa. Hendak ke tandas pun susah. Sudah tentu keadaan ini boleh mendatangkan stres. Jika tidak ditangani dengan baik dikhuatiri pengasuh boleh hilang sabar. Kanak-kanak pula yang menjadi mangsa dera tanpa sengaja.
Ketahuilah ibu bapa dan penjaga, kanak-kanak perlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu, persekitaran baharu, kawan-kawan baharu dan orang dewasa yang baharu dalam fasa hidup mereka. Jangan paksa kanak-kanak untuk terima semua keadaan tersebut tanpa menyelidik apa puncanya.
Tapi ada juga setengah kes di mana anak ok, ibu bapa yang melebih-lebih. 'Over ptotective' bak kata orang putih. Jika demikian saya lebih rela mengundur diri. Tak mahu semakkan kepala. Tak mahu susahkan tugas pengasuh saya yang lain. Maka ambillah anak anda untuk dijaga sendiri atau orang lain.
Harap tip ini dapat membantu ibu bapa di luar sana.
No comments:
Post a Comment