Pengalaman Pertama Jaga Anak Jiran
Teks:Suhana Salleh
Ini jawapan suami saya apabila saya utarakan kebosanan hidup sebagai seorang suri rumah sepenuh masa.
"Apa kata jaga anak orang lain pula? Barulah mencabar dan tidak bosan."
Aduh. Saya serius. Jawapan suami macam main-main pula.
Sesungguhnya dalam hidup ini saya tak pernah terfikir nak jaga anak orang lain selain daripada anak sendiri. Hakikatnya sebelum berhenti kerja dahulu saya memang ada mengambil Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK). Kursus ini dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dikendalikan oleh Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM). Tujuan saya ambil kursus tersebut pada masa itu hanyalah satu. Saya mahu mempraktikkan ilmu yang saya perolehi itu kepada anak sendiri sahaja. Tidak lebih daripada itu.
Namun apabila saya lihat suami saya memang benar-benar serius dengan jawapannya. Saya mula memikirkan kerasionalannya. Ya, sampai bila saya mahu ajar anak saya sahaja. Anak-anak saya akan membesar. Tak mungkin ilmu ini akan kekal sampai bila-bila jika saya tak panjangkan manfaatnya kepada anak orang lain. Maka saya pun sahut cabaran suami. Saya anggap ini satu cabaran yang perlu dibuktikan. Tambahan pula dua orang anak kecil saya pada masa itu sangat mudah untuk menjaganya. Berdisiplin dan dengar cakap. Sepanjang saya menjaga mereka tidak pernah lagi terjadi kes menangis tantrum.
Kebetulan pada masa itu, jiran selang sebuah rumah dari rumah saya bertanya sama ada saya mahu menjaga anaknya atau tidak. Ketika itu bayinya sudah berusia 6 bulan. Saya tak memberikan kata putus lagi kepadanya tapi suami saya pula yang kata boleh. Mahu atau tidak terpaksalah saya mengasuh anak jiran saya itu..
Rupanya lain budak lain ragamnya. Menjaga anak jiran saya ini tidak semudah yang saya sangka. anak jiran saya ini asyik menangis sahaja kerjanya. Pendek kata tak boleh tengok saya bergerak dan berjauhan daripadanya. Mesti dia menangis. Jadi satu masalah pula pada saya setiap kali saya mahu ke bilik air atau memasak di dapur. Rutin saya mahu menyidai atau mengangkat kain baju di jemuran terganggu. Sebagai solusi sementara saya terpaksa masukkannya dalam buaian. Menghenjut buaian sehingga dia tertidur. Selepas dia tidur barulah saya buat kerja rumah macam lipas kudung. Mana taknya dia tidur sekejap-sekejap. Tak sampai 10 minit agak-agak buai dah tak berhenjut dia bangun dan terus melalak. Sampaikan saya rasa stres nak menjaganya.
Masa rehat siang saya pun jadi tunggang langgang. Anak-anak saya yang dua orang pun terabai. Saya terpaksa lebihkan tumpuan kepadanya. Sehinggakan pada satu hari itu saya rasa sungguh stress. Saya mula hilang sabar. Saya biarkan sahaja bayi itu menangis. Mula-mula dia menangis perlahan. Lama-lama tangisannya semakin kuat sehingga membingitkan telinga saya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya tekup mulutnya dengan bantal.
Syukur, Allah masih lindungi saya daripada melakukan perkara yang tidak baik kepada bayi itu. Akal saya masih boleh berfikir dengan waras. Jika tidak entah apa nasib budak itu. Saya pun entah apa sudah ke penjara.
Tanpa saya duga, pintu belakang rumah saya diketuk. Seorang jiran saya berbangsa India yang duduk bertentangan dengan dapur rumah saya datang. Dia mahu tahu kenapa baby itu asyik menangis sejak tadi.
"Akak, kenapa saya dengar itu baby asyik nangis? Dia mahu minum susu ka? Atau dia ada sakit perut? Mari saya mahu tengok."
Saya pun buka pintu dan benarkan jiran saya itu masuk.
Kisah bersambung...
No comments:
Post a Comment