Popular Posts

Monday, July 8, 2019

Rindu

RINDU
Teks : Suhana Salleh


Kata orang, masa tengah mabuk bercinta tak nampak muka dapat tengok atap rumah kekasih pun jadilah.
Kata saya pula, tak dapat tengok muka dapat tatap gambar bas pun boleh.
Semuanya gara-gara RINDU. 
Petang Ahad yang lepas kami hantar Si Bujang Abang Zairi balik semula ke asramanya. Tapi kami hanya hantarkannya setakat di Masjid Al Ikhsan, Seksyen 13 Shah Alam. Sebelum berangkat naik bas sempatlah kami solat zohor bersama di sana. Niat hati hendak bawanya makan sekali sebelum balik. Tapi dah kesuntukan masa, ayahnya simpan sahaja niatnya dalam hati. Mujur saya tergerak nak bekalkan spagethi carbonara yang saya masak pagi tadi di rumah buat bekalannya. 
Perjalanan ke Jasin, Melaka destinasi seterusnya disambung oleh pak cik bas mereka.
Syukur pihak muafakat ibu bapa guru sekolahnya ambil inisiatif sediakan perkhidmatan bas begini untuk anak-anak yang tinggal jauh. Ringan sikit beban ibu bapa nak mengambil/ menghantar anak semasa cuti bermalam pilihan, cuti sekolah dan musim perayaan.
Keselamatan anak-anak pun lebih terjamin. Tak adalah pelajar ni sempat nak merewang/melepak sana sini tak ketahuan hala. Masa hendak balik ke rumah diambil di sekolah. Sementara masa hendak balik ke sekolah pula dihantar terus sampai masuk pintu gerbang sekolah.
Alhamdulilah. Tadi dah selamat sampai pun semuanya. Gerak pukul 2.30 dari Shah Alam sampai sekolahnya lebih kurang 5.00 petang.
Bila dikenang singkat sangat masa Abang Zairi balik. Jumaat malam sampai Rawang. Esoknya Sabtu. Cuma dapat tidur 2 malam sahaja dia di rumah. Ahad tengah hari sudah hendak berangkat balik ke asramanya semula. Rasanya macam tidak puas saya tatap wajah dan berbual dengannya. Singkat sungguh masa yang diberi untuk saya. 
Saya cuba pujuk hati sendiri. Tak mengapa Abang Zairi balik sekejap. Sekurang-kurangnya saya dapat tengok dia, tahu keadaannya bagaimana di sana. Tadi pun sempat saya temankannya ke kedai gunting rambut, memasakkan makanan kegemarannya, membelikan barang sekolah dan barang keperluannya di sana. Walaupun saya rasa semua itu belum cukup sebenarnya menjadikan saya ibu yang sempurna.
Mungkin saya yang terlebih RINDU pada Abang Zairi.
Begitulah perasaan yang terpaksa ditanggung oleh ibu apabila mengambil keputusan menghantar anak tinggal di asrama. Tapi jika difikirkan semula, kadang kala kesempatan singkat bertemu dengan anak itu lebih baik jika dibandingkan jika dapat bersama anak pada masa yang panjang namun tidak membawa apa-apa kualiti.
Kadang kala kita ibu bapa mengambil jalan mudah. Mentang -mentang anak depan mata kita tidak pantau kegiatannya. Asalkan anak ada depan mata, duduk dalam rumah tidak mengapa. Kita biarkan anak-anak kita terutama yang meningkat remaja buat kegiatan sendiri ditemani gadget, melayari internet dan instagram tanpa kawalan. Kita tidak tahu anak kita berinteraksi dengan siapa dan apa yang dibualkan sesama mereka. 
Pada pendapat saya, tidak kira anak duduk asrama atau duduk dengan kita hargai detik masa yang ada bersama mereka. Curahkan kasih sayang dan perhatian kita untuk mereka. Penuhilah lompong kasih sayang mereka walau cara masing-masing mungkin tidak sama. Itu lebih baik.


Suhana Salleh
Biar singkat, pengisiannya itu yang lebih bermakna

Selamat hari Raya, Cinderella

Selamat Hari Raya, Cinderella
Teks: Suhana Salleh

Sedang membetulkan tudung dalam tandas di sebuah stesen minyak, saya disapa oleh mak cik cleaner di situ.
"Nak pergi open house ke?"
Termalu saya apabila ditegur begitu. Rasa macam galak betul saya bersiap. Persis kakak tiri Cinderella yang teruja apabila mendapat jemputan ke majlis tari menari dari pihak istana agaknya.
"Aah." Saya jawab ringkas. Saya pandang wajah mak cik cleaner itu. Bersih dan manis senyumannya. Senyuman yang menzahirkan rasa bahagia dan gembira. Sama seperti saya juga.
"Dekat mana? Masjid depan tu ke?" Tanyanya lagi dengan nada teruja.
"Tak. Open house saya kat tempat lain." Saya jawab endah tak endah. Mata saya perlu kekal fokus untuk memasang kerongsang di tepi tudung sambil memandang cermin.
"Oh, ingatkan dekat masjid. Hari ini ada jamuan raya juga kat masjid tu. Macam-macam makanan ada. Tinggal datang makan jelah."
Dalam pada itu ligat tangannya menggoyangkan batang mop buat mengeringkan lantai yang basah dek air paip yang melimpah.
Usai mengemop dia sambung menyembur pewangi di kawasan sekitar tandas dan bawah sinki.
Saya cuma angguk mengiyakan kata-katanya.
"Akak tak pergi sana?" Laju soalan itu terpacul daripada mulut saya.
Kali ini saya pandang wajahnya.
"Hendak pergi macam mana. Kerja hari ini. Penuh sampai malam." Dia sedikit tergelak. Tiada riak kecewa yang saya nampak dipamerkan pada wajahnya. Malah dia lagi senyum, puas. Gembira dan tetap fokus pada tugasannya. Seolahnya soalan saya tadi tidak sedikit pun mencalarkan emosinya. 
Senyum saya pula yang terasa kelat.
Aduh, menyesal pula saya bertanya soalan bodoh begitu kepadanya. Ibarat sudah nampak orang tengah menyiram pokok bunga, ditanya lagi buat apa. Mahu saja saya tampar-tampar mulut sendiri di situ juga. Tapi saya tak buat.
Orang di dalam tandas keluar sebelum saya pula mengambil giliran masuk tandas.
Bersihnya tandas. Mangkuknya pun tidak berkerak. Agaknya berapa kali sehari mak cik cleaner ini membersihkan tandas sehingga dapat hasil sebegini.
Semasa dalam bilik termenung saya terfikir. Betapa beruntungnya saya. Syawal kali ini hujung minggu saya penuh dengan undangan open house daripada teman-teman dan kenalan. Kadang-kadang dari siang membawa ke malam.
Tak pernah pula saya terfikir betapa susahnya orang lain macam mak cik cleaner ini nak pergi ke jamuan hari raya. Bahkan masjid yang dekat dengannya yang buat jamuan hari raya pun dia tak dapat pergi. Semuanya dek kekangan tugas yang digalas pada kedua-dua belah bahunya.
Menyesal pula saya bertanyakan soalan yang tak sepatutnya tadi kepadanya.
Bagaimana agaknya dapat saya tebus semula ketelanjuran kata-kata saya tadi?
Fikir punya fikir saya dapat satu idea. Saya ambil sedikit lebihan duit raya yang saya agihkan untuk budak-budak tahun ini. Saya masukkan duit tersebut ke dalam satu sampul duit raya.
Niat saya mahu bagi kejutan pada mak cik itu.
Elok saya keluar dari tandas bayang mak cik cleaner itu dah tak ada. Menjajau pula saya mencarinya sampai ke luar tandas.
Mana nak cari dia lagi ni?
Encik Suami pasti sudah lama menunggu saya dalam kereta. Ada sedikit kesal menyelinap dalam hati. Alangkah baiknya jika saya segerakan pemberian duit ini tadi kepadanya.
Tiba-tiba telinga saya menangkap bunyi air paip dibuka dan penyapu menyentuh permukaan lantai dari bilik air lelaki. Mungkin itu dia.
"Kak! Kak!" Saya menjerit.
Mujur jeritan saya mendapat respon. Mak cik cleaner tadi menjengolkan wajahnya keluar dari bilik air.
Saya hulur sampul duit raya padanya.
"Kak, tak dapat pergi open house dekat masjid,kan? Ini ada duit raya sikit daripada saya."
"Ohh... terima kasih," sambutnya girang. Ada tawa di hujung suaranya seperti tak percaya. Dia senyum sampai telinga.
"Tak apa," jawab saya berlalu pergi dari situ.
Saya hanya mahu hadiahkan sedikit kegembiraan yang saya ada kepadanya. Biar dia juga rasa gembira dan bahagia seperti Cinderella yang mendapat baju cantik dan pedati kuda untuk berangkat ke istana.
Lain daripada itu, saya harap dia doakan yang baik-baik untuk saya.

Dapat gembirakan hati orang lain pun rasa bahagia

Thursday, March 21, 2019

Group WhatsApp Manfaat Atau Musibah

Group WhatsApp Manfaat Atau Musibah
Teks: Suhana Salleh

Cuba lihat dalam henpon anda. Ada berapa group whatsapp anda ada di dalamnya.

Pagi ni saya ambil masa agak lama duduk berteleku depan henpon. Semuanya gara-gara menyemak semula group whatsapp yang saya ada di dalamnya.

Setelah disemak, semua sekali ada 33 groups. Ada group yang saya aktif. Ada group yang saya jadi silent reader.

Pening. 

Serba salah. 

Serabut.

Hanya tiga perkataan itu sahaja yang tergambar dalam benak fikiran saya.

Menjadi ahli group sesuatu group memang bagus. Banyak info terkini dan maklumat berkaitan dapat disalurkan kepada ahlinya. Namun apabila terlalu banyak info yang tidak berkaitan dilambakkan di dalamnya boleh buat kepala ahli jadi pening. 

Hendak keluar group pula tak sampai hati. Bimbang pula jika keluar group nanti tak dapat pula info yang terkini dan sepatutnya dapat tak sampai pada kita. Tapi semakin lama duduk dalam group itu jiwa rasa macam terdera. Banyak yang terbuku dalam hati yang tidak dapat diluah dek mahu menjaga hati dan perasaan ahli group yang lain.

Tahukah anda stress yang berpanjangan tidak elok untuk kesihatan. Jiwa yang terdera lama-kelamaan boleh menjadi beban emosi jika tidak dirawat dari awal. 

Tidak mahu lagi emosi cedera, saya nekad mengambil tindakan keluar dari group-group ini. Antara group yang saya pertimbangkan untuk keluar ialah group dalam kategori yang sama dan memberi makumat yang hampir sama. Selain daripada itu, group yang ditubuhkan secara ad-hoc. Selepas tamat projek info yang masuk menjadi semakin tidak relevan. Ada juga group-group yang penting tapi bersembang macam banyak betul masanya yang terluang. Group yang begini saya KIV,kan dulu.

Apa yang saya buat untuk menguruskan semula group whatsapp yang saya jadi ahlinya.

1. Senaraikan semua group whatsapp yang ada.
Pastikan jangan ada yang tertinggal.
2. Kategorikan group whatsapp kepada beberapa kategori.
Akhirnya saya dapat kategorikan kepada 6 group. Group taska, group penulis, group family, group kawan sekolah lama, group kejiranan dan group anak sekolah.
3. Masukkan semula group whatsapp ke dalam kategori yang sudah disenaraikan
4. Left
Mana-mana group yang saya rasa kurang penting saya abaikan (left). Mana-mana group yang saya rasa selalu beri maklumat bertindan juga saya abaikan (left).
5. Tulis semua huruf besar untuk tajuk group
Ini bagi memudahkan saya mengingat semula group yang saya sertai dan tujuannya untuk apa.

setelah dikemaskini group saya ada 28 daripada 30++ pada awalnya.

masalahnya sekarang ini, masih ada lagi group baru untuk saya. Huwaa

Monday, March 18, 2019

Cuti Sekolah Datang Lagi

Cuti Sekolah Datang Lagi
Teks: Suhana Salleh

Terbaca status seorang mak itu di FB. Dia seakan tidak percaya minggu depan, cuti sekolah seminggu akan bermula. Menurut mak itu lagi, cuti sekolah dia kena urut dada sebab anak-anak akan memenuhi ruang rumah pula. Bagi peluang cikgu pula nak berehat. 
Emak ini bukannya tak suka anak-anak berada di rumah. Cuma faham-faham sajalah. Sesekali anak-anak berkumpul tentu 'meriah' rumah jadinya. Apatah lagi kalau anak-anak ramai macam saya. Mana nak fikir basuh baju, angkat baju, lipat baju. Itu belum lagi fikir nak masak menu apa untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Boleh jadi tangan sotong emak-emak ini dibuatnya walaupun memang jadi suri rumah sepenuh masa.
Kes saya pula, sekolah ke, cuti sekolah ke tetap urut dada. 
Nak-nak lagi apabila cuti sekolah sampai. Lagilah kena urut dada laju-laju. Mana tak laju. Siang menghadap anak taska dan transit. Malam menghadap anak-anak kat rumah.
Untuk makluman semua, taska mana ada cuti panjang macam cuti sekolah. Saya rasa kalau dalam kalendar itu ada 365 hari setahun taska akan beroperasi sepanjang tahun.
Itu pun, mujur ada Sabtu, Ahad dan cuti umum. Dapatlah cikgu taska rehat sikit sebab memang wajib tutup. Kalau tak, ada naya. (Mau taska jadi macam 7E ).
Taska kalau cuti panjang pun itu disebabkan kena buat kerja-kerja pembersihan (atas arahan pihak kesihatan). Mesti ada kes HFMD ke dan seumpamanya. Lain daripada itu jangan haraplah. Even jerebu, anak sakit kuat pun masih ada lagi yang nak hantar anak duduk taska.
Jadinya saya nak nasihatkan kat mak-mak yang bercuti masa cuti sekolah. Kalau boleh tak payah hantar anak ke taska. Buatlah bonding time dengan anak-anak di rumah. Nikmati 24 jam dengan anak sendiri sepenuhnya. Rasailah sendiri cabarannya. Bagilah peluang cikgu taska ini kendurkan otot-ototnya yang sedia tegang itu. 

Selama menyambut cuti sekolah duhai emak. Senyumlah, anak-anak merindui bebelanmu itu. Seminggu je pun.


Friday, March 15, 2019

Kuasa Doa

Kuasa Doa
Teks: Suhana Salleh

Semalam keputusan SPM 2018 diumumkan.
Anak pertama saya masih di tingkatan 4. Jadi saya kira tidak ada apa-apa signifikan keputusan SPM kali ini dengan saya. Rupanya saya silap.
Semalam juga, saya terbaca satu perkongsian gembira daripada seorang ex-parent taska mengenai kejayaan anaknya dalam SPM. Anak perempuannya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM ditambah dengan agama dan akhlak yang baik membuatkan saya tersenyum puas.
Ya, anak itu pernah duduk di taska saya semenjak sekolah rendah. Tapi, bukan itu tujuan utama saya menitipkan kisah ini buat kalian.
Dahulu, semasa budak perempuan itu duduk di taska saya ada dua orang lagi kanak-kanak yang sebaya dengannya juga duduk di taska saya. Seorang lelaki dan seorang perempuan.
Budak perempuan sinonim dengar kata, suka ulangkaji, suka buat latihan dan kerja sekolah. Orang kata well prepared. Budak lelaki pula sinonim suka main, malas baca buku, suka kacau kawan. Itulah kebiasaannya.
Apa yang menariknya, saya nak cerita bagaimana kepositifan dua orang budak perempuan ini berjaya mempengaruhi budak lelaki yang nakal untuk suka belajar.
Dalam nakal-nakal budak lelaki ini mungkin dia rasa tercabar. Jadi dia pun pulun 3 bulan sebelum UPSR struggle ulangkaji dan buat latihan banyak-banyak. Hasilnya semasa keputusan UPSR diumumkan ketiga-tiga anak-anak ini berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Malah keputusan budak lelaki yang nakal ini melebihi keputusan seorang lagi budak perempuan itu.
Sebenarnya sebagai seorang pengusaha taska saya amat risau bila berhadapan dengan budak lelaki yang terlebih tenaga (nakal) ini. Tapi saya tahu budak lelaki ini sebenarnya bijak, berani, suka bersukan, suka explore benda baru dan suka aktiviti yang mencabar minda dan keupayaannya. Masalahnya jika tenaga yang dimiliki oleh budak lelaki ini jika tidak dihalakan kepada jalan yang betul kemungkinan besar mengundang banyak masalah seterusnya jenayah (nauzubillah).
Saya sayangkan bakat yang ada pada budak lelaki ini.
Memang saya selalu berdoa agar budak lelaki ini mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSRnya. Seterusnya dia dapat menyambung pelajaran sekolah menengahnya di mana-mana sekolah berasrama. Saya mahu dia keluar dari sini dan pergi sambung belajar jauh dari rumahnya.
Mungkin kalian tertanya-tanya mengapa saya berdoa begitu?
Pertama, kerana saya memikirkan anak saya yang pertama. Anak saya ini berkawan rapat dengan budak lelaki itu juga. Jika budak lelaki itu jadi tidak baik, ada kemungkinan anak saya juga jadi tak baik disebabkan pergaulan mereka.
Yang kedua, saya fikir jika budak lelaki itu duduk di asrama sudah tentulah tenaganya yang banyak itu dapat disalurkan di tempat yang betul. Setahu saya sekolah berasrama ada jadualnya yang tersendiri. Aktivitinya padat dari pagi sampai ke malam, setiap hari.
Ya, syukur. Budak lelaki itu akhirnya diterima masuk ke salah sebuah sekolah berasrama di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Pengajian menengahnya juga dibiayai oleh Yayasan Selangor. Semasa di sana dia sudah menyertai banyak aktiviti dan masuk macam-macam pertandingan di peringkat sekolah. Keputusan PT3nya dua tahun lepas juga amat membanggakan. Saya amat gembira mendengar perkembangannya.
Kali ini keputusan SPMnya juga tidak mengecewakan
Apa yang mahu saya katakan di sini, doakanlah yang baik-baik bukan hanya untuk anak kita semata-mata. Doakanlah yang baik-baik untuk anak orang lain juga. Bayangkan jika anak orang lain baik tempias kebaikannya akan berjangkit ke anak kita juga. Jika anak orang lain tidak baik tempias keburukannya akan balik kepada siapa? Apa guna anak kita seorang sahaja yang baik tapi rata-rata kawan dan persekitarannya tidak baik. Lama kelamaan tidak terkesankah pada anak kita akhirnya?
Tulisan: Suhana Salleh

Sunday, January 27, 2019

Penyakit Berjangkit Di Taska: Kutu

Kutu Kepala
Teks: Suhana Salleh

Baru-baru ni adik ipar bagitahu anaknya dijangkiti kutu selepas beberapa hari ke tadika.
Hasil carian imej untuk gambar kutu kepala
Kutu ini kecil je saiznya tapi kalau dia hisap darah kat kepala gatalnya yang amat.
Sumber: Google 
Kutu ini sebenarnya memang cepat berjangkit. Terutamanya kanak-kanak yang dihantar ke taska, tadika dan sekolah. Kutu dikategorikan dalam kumpulan parasit yang hisap darah. Bila anak dah dijangkiti kutu kepalanya akan rasa gatal, panas. Mulalah asyik tergaru-garu. Kita yang tengok dia pun rasa tak selesa.

Di taska saya pun pernah jadi masalah kutu ini. Kutu datang dari pelbagai punca. Ada yang bawa dari rumah, dari kampung, dari sekolah. Tiba taska berjangkit dengan kawan-kawan pula. Dah jadi satu kerja tambahan pula pembantu taska saya nak membasminya.

Kutu kepala ini memang cepat membiak. Tak hairanlah sebab seekor ibu kutu boleh keluarkan 70-100 biji telur setiap kali bertelur. Itu baru seekor. Bayangkan kalau kat kepala tu ada berekor-ekor ibu kutu.

Sebagai pengusaha taska saya memang tak gemar jika kanak-kanak taska berkutu. Boleh menjangkit kat orang lain itu yang payah. Renyah kerjanya. Jadi di sini saya mahu syorkan beberapa inisiatif yang boleh diambil oleh ibu bapa penjaga jika anak-anak kita dijangkiti kutu kepala.

1. Beli ubat basmi kutu
Selalunya ada jual di farmasi. Sekarang ni ubat kutu pun macam-macam jenis. Ada yang macam minyak, ada yang shampoo. Cari yang ada pakej sikat kutu sekali. Senang nanti lepas pakai ubat kutu boleh sauk kutu guna sikat tu.


2. Ikut arahan seperti yang diarahkan.
Cara guna ubat kutu ni senang je. Kena lumur kat rambut. Tekup dengan tuala atau scarf putih. Tunggu dalam 10 minit. Nanti keluarlah kutu-kutu yang pening lalat tu. Cuma kena pastikan berapa kali kekerapan penggunaan yang dianjurkan.


3. Kena rajin shampoo rambut anak.
Pastikan anak cuci rambut dengan shampoo sekurang-kurangnya 1 kali sehari. Masa bilas rambut boleh guna sikat bagi kutu keluar.


4. Asingkan tempat tidur.
Anak yang ada kutu tak boleh tidur dengan adik beradik yang tak ada kutu even ibu ayah. Pengasingan ini sementara je untuk elakkan menjangkit.


5. Jangan kongsi barang peribadi.
Tuala, sikat tolong jangan kongsi. Inilah yang akan mempercepatkan proses jangkitan kat orang lain. Lagi bagus belikan anak sikat sendiri. Tak bercampur guna dengan orang lain.


6. Selepas guna sikat masukkan dalam plastik khas.
Kutu yang kena isolasi 7 hari akan mati dengan sendiri.


7. Pantau selalu kepala anak.
Seminggu sekali hujung minggu ceklah kepala anak tu. Lebih-lebih lagi kalau tengok dia tergaru-garu. Tengok kat bahagian belakang tengkuk, tepi telinga. Mana tahu ada telur kutu kat rambut anak. Bila dah ada jangan buat derk je. Cepat-cepat bersihkan telur kutu tu. 

8. Maklumkan juga pada pihak taska/tadika.
Apabila dah tahu anak ada kutu ringan-ringankanlah mulut itu bagitahulah kepada penjaga anak kita. Minta mereka alert dan ambil langkah yang sewajarnya. Kebiasaannya kanak-kanak yang ada kutu kami akan asingkannya tidur jauh sikit daripada kawan-kawan yang lain. 

9. Potong pendek rambut anak

Kutu memang suka duduk dalam rambut yang tebal dan panjang. Sejuk dan lembab je rasanya bila anak berpeluh. Kalau rambut anak kita memang bela panjang mohon bekorban sedikit potonglah rambut anak itu. Pencegahan awal lebih berkesan masa peringkat telur. Lebih tiga hari telur akan menetas jadi anak tinap. Masa ni lagi sakit jiwa nak membersihkannya.

Selain daripada guna ubat kutu yang dijual di farmasi ada juga cara tradisional untuk hapuskan kutu. Tapi saya lebih suka guna cara ni. Lebih mudah dan ringkas. Sesuai sangat buat ibu bapa yang selalu sibuk.

Ingat, kebersihan kepala anak kita tanggungjawab ibu bapa penjaga bersama.

Friday, January 25, 2019

Kenapa Orang Perempuan Suka Bercakap

Kenapa Orang Perempuan Suka Bercakap
Teks: Suhana Salleh

Dua hari lepas serabutnya kepala duduk buat kerja menulis sorang-sorang di rumah. Lepas itu ada orang call tak habis-habis cerita masalah dia. Saya ingat nak keluar ambil angin sebentar pergi window shopping kat AEON. Mana tahu boleh release tension. Tapi kereta pula buat hal pagi tadi. Minyak menitik-nitik keluar lepas isi minyak. Pam attendant tu kata mungkin ada bocor. Terus saya batalkan niat, patah balik ke rumah semula. Buatnya kereta meletup tengah jalan tak ke naya. Dahlah bawa dua budak kenit ni sekali.


Maka bersambunglah betapa duduk rumah lagi.
Hasil carian imej untuk makcik bawang serabut
Selagi tak diluah selagi itulah serabut dalam otak.
Sumber gambar: google di internet
Terfikir juga waktu-waktu macam ni alangkah bagusnya jika ada seorang teman berbual. Sekurang-kurangnya apa yang terbuku di dada dan bersarang di minda terurai.

Dah nak petang Encik Suami call. Dia minta izin nak bawa seorang perempuan ini nak singgah rumah saya. Terkejut juga nak terima tetamu waktu-waktu macam ini sebab rumah bersepah macam tongkang karam. Mujur perempuan tu saya dah lama kenal. Kawan sama-sam sekolah menegah dulu. Saya pun kata bawaklah dia datang walaupun hati sebenarnya tak berapa nak ready.

Bagus juga Encik Suami bawa kawan saya ini singgah rumah. Macam tahu-tahu aje isteri dia ini perlukan seorang teman berbual. Dapatlah saya bersembang dengan kawan perempuan saya ni macam-macam. Encik suami pun macam dah faham. Sengaja dia tinggalkan kami berdua di rumah sementara dia pergi solat asar kat surau. Suka tengok kawan saya ini dah maju setapak ke hadapan. Dia pun rasa serasi dengan kerja baru yang diceburinya ini. Sambil-sambil itu saya sembang pasal kerja saya, pasal keluarga dan kawan-kawan lama yang dah tak dengar khabar berita. Tengah syok berborak laki dia pulak call. Bagitahu kata dalam 10 minit lagi sampai. Baki masa yang ada kami isi dengan berbual. 

Bila suami dia sampai barulah kawan saya ini minta diri nak balik. Maka, terpaksalah saya lepaskan kawan saya itu dengan berat hati. Tapi saya seronok sebab sekurang-kurangnya separuh beban perasaan saya dah berlalu pergi.

Malamnya pula, tiba-tiba ada seorang kawan lama ketuk pintu wasap. Saya ingatkan dia nak bincang pasal kerja-kerja menulis. Mulanya malas juga nak layan sebab dah nak tertidur sangat. Tapi kesian pulak tengok dia macam bersungguh nak berbual. Mula-mula memang formal tapi dah lama-lama dia kata perbualan malam ni tak perlulah formal sangat. Santai-santai sudah sebab dia pun tengah dodoikan anak sementara tunggu pasangannya balik rumah. Jadi saya pun layan dia macam kawan-kawan.

Dah lama berbual baru saya tahu masalah sebenar dia. Oh, rupanya dia pun berada dalam keadaan tertekan tapi tak tahu nak luah pada siapa.

Itulah, di saat-saat macam ini kita (orang perempuanlah) memang perlukan seorang teman berbual. Percayalah, perempuan berbual bukan nak minta simpati atau minta orang yang mendengar itu selesaikan masalah dia pun sebenarnya. Dia cuma nak meluahkan. Meluahkan apa yang dia rasa pada masa itu. Itu sahaja. Insya-Allah selepas dapat bercakap-cakap perempuan akan rasa lebih tenang. Dan sellepas itu semuanya akan berjalan seperti biasa. Macam tak apa-apa perkara yang pelik berlaku.

Jadi kepada orang bukan perempuan di luar sana (terutamanya leaki) jangan pelik jika tiba-tiba perempuan boleh bercakap lebih banyak pada hari hari-hari tertentu. Memang dah lumrah alam. Orang perempuan merasa lebih tenang jika dia dapat meluahkan apa yang dia rasa. Jadi tak perlulah 'take it serious', ok. Biarkan saja dia bercakap sampai dia jumpah noktahnya sendiri.