Teks: Suhana Salleh
Semalam keputusan SPM 2018 diumumkan.
Anak pertama saya masih di tingkatan 4. Jadi saya kira tidak ada apa-apa signifikan keputusan SPM kali ini dengan saya. Rupanya saya silap.
Semalam juga, saya terbaca satu perkongsian gembira daripada seorang ex-parent taska mengenai kejayaan anaknya dalam SPM. Anak perempuannya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM ditambah dengan agama dan akhlak yang baik membuatkan saya tersenyum puas.
Ya, anak itu pernah duduk di taska saya semenjak sekolah rendah. Tapi, bukan itu tujuan utama saya menitipkan kisah ini buat kalian.
Dahulu, semasa budak perempuan itu duduk di taska saya ada dua orang lagi kanak-kanak yang sebaya dengannya juga duduk di taska saya. Seorang lelaki dan seorang perempuan.
Budak perempuan sinonim dengar kata, suka ulangkaji, suka buat latihan dan kerja sekolah. Orang kata well prepared. Budak lelaki pula sinonim suka main, malas baca buku, suka kacau kawan. Itulah kebiasaannya.
Apa yang menariknya, saya nak cerita bagaimana kepositifan dua orang budak perempuan ini berjaya mempengaruhi budak lelaki yang nakal untuk suka belajar.
Dalam nakal-nakal budak lelaki ini mungkin dia rasa tercabar. Jadi dia pun pulun 3 bulan sebelum UPSR struggle ulangkaji dan buat latihan banyak-banyak. Hasilnya semasa keputusan UPSR diumumkan ketiga-tiga anak-anak ini berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Malah keputusan budak lelaki yang nakal ini melebihi keputusan seorang lagi budak perempuan itu.
Sebenarnya sebagai seorang pengusaha taska saya amat risau bila berhadapan dengan budak lelaki yang terlebih tenaga (nakal) ini. Tapi saya tahu budak lelaki ini sebenarnya bijak, berani, suka bersukan, suka explore benda baru dan suka aktiviti yang mencabar minda dan keupayaannya. Masalahnya jika tenaga yang dimiliki oleh budak lelaki ini jika tidak dihalakan kepada jalan yang betul kemungkinan besar mengundang banyak masalah seterusnya jenayah (nauzubillah).
Saya sayangkan bakat yang ada pada budak lelaki ini.
Memang saya selalu berdoa agar budak lelaki ini mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSRnya. Seterusnya dia dapat menyambung pelajaran sekolah menengahnya di mana-mana sekolah berasrama. Saya mahu dia keluar dari sini dan pergi sambung belajar jauh dari rumahnya.
Mungkin kalian tertanya-tanya mengapa saya berdoa begitu?
Pertama, kerana saya memikirkan anak saya yang pertama. Anak saya ini berkawan rapat dengan budak lelaki itu juga. Jika budak lelaki itu jadi tidak baik, ada kemungkinan anak saya juga jadi tak baik disebabkan pergaulan mereka.
Yang kedua, saya fikir jika budak lelaki itu duduk di asrama sudah tentulah tenaganya yang banyak itu dapat disalurkan di tempat yang betul. Setahu saya sekolah berasrama ada jadualnya yang tersendiri. Aktivitinya padat dari pagi sampai ke malam, setiap hari.
Ya, syukur. Budak lelaki itu akhirnya diterima masuk ke salah sebuah sekolah berasrama di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Pengajian menengahnya juga dibiayai oleh Yayasan Selangor. Semasa di sana dia sudah menyertai banyak aktiviti dan masuk macam-macam pertandingan di peringkat sekolah. Keputusan PT3nya dua tahun lepas juga amat membanggakan. Saya amat gembira mendengar perkembangannya.
Kali ini keputusan SPMnya juga tidak mengecewakan
Apa yang mahu saya katakan di sini, doakanlah yang baik-baik bukan hanya untuk anak kita semata-mata. Doakanlah yang baik-baik untuk anak orang lain juga. Bayangkan jika anak orang lain baik tempias kebaikannya akan berjangkit ke anak kita juga. Jika anak orang lain tidak baik tempias keburukannya akan balik kepada siapa? Apa guna anak kita seorang sahaja yang baik tapi rata-rata kawan dan persekitarannya tidak baik. Lama kelamaan tidak terkesankah pada anak kita akhirnya?
Tulisan: Suhana Salleh
No comments:
Post a Comment