Popular Posts

Thursday, March 21, 2019

Group WhatsApp Manfaat Atau Musibah

Group WhatsApp Manfaat Atau Musibah
Teks: Suhana Salleh

Cuba lihat dalam henpon anda. Ada berapa group whatsapp anda ada di dalamnya.

Pagi ni saya ambil masa agak lama duduk berteleku depan henpon. Semuanya gara-gara menyemak semula group whatsapp yang saya ada di dalamnya.

Setelah disemak, semua sekali ada 33 groups. Ada group yang saya aktif. Ada group yang saya jadi silent reader.

Pening. 

Serba salah. 

Serabut.

Hanya tiga perkataan itu sahaja yang tergambar dalam benak fikiran saya.

Menjadi ahli group sesuatu group memang bagus. Banyak info terkini dan maklumat berkaitan dapat disalurkan kepada ahlinya. Namun apabila terlalu banyak info yang tidak berkaitan dilambakkan di dalamnya boleh buat kepala ahli jadi pening. 

Hendak keluar group pula tak sampai hati. Bimbang pula jika keluar group nanti tak dapat pula info yang terkini dan sepatutnya dapat tak sampai pada kita. Tapi semakin lama duduk dalam group itu jiwa rasa macam terdera. Banyak yang terbuku dalam hati yang tidak dapat diluah dek mahu menjaga hati dan perasaan ahli group yang lain.

Tahukah anda stress yang berpanjangan tidak elok untuk kesihatan. Jiwa yang terdera lama-kelamaan boleh menjadi beban emosi jika tidak dirawat dari awal. 

Tidak mahu lagi emosi cedera, saya nekad mengambil tindakan keluar dari group-group ini. Antara group yang saya pertimbangkan untuk keluar ialah group dalam kategori yang sama dan memberi makumat yang hampir sama. Selain daripada itu, group yang ditubuhkan secara ad-hoc. Selepas tamat projek info yang masuk menjadi semakin tidak relevan. Ada juga group-group yang penting tapi bersembang macam banyak betul masanya yang terluang. Group yang begini saya KIV,kan dulu.

Apa yang saya buat untuk menguruskan semula group whatsapp yang saya jadi ahlinya.

1. Senaraikan semua group whatsapp yang ada.
Pastikan jangan ada yang tertinggal.
2. Kategorikan group whatsapp kepada beberapa kategori.
Akhirnya saya dapat kategorikan kepada 6 group. Group taska, group penulis, group family, group kawan sekolah lama, group kejiranan dan group anak sekolah.
3. Masukkan semula group whatsapp ke dalam kategori yang sudah disenaraikan
4. Left
Mana-mana group yang saya rasa kurang penting saya abaikan (left). Mana-mana group yang saya rasa selalu beri maklumat bertindan juga saya abaikan (left).
5. Tulis semua huruf besar untuk tajuk group
Ini bagi memudahkan saya mengingat semula group yang saya sertai dan tujuannya untuk apa.

setelah dikemaskini group saya ada 28 daripada 30++ pada awalnya.

masalahnya sekarang ini, masih ada lagi group baru untuk saya. Huwaa

Monday, March 18, 2019

Cuti Sekolah Datang Lagi

Cuti Sekolah Datang Lagi
Teks: Suhana Salleh

Terbaca status seorang mak itu di FB. Dia seakan tidak percaya minggu depan, cuti sekolah seminggu akan bermula. Menurut mak itu lagi, cuti sekolah dia kena urut dada sebab anak-anak akan memenuhi ruang rumah pula. Bagi peluang cikgu pula nak berehat. 
Emak ini bukannya tak suka anak-anak berada di rumah. Cuma faham-faham sajalah. Sesekali anak-anak berkumpul tentu 'meriah' rumah jadinya. Apatah lagi kalau anak-anak ramai macam saya. Mana nak fikir basuh baju, angkat baju, lipat baju. Itu belum lagi fikir nak masak menu apa untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Boleh jadi tangan sotong emak-emak ini dibuatnya walaupun memang jadi suri rumah sepenuh masa.
Kes saya pula, sekolah ke, cuti sekolah ke tetap urut dada. 
Nak-nak lagi apabila cuti sekolah sampai. Lagilah kena urut dada laju-laju. Mana tak laju. Siang menghadap anak taska dan transit. Malam menghadap anak-anak kat rumah.
Untuk makluman semua, taska mana ada cuti panjang macam cuti sekolah. Saya rasa kalau dalam kalendar itu ada 365 hari setahun taska akan beroperasi sepanjang tahun.
Itu pun, mujur ada Sabtu, Ahad dan cuti umum. Dapatlah cikgu taska rehat sikit sebab memang wajib tutup. Kalau tak, ada naya. (Mau taska jadi macam 7E ).
Taska kalau cuti panjang pun itu disebabkan kena buat kerja-kerja pembersihan (atas arahan pihak kesihatan). Mesti ada kes HFMD ke dan seumpamanya. Lain daripada itu jangan haraplah. Even jerebu, anak sakit kuat pun masih ada lagi yang nak hantar anak duduk taska.
Jadinya saya nak nasihatkan kat mak-mak yang bercuti masa cuti sekolah. Kalau boleh tak payah hantar anak ke taska. Buatlah bonding time dengan anak-anak di rumah. Nikmati 24 jam dengan anak sendiri sepenuhnya. Rasailah sendiri cabarannya. Bagilah peluang cikgu taska ini kendurkan otot-ototnya yang sedia tegang itu. 

Selama menyambut cuti sekolah duhai emak. Senyumlah, anak-anak merindui bebelanmu itu. Seminggu je pun.


Friday, March 15, 2019

Kuasa Doa

Kuasa Doa
Teks: Suhana Salleh

Semalam keputusan SPM 2018 diumumkan.
Anak pertama saya masih di tingkatan 4. Jadi saya kira tidak ada apa-apa signifikan keputusan SPM kali ini dengan saya. Rupanya saya silap.
Semalam juga, saya terbaca satu perkongsian gembira daripada seorang ex-parent taska mengenai kejayaan anaknya dalam SPM. Anak perempuannya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM ditambah dengan agama dan akhlak yang baik membuatkan saya tersenyum puas.
Ya, anak itu pernah duduk di taska saya semenjak sekolah rendah. Tapi, bukan itu tujuan utama saya menitipkan kisah ini buat kalian.
Dahulu, semasa budak perempuan itu duduk di taska saya ada dua orang lagi kanak-kanak yang sebaya dengannya juga duduk di taska saya. Seorang lelaki dan seorang perempuan.
Budak perempuan sinonim dengar kata, suka ulangkaji, suka buat latihan dan kerja sekolah. Orang kata well prepared. Budak lelaki pula sinonim suka main, malas baca buku, suka kacau kawan. Itulah kebiasaannya.
Apa yang menariknya, saya nak cerita bagaimana kepositifan dua orang budak perempuan ini berjaya mempengaruhi budak lelaki yang nakal untuk suka belajar.
Dalam nakal-nakal budak lelaki ini mungkin dia rasa tercabar. Jadi dia pun pulun 3 bulan sebelum UPSR struggle ulangkaji dan buat latihan banyak-banyak. Hasilnya semasa keputusan UPSR diumumkan ketiga-tiga anak-anak ini berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Malah keputusan budak lelaki yang nakal ini melebihi keputusan seorang lagi budak perempuan itu.
Sebenarnya sebagai seorang pengusaha taska saya amat risau bila berhadapan dengan budak lelaki yang terlebih tenaga (nakal) ini. Tapi saya tahu budak lelaki ini sebenarnya bijak, berani, suka bersukan, suka explore benda baru dan suka aktiviti yang mencabar minda dan keupayaannya. Masalahnya jika tenaga yang dimiliki oleh budak lelaki ini jika tidak dihalakan kepada jalan yang betul kemungkinan besar mengundang banyak masalah seterusnya jenayah (nauzubillah).
Saya sayangkan bakat yang ada pada budak lelaki ini.
Memang saya selalu berdoa agar budak lelaki ini mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSRnya. Seterusnya dia dapat menyambung pelajaran sekolah menengahnya di mana-mana sekolah berasrama. Saya mahu dia keluar dari sini dan pergi sambung belajar jauh dari rumahnya.
Mungkin kalian tertanya-tanya mengapa saya berdoa begitu?
Pertama, kerana saya memikirkan anak saya yang pertama. Anak saya ini berkawan rapat dengan budak lelaki itu juga. Jika budak lelaki itu jadi tidak baik, ada kemungkinan anak saya juga jadi tak baik disebabkan pergaulan mereka.
Yang kedua, saya fikir jika budak lelaki itu duduk di asrama sudah tentulah tenaganya yang banyak itu dapat disalurkan di tempat yang betul. Setahu saya sekolah berasrama ada jadualnya yang tersendiri. Aktivitinya padat dari pagi sampai ke malam, setiap hari.
Ya, syukur. Budak lelaki itu akhirnya diterima masuk ke salah sebuah sekolah berasrama di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Pengajian menengahnya juga dibiayai oleh Yayasan Selangor. Semasa di sana dia sudah menyertai banyak aktiviti dan masuk macam-macam pertandingan di peringkat sekolah. Keputusan PT3nya dua tahun lepas juga amat membanggakan. Saya amat gembira mendengar perkembangannya.
Kali ini keputusan SPMnya juga tidak mengecewakan
Apa yang mahu saya katakan di sini, doakanlah yang baik-baik bukan hanya untuk anak kita semata-mata. Doakanlah yang baik-baik untuk anak orang lain juga. Bayangkan jika anak orang lain baik tempias kebaikannya akan berjangkit ke anak kita juga. Jika anak orang lain tidak baik tempias keburukannya akan balik kepada siapa? Apa guna anak kita seorang sahaja yang baik tapi rata-rata kawan dan persekitarannya tidak baik. Lama kelamaan tidak terkesankah pada anak kita akhirnya?
Tulisan: Suhana Salleh