Popular Posts

Wednesday, December 5, 2018

Cara Suri Rumah Jana Duit

Cara Suri Rumah Tangga Jana Duit
Teks: Suhana Salleh


'Suri rumah'. Apabila disebut perkataan ini selalu yang terbayang di fikiran kita ialah seorang isteri yang tidak bekerja dan hanya menguruskan rumah tangganya sahaja. Tiada sumber pendapatan dan hanya mengharapkan duit ihsan pemberian suami.

Namun demikian, fenomena suri rumah duduk di rumah dan tidak mempunyai sumber pendapatan sudah bertukar kini. Keadaan ekonomi dan faktor sosial banyak mengubah mind set wanita sekarang terhadap suri rumah masa kini. Mereka bukan sahaja menjadi suri rumah. Dalam masa yang sama mereka bekerja dari rumah dan menjana pendapatan sendiri.

Tekanan hidup di bandar dan keadaan ekonomi keluarga yang kurang stabil menjadikan kaum wanita lebih kreatif untuk membantu meringankan beban kewangan suami. Terdapat beberapa cara bagaimana suri rumah boleh menjana wang di rumah. Antaranya;


  • Menyimpan 10% daripada pendapatan yang diperolehi  


Jika anda suri rumah tangga sepenuh masa minta kerjasama daripada suami untuk memperuntukkan sedikit daripada gajinya untuk anda setiap bulan. Sekiranya suami tidak mampu RM100 sebulan jumlah yang memadai. Daripada pendapatan itu asingkan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan yang diperolehi untuk simpanan anda sendiri.

Saya pernah meminta suami untuk memotong gajinya sebanyak RM200 setiap bulan ke dalam akaun saya. Tanpa culas. Potongan ini adalah sebagai timbal balas suami kepada saya kerana meminta saya berhenti kerja dan duduk di rumah menjaga anak. Hasilnya saya mempunyai simpanan lebih kurang RM5000 dalam tempoh 2 tahun.

  • Menabung duit syiling
Daripada pengalaman saya, orang lelaki tidak suka menyimpan duit syiling di dalam dompet. Mungkin faktor berat, leceh dan seperti tiada nilai membuatkan orang lelaki lebih suka meletakkan lebihan duit syiling mereka merata-rata. Mulai dari sekarang mulakan tugas anda untuk mengutip duit semua syiling yang ditinggalkan merata-rata oleh suami anda. Masukkannya ke dalam satu tabung khas yang tidak boleh dibuka tutupnya. Apabila tabung sudah penuh bolehlah buka dan kira jumlahnya.

Pernah satu ketika saya tidak mempunyai lebihan duit di bank untuk membayar duit van sekolah anak. Tabung syiling tersebut telah menjadi penyelamat. Saya membayar sebulan duit van kedua-dua orang anak saya menggunakan duit tabung tersebut.


  • Membuat pelaburan saham untuk anak
Orang lelaki memang jarang hiraukan tentang pelaburan saham dan keuntungannya. Tidak mengapa. Adalah menjadi tugas suri rumah tangga untuk memperhatikan mana-mana pelaburan yang sah, berisiko rendah dan boleh memberikan sedikit pulangan. Sebagai contoh Amanah Saham Berhad (ASB), Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Permodalan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh seorang kenalan mengenai RM500 geran sepadan yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada pendeposit PTPTN. Dengan tidak membuang masa saya terus membuka akaun PTPTN untuk anak ke tiga saya. Daripada RM500 simpanan yang saya buat kerajaan telah memasukkan lagi RM500 ke dalam akaun anak saya. Jumlah tersebut tidak boleh dikeluarkan malah setiap tahun akan dibayar dividen.

  • Mengambil takaful untuk anak sejak lahir
Adalah sangat bagus jika kita dapat merencanakan kewangan anak sejak mereka bayi. Sewaktu anak masih bayi carilah perlindungan takaful untuk mereka. Paling tidak pun takaful pendidikan untuk anak. Pastikan jumlah tersebut tidak terlalu tinggi dan masih dalam kemampuan kewangan kita. Sekiranya perlindungan takaful diambil sejak bayi bayaran yang terpaksa kita bayar setiap bulan lebih kecil jika dibandingkan sekiranya kita ambilkan takaful ketika mereka sudah berumur 4 tahun.  

Menjadi tabiat saya memastikan setiap anak yang lahir perlu ada perlindungan takaful. Sebagai contoh disebabkan keadaan kewangan yang tidak stabil suami saya pernah tidak membayar takaful pendidikan anak pertama kami selama 3 tahun. Saya telah mengambil inisiatif membayar kesemua tunggakan tersebut memandangkan tarikh matang sijil tersebut akan tamat kurang daripada 2 tahun. Sedangkan pada tarikh itu anak saya akan tamat SPM. Kemungkinan besar dia akan menyambung pelajarannya keinstitusi pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negara. Dengan duit tersebut dapatlah menampung pembiayaannya untuk belajar nanti.        

  • Mempromosikan kemahiran yang ada
Suri rumah tangga tidak perlu malu mempromosikan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki. 
Antara kerjaya yang boleh menjana pendapatan buat suri rumah tangga seperti;
Menjadi cikgu tusyen, 
guru mengaji, 
menulis, menjadi ghostwriter 
membuat biskut, kek dan roti, 
memasak untuk majlis, 
membuat kuih tradisional
menyediakan akaun untuk syarikat
mengasuh anak jiran dan seumpamanya

No comments:

Post a Comment