Popular Posts

Saturday, December 15, 2018

Pengangkutan Awam (bahagian 1)

Pengalaman Naik MRT
Teks: Suhana Salleh

Tahun 2003, selepas beranak satu saya sudah jarang menggunakan pengangkutan awam. 

Semasa zaman universiti dahulu saya memang pengguna setia bas dan LRT. Tahun akhir di universiti saya tidak lagi memilih duduk di kediaman yang disediakan oleh pihak universiti. Saya juga tidak duduk di rumah sewa Vista Kerinci dan Pantai Dalam seperti mana kawan-kawan sefakulti saya buat. Sebaliknya saya mengambil keputusan duduk dengan kakak nombor 3 di Seksen 1 Wangsa Maju. 

Pada ketika itu pembinaan LRT sedang rancak dijalankan. Stesen Wangsa Maju dan Stesen Universiti menghubungkan jarak dari rumah kakak saya dan Universiti Malaya ketika itu. Jika hendak diikutkan perjalanan sehala dari rumah kakak ke universiti mengambil masa lebih 40 minit. Memandangkan kelas saya hanya 3 hari seminggu maka perkara itu tidak menjadi masalah besar bagi saya. Sebolehnya saya akan uruskan semua kerja berkaitan universiti seperti perbincangan dengan rakan, pergi ke perpustakaan dan berjumpa dengan penyelia dipadatkan pada hari-hari tersebut. Hari lain saya tidak akan keluar demi menjimatkan masa, tenaga dan kos. 

Saya masih ingat ketika itu, setiap pelajar boleh memohon kad untuk mendapatkan penjimatan harga pelajar. Pas bulanan kalau tidak silap saya. Selain itu ada juga keistimewaan lain jika kita mempunyai kad bulanan. Tambang bas percuma dari stesen LRT sehingga ke beberapa tempat terpilih. Hujung minggu boleh membawa dua orang dewasa menaiki LRT secara percuma.

Selepas berkahwin semuanya selepas itu menjadi sejarah. Saya lebih banyak menaiki kereta jika hendak ke mana-mana. Suami juga lebih suka menghantar dan mengambil saya di pejabat. 

Hari ini saya hendak bawa anak-anak ke KL Sentral menggunakan MRT.


Selalunya saya naik komuter dari Rawang. Oleh kerana komuter sedang dalam proses penambahbaikan, jadual waktu perjalanannya menjadi terhad dan mengambil tempoh masa yang lebih lama. Jadi hari ini sengaja saya mengambil pengangkutan awam MRT dari Stesen Sungai Buloh. 

Oleh kerana ini kali pertama naik MRT, terpinga-pingga jugalah saya hendak membeli tiket dan nak pilih stesen mana nak berhenti nanti. Persis rusa masuk kampung jadinya saya. Beli token dengan mesin, sistem laluan yang tersusun, ketepatan masa berlepas membuatkan MRT nampak canggih di mata saya. Saya berasa bangga dengan pencapaian pengangkutan awam sebegini.    

Menurut pegawai yang bertugas di situ jika hendak ke KL Sentral saya perlu berhenti di Stesen Muzium Negara. Saya fikir setiba di Stesen Muzium Negara perlu ambil tren lagi hendak ke sana. Rupanya tak perlu. Hanya perlu teruskan langkah, naik eskalator dan ikut laluan disediakan dah boleh sampai ke KL Sentral. Perjalanan yang mudah. Cuma saya terbayang jika saya warga emas jenuh juga hendak berjalan dan naik eskalator.  
Suasana dalam MRT dari Stesen Sungai Buloh. Lengang.


No comments:

Post a Comment