Botol Mineral Kosong
Teks : Suhana Salleh
Lepas masak asam pedas ikan sembilang mak kata nak rehat. Kaki dia dah sakit. Saya minta masak kuah mi rebus pun dia enggan. Katanya esok pagi sahaja dia masakkan.
Oleh sebab saya dah beritahu nak balik awal esok, pagi-pagi lagi emak dah bangun. Selepas subuh saya dengar bunyi bising dari arah dapur. Bunyi pengisar lada. Bunyi ketuk lesung batu. Bunyi air sinki. Tentu mak tengah siapkan bahan nak masak mi rebus.
Usai solat saya jengok mak di dapur. Seperiuk kuah mi rebus sudah dimasak atas dapur. Tinggal tunggu mendidih. Saya jerang air. Nanti bolehlah hidang kopi dan teh masa sarapan pagi.
Dalam pada itu tangan saya ligat menyapu rumah mak. Saya periksa tempat surat mak. Mana-mana resit yang dah tak guna, kad jemputan walimah yang sudah lepas tarikh dan surat-surat yang tak berkenaan semuanya saya lesir.
Emak memang sudah faham sangat perangai saya. Suka membuang. Hanya simpan mana yang perlu dan digunakan sahaja.
Sudah sampai dapur saya nampak botol air mineral kosong satu bakul besar. Mesti mak yang simpan semua benda ini. Kalau saya usulkan nak buang emak memang tak benarkan. Saya ambil langkah proaktif. Terus masukkan dalam plastik hitam besar senyap-senyap.
Saya tahu emak perasan tapi dia tak cakap apa-apa. Takut saya membebel agaknya.
Saya suruh anak pertama saya hantar plastik itu ke depan. Nanti ada lori sampah yang akan datang ambil. Elok anak saya nak membuangnya, emak tahan dia. Katanya biarkan di situ. Tak payah buang. Nanti dia nak isi air.
Serba salah anak saya dibuatnya. Akhirnya dia akur dengan cakap neneknya. Letak semula plastik hitam berisi botol mineral kosong di tepi rumah.
Inilah dilema yang sering berlaku anak-anak dengan warga emas. Niat kita nak memudahkan urusannya. Buang mana-mana benda yang tak perlu. Tambahan pula disimpan pun bukannya diguna. Tertonggohlah di situ sampai jadi tukun. Tiba masa jadi sarang cik lipas dan cik siti. Nasib tak baik jadi tempat ular berteduh.
Jadi warga emas memang begitulah sifatnya agak saya. Sensitif dan banyak sentimental value yang disimpan dalam kepala. Sebagai anak pandai-pandailah kita urus emosi mereka. Kena banyak bersabar supaya tidak ada hati yang terluka.
No comments:
Post a Comment