Popular Posts

Tuesday, December 4, 2018

Sambutan Hari Lahir Kanak-kanak

Sambutan Hari Ulang Tahun Kanak-kanak Taska
Teks : Suhana Salleh


Kanak-kanak memang suka diraikan. Begitu juga dengan orang dewasa. Di taska, saya mengaplikasikan menyambut ulang tahun kelahiran kanak-kanak tiga bulan sekali. Ini bermakna ada 4 kali sambutan hari lahir kanak-kanak setahun di taska saya. Contohnya kanak-kanak yang lahir bulan Januari, Februari dan Mac akan disambut pada akhir Mac. Begitulah dengan kanak-kanak yang lahir pada bulan berikutnya.

Selain sambutan yang lebih meriah, langkah ini juga dapat menjimatkan masa kami untuk menguruskan acara dengan kanak-kanak. Seminggu sebelum tarikh sambutan, saya akan mengumumkan perkara tersebut di facebook taska. Pembantu taska saya pula akan menuliskan nama kanak-kanak di papan kenyataan taska. kebiasaannya ibu bapa yang anaknya termasuk dalam senarai tersebut akan membawa kek, makanan, kuih muih dan sebagainya ke taska. Bagi pihak taska, saya akan menyediakan menu istimewa untuk kanak-kanak pada hari itu. Macam-macam makanan yang pernah disediakan. Selalunya saya buat undian kepada kanak-kanak tanya mereka hendak makan apa. Undian tertinggi akan dipilih memenuhi selera kanak-kanak pada hari tersebut.

Mengendalikan kanak-kanak bawah 4 tahun dalam acara ini memang agak sukar. Kami bergelut dengan persiapan majlis dan sibuknya melayan kanak-kanak yang pelbagai karenah. Bagi bayi bawah setahun mereka tidak biasa berjaga lama. Apabila letih mereka akan menangis kerana mahu tidur. Bagi kanak-kanak bawah 4 tahun pula mereka sangat teruja. Kebiasaannya mereka tidur mengikut jadual tetapi pada hari ini mereka sibuk hendak merasa pelbagai jenis makanan. Sehinggakan mereka tidak mahu tidur jika tidak dipaksa.

Cabaran lain ketika acara ini berlangsung adalah mengambil gambar beramai-ramai dengan kanak-kanak. Payah betul hendak menyusun kedudukan mereka di tempat yang sesuai. Jika kita lambat ada yang akan menangis, bangun dari tempat duduk, tidak mahu duduk di tempat yang disediakan dan pelbagai lagi. Begitu juga ketika hendak mengambil gambar. Ada yang toleh kiri, toleh kanak, pandang belakang, atas. Memang susah hendak dapatkan gambar yang sempurna.

Jadi tak perlulah rasa kecewa jika tidak dapat merakam gambar kanak-kanak dengan sempurna. Kerana pada setiap gambar yang tidak sempurna ada moment manis yang akan dikenang sampai bila-bila.   

No comments:

Post a Comment