Popular Posts

Wednesday, December 12, 2018

Toilet Train

6 Cara Mudah Ajar Anak Latihan Ke Tandas
Teks : Suhana Salleh

Pernah di taska saya kanak-kanak 4 tahun masih pakai lampin pakai buang. Kasihan saya tengokkan budak chubby itu pinggangnya melelas dek diapers yang terkurang saiz. Sejak dari itu saya ajarkannya latihan ke tandas. Prosesnya tidaklah sesukar mana kerana kanak-kanak itu sebenarnya dah bersedia. Cuma ibu dan ayahnya sahaja yang belum sedia.
Ibu-ibu, ayah-ayah...
Latihan anak ke tandas ini perlukan kerjasama dua pihak iaitu orang dewasa (sama ada ibu bapa atau pengasuh) dan anak.
Suka saya kongsikan di sini catatan pengalaman melatih anak sendiri ke tandas seawal usia mereka dua tahun.
1. Boleh faham apa yang dicakap
Kelima-lima anak saya boleh bercakap pada usia mereka 2 tahun. Walaupun sedikit pelat saya boleh faham jika dia sebut perkataan 'eyak' dan 'nak encing'. Begitu juga dia boleh faham jika saya tanya, " nak berak? Nak kencing ke?"
2. Cakap selalu
Dua minggu sebelum memulakan latihan saya selalu bagitahu pada anak begini. Nanti tak payah pakai pampers tau. (Sebut nama anak) kalau nak kencing cakap macam mana? "Ibu, saya nak ken...cing." Buat aksi dia tak tahan nak terkencing dan pergi tandas. Tujuannya menanam minda bawah sedar mereka.
3. Kenalpasti ekspresi wajah atau tabiat anak
Sentiasa peka dengan ekspresi wajah dan tingkah laku anak setiap kali dia mahu membuang air. Anak saya selalunya akan membuat muka meneran setiap kali dia mahu membuang air besar. Jika dia dah buat muka macam tu cepat-cepat saya hantarkannya ke tandas.
4. Tetapkan waktu anak ke bilik air
Saya sering menggunakan tempoh 4 jam sekali untuk hantar anak ke bilik air. Katakan anak bangun tidur pukul 7 pagi. Aturkannya ke billik air dahulu. Pukul 11 pagi nanti saya akan menanyakan padanya sama ada mahu membuang air atau tidak. Jika dia enggan saya akan paksanya ke bilik air. Dikhuatiri terlalu leka bermain atau menonton anak kita akan terkucil sendiri.
5. Gunakan seluar yang mudah ditanggalkan
Semasa latihan ke tandas saya akan memakaikan seluar yang mudah ditanggalkan kepada anak saya. Ini bertujuan supaya apabila dia terasa ingin membuang dia akan cepat-cepat ke tandas dan membuka seluar. Pernah terjadi anak saya terkucil betul-betul depan pintu tandas. Semuanya gara-gara susah hendak menanggalkan seluar maka banjirlah lantai dibuatnya.
6. Puji anak ketika dia berjaya menggunakan tandas dengan baik.
Setiap kali anak berjaya gunakan tandas dengan betul saya akan puji mereka. Jika tidak berjaya jangan marah anak. Sentiasa beri anak sokongan. Kanak-kanak yang kerap dimarah dikhuatiri akan menyebabkan mereka menjadi takut. Seterusnya terpaksa u turn guna lampin pakai buang semula.
-------
Oh, ya panduan ini hanya tertakluk pada kanak-kanak bawah 4 tahun sahaja dan pada waktu siang. Semasa tidur tengah hari atau berjalan-jalan jauh saya akan pakaikan lampin pakai buang untuk mereka.

Pada awal latihan memang seksa juga. Selalu sahaja mereka terkucil merata-rata pada bila-bila masa.
Proses itu adalah normal.
Suka diingatkan jangan sesekali marah atau tengking anak sekiranya mereka terbuang tanpa sengaja.
Keupayaan kanak-kanak mengawal usus dan pundi kencing merupakan pencapaian penting dalam hidup mereka. Sentiasa berikan galakan dan panduan untuk anak-anak kita.
Kadangkala mengambil masa dua minggu atau lebih untuk kanak-kanak mahir menggunakan tandas.
Tidak kira berapa lambat anak kita belajar menggunakan tandas dengan betul, percubaan untuk melatihnya sebelum badannya bersedia adalah sia-sia.

No comments:

Post a Comment