Gaji Pertama Seorang Pengasuh Kanak-kanak Di Rumah
Teks: Suhana Salleh
Duduk rumah, goyang kaki, duit masuk.
Wanita mana yang tidak suka jika realitinya begitu.
Tapi apa perasaan anda jika upah yang diterima hanya RM180 sebulan? Sedangkan anda sudah bekerja bermati-matian.
Hendak diikutkan sedih memang sedih. Tapi itulah hakikatnya. Upah pertama yang saya terima selepas berhenti kerja dan menjadi pengasuh anak jiran. Ketika itu tahun 2004. Detik itu akan saya ingat sampai bila-bila. Dengan seratus lapan puluh itulah perjalanan karier saya sebagai usahawan bermula.
Semasa pertama kali dapat duit upah itu memanglah saya gembira. Masakan tidak. Sudah lama saya tidak berpeluang dapat pegang duit sendiri. Jumlahnya memang sedikit. Tapi signifikannya saya belajar sesuatu. Saya belajar untuk yakin pada kebolehan diri sendiri. Bahawa sebenarnya saya mampu untuk menyakinkan orang lain untuk membayar perkhidmatan yang saya tawarkan kepada mereka. Saya kira itu bukan kerja mudah untuk orang introvert seperti saya.
Namun selepas itu saya berasa sedih. Apabila ditambah tolak, darab bahagi upah yang saya terima memang tidak berbaloi dengan kerja yang saya dah buat. Bayangkanlah, waktu kerja saya 12 jam. Bermula pukul 7.00 pagi sampai 7.00 petang. Kadang-kadang lajak sampai 9.00 malam jika emaknya pulang lewat kerana ada ot dan sebagainya. Hari Sabtu setiap minggu pun saya terpaksa kerja. Walaupun masanya tidak panjang setakat pukul 3.00 petang. Tapi penatnya betul fizikal dan mental saya dibuatnya. Pernah juga hari Ahad terpaksa kerja. Namun upah yang dibayar tetap sama.
Saya kemurungan sebentar.
Memikirkan seronoknya zaman masa saya makan gaji dahulu. Saya hanya perlu kerja lapan jam sehari. Jika kerja lebih masa pun ada bayaran untuk ot. Ada elaun itu ini. Kerja saya tak perlu sehingga singsing lengan hendak buat kerja penat-penat. Menghadap bos, susun fail, buat surat, uruskan gaji pekerja tiap bulan dan menghadap komputer sahaja. Apa yang saya tahu tiap-tiap bulan gaji masuk ribu-ribu dalam akaun. Duit yang saya terima itu boleh pergi shopping.
Saya terfikir inikah harga segulung ijazah yang saya terima daripada universiti terkemuka dahulu.
Sebenarnya saya tidak sangka. Saya masih tak boleh terima kenyataan bahawa upah saya terima tidak lebih daripada seringgit sejam. Apatah lagi memikirkan semua pengorbanan masa, tenaga dan emosi yang saya curahkan.
Lama saya termenung.
Adakah betul keputusan yang saya ambil ini?
Kisah bersambung...
No comments:
Post a Comment