Popular Posts

Thursday, November 29, 2018

Air Mata Ego Seorang Ibu

Air Mata Ego Seorang Ibu
Teks : Suhana Salleh

29 Nov 2018
Hari ini keputusan UPSR diumumkan. 
Saya mengimbau nostalgia 2 tahun yang lalu. Ketika itu anak saya yang kedua, Nur Fahdalina  mengambil keputusan UPSRnya. 

Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada keputusannya. Cukuplah sekadar 2 A untuk Bahasa Malaysia dan B atau C untuk subjek yang lain. Sebagai ibu saya tahu sejauh mana mana usahanya, keupayaan dan tekadnya ke arah itu.

Sampai ke sekolah saya biarkan dia mengambil keputusannya sendiri. Dia menapak ke hadapan dataran mendapatkan guru kelas yang sudah sedia menunggu dengan keputusan anak murid masing-masing.

Setelah melihat keputusannya, dia bergerak menuju ke arah saya semula yang sedia menunggu di belakang dataran. Saya lihat mukanya pucat lesi. Naluri seorang ibu. Melihatkan riak wajahnya saya dapat mengagak keputusan yang diperolehinya.

Saya tanyakan kepadanya. "Macam mana result kakak?"

Dia kata ok.

Saya ambil slip keputusan di tangannya.

Keputusannya sederhana. Tapi tanpa A. Ada C dan D. Ketika itu saya tidak dapat tahan air mata.

"Ya, Allah. Bahasa Malaysia pun tak boleh dapat A? Kenapa teruk sangat keputusannnya ni? Bukanke masa percubaan hari itu saya dah ajar dia Bahasa Malaysia betul-betul. Matematik boleh dapat lagi baik daripada percubaan. Sains? Bahasa Inggeris?"

Sungguh saya tidak dapat terima kenyataan itu. Bungkam.
Saya lihat ibu bapa anak-anaknya yang saya kenal semuanya tersenyum melihat keputusan anak masing-masing. Mungkin anak-anak mereka dapat keputusan lebih baik daripada percubaan. 
Saya lap air mata. Saya tanyakan lagi kepada anak saya. "Macam mana, kak? Ok ke keputusan ini?"

Dia cuma angguk sahaja dan kata, "ok."

Saya menghela nafas panjang. Tak mahu lama bersedih di situ saya ajak anak-anak saya ke Mc'Donald. 
Sesampainya di Mc' Donald, semasa makan saya tanyakannya sekali lagi tentang perasaannya apabila mendapat keputusan begitu.

Dia hanya kata ok. 

Usai makan dia minta kebenaran daripada saya untuk bermain di payground yang disediakan bersama adik-adiknya.

Dari kejauhan saya lihat wajahnya tenang, tiada kegusaran dan bimbang dengan keputusan UPSRnya. Dia seronok melayan karenah adik-adiknya bermain. 

Saya bertanya kepada diri saya sendiri. Apa sebenarnya yang saya harapkan daripada kanak-kanak yang baru berumur 11 tahun ini? (Anak saya ini lahir pada 05 Disember 2005- jika diikutkan umurnya baru 11 tahun). Jiwa kanak-kanak masih menebal dalam dirinya. Dia masih belum matang. Adakah keputusan UPSRnya ini adalah penamat kepada segala-galanya? Kenapa saya pula yang lebih sedih berbanding dia?
Ketika itu barulah saya tersedar. Saya yang meletakkan harapan yang terlalu tinggi berbanding keupayaannya yang sebenar. Saya yang membina harapan sendiri mengikut keupayaan saya. Bukan keupayaannya. 

Salahkah dia mendapat keputusannya ini?

Saya yang bersalah dalam hal ini. Anak saya itu tidak bersalah.

Akhirnya saya leburkan harapan itu semula. Saya kembalikan pengharapan saya hanya kepada Allah. Kerana saya percaya Allah sahaja yang Maha Mengetahui setiap perjalanan hidup hamba-NYA. 

Saya belajar sesuatu hari itu. Berikan pergantungan kita kepada yang Hak. Agar saat jatuhnya kita nanti kita masih ada Haq yang akan memayungi kita dengan rahmat-NYA.
   

No comments:

Post a Comment