Restu Emak Atau Suami?
Teks: Suhana Salleh
Melepaskan jawatan penting dengan gaji sedap sewaktu ekonomi gawat memang situasi genting yang banyak mengajar saya erti pengorbanan dan seni membuat pilihan.
Sejujurnya saya berasa sedikit terkilan apabila terpaksa membuat keputusan untuk berhenti kerja ketika itu. Namun saya percaya, emak saya adalah orang yang lebih kecewa dengan keputusan saya itu.
Masakan tidak dalam tujuh orang adik beradik sayalah yang paling bertuah. Saya berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringat ijazah sarjana muda di sebuah universiti terkemuka. Saya tahu emak memang mengharapkan duit gaji saya untuk meringankan sedikit sebanyak beban kehidupannya di kampung.
Ya, saya faham perasaan emak. Emak mana yang tidak kecewa apabila anak yang diberi pendidikan tertinggi, ada kerja tetap dan dapat gaji sedap tiba-tiba kata nak berhenti kerja. Alasannya tidak ada orang nak jaga anak. Mahu jaga anak sendiri di rumah. Mahu jaga anak orang pula. Pada awalnya sukar juga saya hendak memahamkan dan menyakinkan emak. Stigma masyarakat ketika itu anak yang bekerja dengan kerajaan atau swasta lebih terjamin kehidupan mereka. Ada gaji. Ada bonus. Ada pencen. Rugi betul hidup orang yang tak bekerja apatah lagi bekerja sendiri.
Saya tahu, emak sebenarnya tidak percaya dengan kebolehan anaknya ini. Sejak kecil saya tidak pernah hidup susah. Saya tidak pernah didedahkan dengan aktiviti berniaga. Sejak tingkatan satu hingga tingkatan 6 saya duduk di asrama. Masuk universiti pun duduk di kolej. Tak pandai masak. Tak pernah buat kerja rumah. Kerja saya belajar sahaja.
Untuk mengurangkan keresahan hati emak saya hanya katakan padanya, "Mak restukan sahaja apa yang saya buat ini." Saya tetap baginya duit setiap bulan seperti mana waktu saya bekerja makan gaji dahulu.
Syukur, perlahan-lahan emak sudah boleh terima kenyataan. Itupun setelah emak lihat keadaan ekonomi keluarga saya stabil. Saya hanya tak mahu lihat emak susah hati. Saya mahu dia doakan yang baik-baik sahaja untuk anaknya ini.
Suami saya pula memang menyuruh saya berhenti kerja. Dia tidak mahu saya terbeban dengan kerja di pejabat dan rumah. Bebanan yang dipikul saya akan dipikul di bahunya juga.
Memang saya dalam dilema antara mahu ikit kehendak emak atau suami sendiri.
Pada pendapat saya, ambil keputusan berhenti kerja bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi wanita yang sudah bersuami. Keputusan ini tidak boleh dibuat sambalewa. Ia seperti menentukan antara keputusan hidup dan mati.
Bagi wanita yang sudah bersuami, berbincanglah dengan pasangan anda baik-baik. Minta pandangan suami sebelum anda membuat sebarang keputusan penting dalam hidup. Sokongan daripada seorang suami sangat penting bagi seorang isteri. Tanpa restu suami tak mungkin pekerjaan yang dibuat oleh si isteri mampu memberi ketenangan kepada diri sendiri. Tanpa ketenangan bagaimana mahu mendapatkan kebahagian dalam sebuah keluarga. Dalam hidup berumah tangga hanya suami dan isteri sahaja yang layak mengemudi bahtera hidup bersama.
Ibu, ayah, adik beradik, saudara jauh atau dekat, teman-teman rapat hanya boleh memberi pendapat dan nasihat.
Tapi kita sendiri perlu ingat yang memakai 'kasut kehidupan' itu kita. Tak mungkin orang luar dapat memahami situasi sebenar keluarga kita melainkan diri kita sendiri dan pasangan.
Catatan ini tidak bermakna restu ibu kita tidak penting kepada seorang anak yang sudah berumah tangga. Sebagai wanita kita perlu ada ilmu agar keputusan yang kita ambil itu bukan disebabkan faktor saja-saja semata-mata. Jika dahulu restu ibu bapa nombor satu, kini kedudukannya sudah jatuh nombor dua setelah kita bersuami. Ini kerana restu tersebut sudah dipegang oleh suami secara mutlak.
Bak kata orang tarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus tepung tak berselerak.
No comments:
Post a Comment