Jadual Seorang Suri Rumah.
Teks: Suhana Salleh
Saya kira tempoh sebulan memegang gelaran suri rumah adalah seperti fasa bulan madu. Dalam tempoh tersebut saya tidak perlu berebut-rebut bangun pukul 5 pagi setiap hari. Saya tak perlu terkocoh kacah menggosok baju dan tudung yang hendak dipakai ke pejabat. Tak perlu meredah jem semasa pergi dan balik kerja. Paling seronok tak perlu kejutkan anak saya bangun awal. Semuanya indah belaka.
Ini rutin saya setiap pagi dari Isnin hingga Jumaat;
- Bangun pukul 6.00 pagi - mengucapkan salam dan selamat kepada suami yang bergegas ke tempat kerja. Solat subuh dan sambung tidur semula.
- 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari - mandi, kemas rumah, basuh baju, tunggu anne lori sayur datang, sidai baju, tonton rancangan tv.
- 12.30 tengah hari - masak ala kadar sebagai alas perut, bagi anak makan, luangkan masa ajar anak.
- 1.00 tengah hari 3.00 petang - solat zohor, rehat dan tidur sebentar.
- 4.00 petang hingga 6.00 petang - angkat baju, lipat baju, solat asar, masak untuk makan malam.
- 6.00 petang hingga 7.00 petang - mandi, bersiap solat maghrib, tunggu suami balik
- 7.00 petang hingga 8.00 malam - makan malam dan kemas dapur
- 8.00 malam hingga 10.00 malam - rehat, tonton rancangan tv, masuk tidur.
Seminggu pertama keadaan agak kelam kabut. Ini kerana saya tidak biasa dengan rutin kerja rumah.
Masuk minggu kedua dan seterusnya keadaan menjadi lebih mudah. Saya sudah dapat membiasakan diri dengan rutin harian Saya sudah dapat menyusun jadual saya dengan lebih baik. Malah urusan menjaga anak dan mengemas rumah menjadi lebih licin dan tersusun.
Masuk sebulan saya sudah mahir menyiapkan kerja rumah. Semua rutin yang saya anggap susah dahului saya sudah dapat menguasainya dengan baik. Saya tidak perlu tempoh masa yang lama untuk menyiapkannya. Bak kata orang tip top. Sambil pejam mata pun boleh siap.
Lama-kelamaan keadaan ini menjadikan saya rasa duduk rumah semakin bosan. Hanya duduk terperap di rumah, mengulang kerja yang sama setiap hari. Jika saya keluar pun hanya bercampur dengan jiran-jiran yang suka menggetah bawang. Saya rindu akan suasana sewaktu saya bekerja makan gaji dahulu. Hari-hari saya sentiasa sibuk dengan kerja yang tak pernah sama cabarannya. Setiap hari saya jumapa dengan orang baru.
Seperkara lagi yang saya rindu adalah shopping. Dahulu saya tak perlu tunggu duit suami untuk membeli apa-apa yang terlintas di fikiran. Tudung, baju, tas tangan, baju untuk anak, beli makananan, nak bagi duit pada mak abah di kampung semuanya saya boleh guna duit sendiri. Sekarang tidak lagi. Nak beli tuala wanita pun kena tunggu duit suami.
Saya rasa perkara ini tak sepatutnya berlaku dalam hidup saya. Saya rasa tertekan.
Saya pun suarakan apa yang terbuku dalam hati kepada suami saya.
Agak-agak anda apa jawapan yang suami saya berikan?
No comments:
Post a Comment