Popular Posts

Wednesday, November 28, 2018

Ajar Anak Latihan Ke Tandas

Kasihan saya apabila melihat kanak-kanak pada usia 4 tahun masih pakai lampin pakai buang. Pada hal kanak-kanak itu dah mencapai tahap perkembangan yang sesuai dengan usianya. Maknanya dia sudah boleh bercakap dengan jelas, sudah boleh merasa jika mahu membuang air besar atau air kecil.

Lebih menyedihkan apabila segelintir ibu bapa ditanya mengapa masih memakaikan anak mereka lampin pakai buang? Jawapannya susah nak ajar anak ke tandas. Asyik terbabas sahaja.

Ibu-ibu, ayah-ayah...

Latihan ke tandas ini bukannya usaha satu pihak sahaja. Latihan ini perlukan dua pihak iaitu ibu bapa dan anak. Jika anak kita dah boleh bercakap atau mengekspersikan wajahnya ketika rasa mahu terkucil, tidak mahu dipakaikan lampin. Itu tanda-tanda menunjukkan anak kita sudah bersedia. Sebagai ibu bapa kita kena ajar dan sokong usaha mereka.

Di bawah ini saya catatkan pengalaman saya melatih anak ke tandas seawal usia dua tahun.

1. Anak sudah boleh bertutur dengan baik.
Kelima-lima anak saya sudah boleh bercakap dengan jelas pada usia 2 tahun. Maka proses melatih mereka menggunakan tandas menjadi lebih mudah.

2. Ekspresi wajah atau perbuatan pelik ketika mahu terkucil
Tak perlu bimbang jika anak kita masih belum boleh bertutur dengan jelas pada usia 2 tahun. Sebagai ibu bapa yang bijak kita boleh kenalpasti ekspresi wajah anak setiap kali mereka mahu membuang air kecil atau besar. Anak saya selalunya mencari ruang tersembunyi seperti di belakang langsir setiap kali dia mahu membuang air besar.

3. Kenalpasti trend anak membuang air kecil dan besar.
Kebiasaannya kita sudah boleh mengagak bila anak kita hendak membuang air. Saya sering menggunakan tempoh 4-6 jam kepada anak saya untuk pergi ke tandas. Katakan anak kita bangun pukul 8 pagi. Jadi saya mandikannya dahulu. Selepas tempoh 4 jam saya akan menanyakan padanya sama ada mahu buang air atau tidak. Jika anak saya berkeras tidak mahu saya tetap akan membawanya ke tandas dan menyuruhnya membuang air. Selalunya kerana terlalu leka bermain atau menonton anak kita akan terkucil sendiri.

4. Gunakan seluar yang mudah ditanggalkan
Semasa latihan ke tandas saya akan memakaikan seluar yang mudah dipakai kepada anak-anak saya. Ini bertujuan supaya apabila kanak-kanak terasa ingin terkucil dia akan cepat-cepat ke tandas. Pernah terjadi anak saya terkucil betul-betul depan pintu tandas. Semuanya gara-gara susah hendak menanggalkan seluar maka banjirlah lantai dibuatnya.

Pada awal latihan memang seksa jugalah kita dibuatnya. Selalu sahaja mereka terkucil merata-rata pada bila-bila masa. Suka diingatkan jangan sesekali marah atau tengking anak sekiranya mereka terkucil. Proses ini adalah normal. Kadang kadang mengambil masa dua minggu atau lebih untuk mereka mahir menggunakan tandas.

5. Puji anak ketika dia berjaya menggunakan tandas dengan baik.
Setiap kali anak berjaya gunakan tandas dengan betul saya akan puji mereka. Jika tidak berjaya jangan marah. Sentiasa beri sokongan. Kanak-kanak yang kerap dimarah dikhuatiri akan menyebabkan mereka menjadi takut seterusnya terpaksa guna lampin pakai buang semula.

Oh, ya panduan ini hanya tertakluk pada kanak-kanak bawah 4 tahun sahaja dan pada waktu siang. Semasa tidur tengah hari atau berjalan-jalan jauh saya akan pakaikan lampin pakai buang untuk mereka.
Keupayaan mengawal usus dan pundi kencing merupakan pencapaian penting dalam hidup anak kita. Berikan galakan dan panduan untuk anak-anak kita. 

Tidak kira berapa lambat anak kita belajar menggunakan tandas dengan betul, percubaan untuk melatihnya sebelum badannya bersedia adalah sia-sia.
Selamat mencuba!


No comments:

Post a Comment