Popular Posts

Thursday, November 29, 2018

Kenapa Saya Berhenti Kerja?

Kenapa Saya Berhenti Kerja
Teks : Suhana Salleh


Bukan senang saya hendak membuat keputusan berhenti kerja sebelum ini. Dalam dilema. Bak kata pepatah hendak dibuang mati emak, hendak ditelan mati bapak. Kedua-dua pilihan menyebabkan saya rasa tersepit di tengah-tengah.

Saya tidak mahu membuat keputusan berdasarkan emosi semata-mata. Banyak perkara yang saya fikirkan daripada pelbagai sudut. Kerja, suami, keluarga, anak-anak, masa dan pelbagai lagi. Setelah difikir dengan rasional barulah saya ambil keputusan nekad. Berhenti kerja. Tak mahu pandang ke belakang lagi. Terus berjalan ikut kata hati.

Antara beberapa sebab yang membuatkan saya ambil keputusan berhenti kerja adalah;
1. Rumah yang baru dibeli jauh dari tempat kerja
Saya bekerja di Danau Kota, Kuala Lumpur. Rumah yang baru kami beli terletak di Rawang, Selangor. Walaupun Selangor dan Kuala Lumpur hanya sebelah menyebelah tapi jika diambil kira faktor jarak dan masa ajak jauh. Perjalanan dari rumah ke tempat kerja saya mengambil masa 40 minit. Itu jika tidak ditambah dengan kesesakan lalu lintas yang terpaksa ditempuhi setiap hari waktu pergi dan balik. Jika saya berulang alik saya terpaksa keluar rumah pukul 5.45 pagi dan sampai sebelum pukul 7.00 pagi. Walaupun waktu balik jam 4.30 petang, tunggu suami datang jemput saya di pejabat, singgah ambil anak di rumah pengasuh, menempuh jem dan sebagainya saya akan sampai di rumah paling awal sebelum jam 7.00 petang.

2. Tidak mendapat pembantu rumah
Pengalaman mengambil pembantu rumah melalui agensi membuatkan saya rasa serik. Setelah banyak duit kami habis untuk urusan kemasukan amah dari Indonesia, membayar levi dan sebagainya amah yang dijanjikan tidak datang tepat pada tarikhnya. Menurut orang yang bertanggungjawab menyediakan amah tersebut, amah tidak mahu masuk Malaysia. Jika mahu pengganti kena ambil masa 3 bulan lagi. Akhirnya saya tawar hati. Duit saya hangus begitu saja. 

3. Sukar mencari pengasuh anak
Kawasan perumahan yang saya duduk adalah kawasan perumahan baru. Memandangkan kami berpindah pada pertengahan tahun maka masih ramai penghuni yang belum berpindah. Kebanyakan mereka yang ditanya hanya akan berpindah pada hujung tahun. Tiada jiran-jiran yang saya kenal untuk menjaga anak saya. Taska pun masih tiada di situ.

4. Waktu Kerja Tak Fleksible
Semasa menghantar surat perletakan jawatan majikan saya ada membuat tawaran untuk menaikkan gaji saya. Kenaikan gaji tersebut memang berbaloi. Namun majikan mahukan saya datang bekerja pada setiap hari Sabtu. Di situ saya kalah kerana suami saya tidak bekerja pada hari Sabtu. Jika saya bekerja suami juga yang terpaksa menghantar dan mengambil saya ke tempat kerja. Jika suami tak hantar dan ambil saya pun saya terpaksa menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja. Malangnya menggunakan pengangkutan awam tidak efektif dari segi kos dan masa. Saya rasa perkara ini tak berbaloi.

5. Faktor Kewangan Dan Masa
Setelah mengambil kira kesemua faktor di atas saya juga membuat kira-kira semula kedudukan kewangan saya. Kenaikan gaji yang diterima tidak dapat menampung kos yang terpaksa saya tanggung jika menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja. Begitu juga dengan masa yang saya peruntukan pergi dan balik ke tempat kerja.

Maka setelah mempertimbangkan dengan rasional, saya ambil keputusan berhenti kerja. Secara zahirnya saya akan mengalami kerugian kerana melepaskan tawaran gaji tersebut. Namun kerugian tersebut dapat saya tampung dengan masa berkualiti untuk menjaga anak dan keluarga saya.

No comments:

Post a Comment